Friday 26 December 2014

Misi Bantuan Banjir

Teks: Rahimah binti Omar

Hari ini rata-rata bercerita pasal banjir. Di pejabat, radio, tv, surat khabar, media sosial seperti fb, whatsapp dan lain-lain. Banyak gambar-gambar disebarkan menunjukkan keadaan sebenar tempat-tempat yang ditimpa banjir. Allahuakbar. Kasihan melihat mangsa-mangsa banjir terutama golongan warga emas dan kanak-kanak termasuk bayi.

Teringat kisah tahun lepas tatkala negeri Terengganu dan Pahang dilanda banjir teruk. Suami dan rakan-rakan menganjurkan misi bantuan banjir. Misi yang diadakan secara tiba-tiba, atas kesedaran untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, saya dan suami serta rakan-rakan berusaha untuk mengutip seberapa banyak sumbangan daripada ahli keluarga serta rakan-rakan tidak kira dari segi kewangan atau sumbangan barang-barang keperluan, makanan dan pakaian. Alhamdulillah. Ramai yang menghulurkan bantuan.

Tahun ini, tatkala banjir melanda,  ramai juga yang bertanya " tak buat collection ke?". Atau "bila nak pergi hantar bantuan?". Asalnya tidak merancang untuk menganjurkan misi bantuan banjir sekali lagi kerana suami ada komitmen kerja. Namun atas pertanyaan ramai, bersemangat pula encik suami untuk menganjurkan misi ini sekali lagi.

Sebagai isteri, saya memberi sokongan kepada suami. Benda baik kan. Tengah hari tadi, saya mengemas baki pakaian sumbangan rakan-rakan untuk mangsa banjir tahun lepas. Sebenarnya, kami tertinggal 2 bungkusan pakaian kerana terlalu banyak barang yang perlu diagihkan pada masa itu. Bila saya buka, separuh pakaian, kain-kain termasuk cadar dan tuala terpakai terpaksa saya buang. Agak sedih juga kerana ada pakaian yang bukan sahaja lusuh tetapi sudah tidak sesuai untuk digunakan kecuali sebagai kain buruk. Pakaian yang ada seolah-olah diberikan untuk clear kan rumah atau proses pembersihan rumah sahaja.

Suami kata, tak apelah. Asalkan ada yang nak menderma. Pada saya, jika ingin memberi, berilah benda yang paling elok kita ada. Maksudnya, jika memberi pakaian terpakai, bagilah pakaian yang masih boleh dipakai. Jangan hanya boleh pakai, tapi pastikan juga ia elok dan bersih.

Jadi, hari ini ingin saya kongsikan beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada sesiapa yang ingin menderma atau memberi sumbangan barangan atau pakaian kepada mangsa banjir.

@ sumbangan air bersih/ air mineral. Air bersih sangat-sangat diperlukan terutama untuk diminum.

@ bagi pakaian yang bersesuaian terutama untuk musim sejuk/ musim banjir.

@ pakaian yang elok dan masih boleh dipakai. Janganlah bagi pakaian yang sudah koyak, terlalu lusuh atau buruk.

@ sumbang pakaian yang bersih. Perlu ingat, mangsa banjir tidak mempunyai air bersih untuk basuh pakaian yang diberikan. Mungkin ada yang memerlukan pakaian kerana meninggalkan rumah sehelai sepinggang. Jadi, sila pastikan ia dalam keadaan yang bersih dan boleh dipakai terus.

@ sumbangan makanan. Seeloknya makanan yang boleh dimakan terus (tak perlu masak) dan tahan lama seperti biskut, maggi dan 3 in 1 product. Maggi boleh dianggap tak perlu masak sebab hanya perlu rendam dalam air panas sahaja.

@ barangan  keperluan harian seperti pampers. Tidak perlu yang branded. Yang penting sesuai digunakan oleh bayi atau kanak-kanak. Lilin juga boleh menjadi barang keperluan  harian ketika musim banjir terutama bagi kawasan yang telah terputus bekalan elektrik.

@ barang-barang lain seperti tilam nipis dan khemah. Penempatan mangsa banjir kebiasaannya adalah dewan orang ramai, sekolah dan balai raya. Jadi, boleh bayangkan ketidakselesaan terutama warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya khemah yang disumbang boleh memberi sedikit privacy kepada mereka.

@ sumbangan ubat-ubatan. Yang ini kebiasaannya diberi oleh pihak yang berkaitan. Walau bagaimanapun, boleh juga untuk menyumbang ubat-ubat yang asas seperti panadol atau minyak angin.

Bagi yang nak menyumbang, banyak channel yang boleh digunakan untuk membuat sumbangan. Jika risau untuk menyumbang kewangan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, bolehlah pergi ke mana-mana masjid atau surau. Kebiasaannya masjid atau surau memang akan anjurkan misi bantuan banjir. Insyaallah sumbangan anda akan disalurkan kepada pihak yang sewajarnya.

p/s: by the way, saya memang gelar suami saya as "PAPAZOLA" because of his good heart and suka bantu orang. Hehehe.




Monday 22 December 2014

It’s a Play Dough Time!

Teks: Rahimah Binti Omar

Anak-anak saya memang sangat suka bermain tanah liat (plastesin) atau play dough. Kalau dikira, entah sudah berapa puluh kotak tanah liat yang dibeli dan berapa ratus ringgit habis untuk membeli set play dough yang sememangnya mahal itu. Paling kuat paw papa dan mama untuk beli set play dough adalah Iman. Memang susah nak kawtim dengan si kecik ni. Kalau tak dapat, memang menangis la jawabnya.

Sudah beberapa kali berjanji dengan Iman nak buat play dough sendiri. Jimat sedikit. Set play dough sudah ada. Dohnya sahaja yang tiada. Kalau guna tanah liat biasa, agak keras dan tidak sesuai untuk menggunakan set play dough tu. Sayang pula kalau patah atau rosak. Setakat acuan sahaja bolehlah.

Minggu sudah, balik je ke rumah dia bertanya lagi. Disebabkan mood mama baik dan anak-anak pun behave hari itu, tak sempat salin baju, mama terus ke dapur. Ambil mangkuk, tepung, air, minyak masak dan pewarna untuk dibancuh dan dibuat doh. Semua duduk mengadap mama menguli doh termasuk Baby Eecha. Dan hasilnya, dapatlah beberapa bekas doh yang berwarna merah untuk mainan anak-anak. Jimatkan. Kalau nak dibeli, satu bekas berharga lebih kurang RM8 (bekas besar) bagi doh berjenama Play Dough. Yang tidak berjenama pun lebih kurang RM5 juga sebekas. Cuma kekurangannya ialah doh adunan sendiri ini tidak tahan lama seperti doh yang dibeli kerana adunan akan basi selepas sehari. Doh yang dibeli semestinya mengandungi bahan awet untuk membolehkan ia tahan lama.    

Play dough merah

Saya tidak kisah anak-anak main play dough walaupun kadang-kadang kotor dan melekat di sana-sini. Kerana bermain play dough ini boleh menggalakkan anak-anak berfikiran kreatif, suka belajar dan fokus pada sesuatu perkara. Di samping itu, bermain play dough juga akan menggalakkan daya imaginasi anak-anak. Sel-sel otak akan berhubung antara satu sama lain ketika bermain :)

Kalau rasa tak mahu penat membersihkan kotoran atau play dough yang melekat di sana sini, pesan kepada anak-anak untuk bermain di satu tempat sahaja. Lebih baik jika bermain ditempat yang sememangnya dikhaskan untuk bermain. Lagi mudahkan. Kalau kotor pun setempat sahaja. Lagipun, adatlah kalau ada anak-anak kecil. Kalau tak kotor, tidak sahkan.

Sebagai ibubapa, kita hendaklah menggalakkan anak-anak berfikiran kreatif melalui permainan yang mereka main kerana itulah cara yang paling seronok untuk mereka menerokai dunia ilmu di peringkat usia mereka ini. Lagi seronok kalau ibubapa dapat bermain bersama.

Bagi ibubapa yang belum mencuba buat play dough sendiri bolehlah cuba selepas ini. Mudah dan jimat. Hanya bancuh bahan-bahan yang saya sebutkan tadi dan uli adunan. Seeloknya buat dalam kuantiti yang cukup-cukup untuk mainan anak-anak sahaja kerana kalau berlebih membazir la pula.


Selamat berimaginasi semua!

Tuesday 16 December 2014

Selamat Ulang Tahun Pertama Nur Aneesa Aisyah

Teks: Rahimah Binti Omar



Alhamdulillah, syukur tidak terhingga. Nur Aneesa Aisyah atau Baby Eecha telahpun berusia setahun pada 15 Disember yang lalu. Syukur pada-Mu Ya Allah di atas kesihatan yang Kau kurniakan padanya.

Masih Mama ingat, saat melahirkan Eecha setahun yang lalu. Terasa sukar untuk melahirkan walaupun sudah puas meneran. Hampir-hampir Mama give up. Rupanya doktor kata kedudukan Eecha tidak betul. Muka Eecha menghadap ke atas. Dalam keadaan normal sepatutnya muka Eecha menghadap ke bawah. Kerana itulah agak sukar untuk Eecha keluar walaupun sudah sekuat hati Mama meneran.

Mama juga kekurangan tenaga sebenarnya. Mana taknya, dari pagi Mama mengemas rumah. Macam-macam Mama buat walaupun sudah sarat dan menunggu masa. Bila tengahari, sudah mula terasa sakit, tapi Mama masih boleh bertahan kerana selang waktunya agak lama. Memandangkan Mama pernah mengalami false contraction pada minggu ke 35, jadi Mama tidak pedulikan sangat rasa sakit tu. Mengemas rumah, memasak, menguruskan abang kakak dan lain-lain. Tanpa Mama sedar, hari dah pun petang dan Mama tidak sempat merehatkan badan atau melelapkan mata walau sebentar. Hampir tengah malam contraction terasa semakin kuat. Ketika itu, badan sudah terlalu letih. Tambah pula sakit contraction. Hinggakan nak makan kurma sebiji pun sudah tidak mampu.

Papa sentiasa berada di sisi Mama, menemankan Mama sepanjang proses melahirkan Eecha. Memberi kata-kata semangat dan mendoakan Mama. Mama sebenarnya agak kagum dengan Papa kerana kali ini Papa agak kuat untuk melihat sendiri proses melahirkan Eecha. Sebelum ini, walaupun Papa ada menemani Mama tapi Papa tak tengok pun proses melahirkan. Papa sebenarnya mabuk darah. Teringat peristiwa ketika proses epidural semasa melahirkan abang Khalis. Papa hampir pitam kerana melihat jarum besar yang ditusuk ke belakang Mama. Kelam kabut nurse mencari tikar dan bantal untuk Papa berehat sebentar di tepi katil Mama dalam labour room tu. Tetapi kali ini, setelah tiga kelahiran, barulah Papa yakin untuk melihat anak sendiri dilahirkan. Alhamdulillah. Sempat juga Papa snap beberapa keping gambar saat Eecha dilahirkan sebagai kenangan.  

Anak Mama selamat dilahirkan pada hampir waktu subuh iaitu lebih kurang pukul 5.45 pagi. Saat itu, Mama sudah betul-betul tidak larat. Lepas pegang Eecha sekejap, doktor terus bagi suntikan ubat tidur sebab nak bagi Mama berehat. Apa yang berlaku selepas itu Mama sudah tidak ambil peduli. Mama tidur merehatkan badan. Papa menguruskan apa yang patut. Syukur semuanya telah selamat.

Dan kini, Baby Eecha Mama telahpun berusia setahun. Mudah sebenarnya menjaga Eecha ni. Anak yang sangat berdikari walaupun masih kecil. Eecha pandai membawa diri. Kalau Mama sibuk di dapur, Eecha akan main dengan abang-abang dan kakak. Tak pun Eecha main sendiri di tempat permainan. Sesekali Eecha jenguk Mama di dapur dan menegur Mama. Tak pula minta didukung. Mungkin Eecha faham kot Mama tengah sibuk memasak.

Eecha akan meragam jika mengantuk atau nak susu atau dikacau abang kakak atau Eecha tidak sihat. Seawal 10 bulan Eecha sudah boleh berjalan. Umur 6 bulan gigi sudah 2 batang tumbuh. Perkembangan paling cepat berbanding Abang Khalis, Iman dan Kakak Yaya. Semasa baby lagi Eecha dah menunjukkan perkembangan yang cepat. Baru beberapa hari sudah mula nak mengangkat kepala. Tak padan dengan kecil.

Suara Eecha halus. Bila menangis slow dan halus sahaja bunyinya. Tapi itu dululah. Sekarang speaker Eecha sudah semakin kuat sedikit berbanding dulu. Apapun tidak boleh lawan Kakak Yaya yang bersuara lantang dan nyaring.

Eecha juga anak yang ceria. Selalu tersenyum dan mudah mesra dengan orang. Kadang-kadang pemalu juga orangnya. Alhamdulillah, Eecha membesar dengan sihat. Eecha jarang sakit. Mungkin juga sebab dari usia sehari hingga sembilan bulan Eecha di bawah jagaan Mama dan dibantu oleh Opah semasa Mama bekerja dari rumah. Rezeki Eecha sebenarnya. Syukurlah.

Doa Mama dan Papa untuk anakanda Eecha sayang, semoga Nur Aneesa Aisyah akan menjadi anak yang solehah. Taat kepada Allah dan kedua ibubapa. Sentiasa sihat dan ceria. Jadi anak yang cemerlang dan berjaya dunia akhirat. Amin.

Selamat Hari Lahir sayang. We luv u so much.
    

Kepentingan Senaman Dalam Pengurusan Stress

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Sambungan kisah kursus pengurusan stress yang saya hadiri beberapa minggu lalu. Walaupun penat bersenam, saya tak lupa untuk mengambil nota supaya dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang. Jom saya coretkan sedikit ilmu mengenai senaman, aktiviti fizikal, fakta kurus dan perkara-perkara berkaitan untuk perkongsian bersama.  

Apa itu stress?

Tekanan Perasaan atau Stress adalah reaksi atau respon tubuh badan (fizikal, emosi dan mental) terhadap ransangan yang tidak menyenangkan. Stress boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak mengira umur , jantina, bangsa, agama dan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Ia tidak dapat dielakkan.

Walau bagaimanapun, Stress boleh ditangani dengan menggunakan kaedah “10B”.

Apa itu “10B”?

1.      Bertenang
2.      Bernafas dengan dalam
3.      Berkata “relakslah”
4.      Beribadat
5.      Bercakap dengan seseorang
6.      Berurut
7.      Berehat & mendengar musik
8.      Beriadah
9.      Bersenam
10.   Berfikiran positif

Komponen gaya hidup sihat:

  • Amalan pemakanan seimbang
  • Senaman
  • Tidak salah guna bahan
  • Amalan kebersihan diri
  • Kebersihan tempat tinggal
  • Rehat yang mencukupi

Kadar Nadi Rehat

Kadar Nadi Rehat (KNR) adalah kadar nadi ketika sedang dalam keadaan rehat dan relaks. Bagaimana untuk kira KNR.

       15 saat
(Kira bacaan nadi dalam masa 15 saat) 

x
4
=
KNR untuk 1 minit.

Hasil:

81 ke atas = sudah lama tidak bersenam :)
80 – 70 = KNR normal
70 ke bawah = sangat bagus

Kadar Nadi Latihan

Kadar Nadi Latihan (KNL) adalah kadar nadi ketika membuat latihan fizikal atau senaman.
Dikira secara kiraan biasa selepas bersenam atau melakukakan latihan fizikal.

Hasil:

110 ke atas = sangat bagus

Kadar yang sepatutnya adalah semakin muda, semakin tinggi kadar denyutan.

Senaman yang bagus mestilah mempunyai 3 ciri iaitu 20 minit ke atas, berpeluh dan tercungap-cungap. Jika ketiga-tiga ciri-ciri ini ada, barulah senaman tersebut dikatakan bagus untuk kardio/jantung. Kata Encik Trainer lagi, kalau tidak tercungap-cungap atau tidak berpeluh, senaman yang dilakukan kurang berkesan.

Fakta & mitos mengenai senaman dan kurus:

1.        Kerja rumah adalah aktiviti fizikal dan bukannya senaman.

2.        Senaman paling bagus adalah berenang.

3.        Tarian poco-poco bukanlah senaman yang bagus kerana ia menurunkan kadar nadi. In fact, ia bukanlah senaman. Boleh dikategorikan sebagai aktiviti fizikal.

4.        Berjalan turun naik tangga adalah elok sebagai satu aktiviti fizikal tetapi bukanlah satu senaman yang bagus kerana boleh mendatangkan kecederaan terutama kepada lutut. Aktiviti turun naik tangga elok untuk jantung tetapi tidak boleh mengempiskan perut :)

5.       Mereka yang mempunyai masalah jantung digalakkan untuk banyak berjalan. Aktiviti yang elok untuk kardio/jantung tidak secara langsung menurunkan berat badan.

6.     Pemakaian korset tidak akan menyebabkan kurus atau membuang lemak sebaliknya hanya boleh memampatkan lemak-lemak terkumpul untuk jangka masa pemakaiannya sahaja.

7.      Jangka hayat kasut sukan yang telah digunakan adalah satu tahun sahaja. Setelah ia digunakan, walaupun hanya sekali dan telah berusia setahun, seeloknya ia ditukar. Ini kerana sponge yang dikhaskan dalam kasut sukan sukan berkenaan sudah lagi tidak berfungsi sewajarnya.

8.      Lemak berada dalam lapisan ketiga kulit. Oleh itu, pemakaian losyen panas/berhaba tidak akan memberi kesan kepada lemak sebaliknya hanya kulit lapisan pertama sahaja yang mendapat impak losyen tersebut. Jadi tidak betullah sekiranya ada yang kata guna losyen sahaja boleh kurus :)

9.    Waktu yang paling bagus untuk bersenam adalah pada waktu pagi. Waktu malam, sekiranya hendak bersenam juga seeloknya sebelum pukul 11 malam kerana selepas waktu tersebut tubuh badan sudah bersedia untuk berehat.

10.   Skipping adalah senaman yang sesuai untuk orang muda, remaja dan kanak-kanak. Orang tua tidak digalakkan untuk berskipping kerana impak direct kepada lutut dan kaki.

11.     Mesin vibration tidak secara langsung mengurangkan lemak dalam badan.

12.   Body wrapping memecahkan muscle dan bukannya lemak. Sebab itulah berat badan cepat turun.

13.     Air kosong tiada kalori, jadi ia tidak akan membuatkan anda gemuk. Tetapi sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak sekaligus, ia boleh menyebabkan perut anda buncit.

14.    Lepas bersenam, seeloknya minum air yang sejuk. Kerana badan yang panas lebih cepat menyerap air yang sejuk.

15.     Cara buang lemak paling berkesan dan tiada risiko adalah melalui penjagaan pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten. Cara yang berisiko adalah melalui pengambilan ubat-ubatan atau sedut lemak (liposuction).

Senaman untuk kurus:

Anggota Sasaran
Senaman yang paling bagus dilakukan
Untuk kecilkan peha
Angkat kaki ke sisi secara berulang
Untuk kecilkan punggung
Squad
Senaman menggunakan fitball
Untuk kardio/jantung
Berjalan
Kempiskan perut
Sit up
Senaman paling bagus untuk cepat kurus
berenang

Macam mana? Boleh ke bersenam secara konsisten selepas ini? Sebenarnya tiada alasan yang boleh diberikan untuk tidak bersenam. Sambil duduk-duduk di atas kerusi pun boleh bersenam. Cuma perlu tahu kaedah senaman yang betul. Nanti mendatangkan kecederaan pula. Daripada nak kurus, jadi sakit la pulak kan.

Lepas ni, bolehlah masukkan azam untuk bersenam secara konsisten setiap hari dalam senarai azam tahun baru 2015 (sementara tengah bersemangat :)). Barulah boleh mentapai target berat badan ideal. Hehehe.

InsyaAllah, akan ku usahakan! Selamat bersenam semua!

Wassalam.

Friday 12 December 2014

Beguk. Bahayakah?

Teks: Rahimah Binti Omar

Minggu ini tuan puteri sulung Nur Aleeya tidak ke taska kerana beguk. Kasihan Yaya. Sudah 2 hari demam baru bengkak di sebelah telinga/leher kiri timbul. Pergi jumpa doktor, sahlah beguk rupanya.

Kata doktor, beguk ini bahaya untuk kanak-kanak lelaki. Ada risiko mandul. Terkejut juga saya dan suami mendengarnya. Ini pertama kali kami berdua mendengar beguk merbahaya kepada kanak-kanak lelaki dan boleh menyebabkan mandul. Maklumlah. Jarang ada ahli keluarga yang terkena beguk ni.

Memandangkan doktor kata beguk ini boleh berjangkit terutama melalui air liur (batuk, bersin, direct touch), cepat-cepat kami merancang untuk menghantar iman ke rumah Opah di Tanjung Malim kerana tidak mahu Iman pula dijangkiti beguk. Kebetulan Abang Khalis memang ditinggalkan di Tanjung Malim bersama sepupunya Kak Dini. Saya minta pertolongan adik untuk menjaga Yaya sepanjang Yaya tidak ke taska.

Walaupun doktor sudah sahkan bahawa beguk ini merbahaya kepada kanak-kanak lelaki, saya google juga di internet untuk dapatkan sedikit maklumat mengenai risiko dan rawatan beguk ini. Manalah tahu, lepas ini ada mana-mana anak lain pula yang berjangkit.

Banyak maklumat berkaitan beguk yang saya dapat hasil carian di Google. Saya kongsikan sedikit info yang saya dapat dari www.myhealth.gov.my berkenaan beguk untuk makluman bersama.

Apa itu beguk?

Beguk merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia menyebabkan bengkak dan rasa sakit pada kelenjar parotid. Ia mudah berjangkit dan virus merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin. Ia boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.

Gejala atau tanda beguk
Tanda dan gejala jangkitan bermula selepas 12-25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada simptom awal, mereka mungkin menghadapi:
·         Demam.
·         Sakit kepala.
·         Mulut kering dan hilang selera.
·         Keletihan.
·         Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid.
Gejala ini biasanya hilang dalam masa 10–12 hari.

Komplikasi
Walaupun semua orang yang dijangkiti biasanya akan pulih sepenuhnya, kadang-kala komplikasi juga boleh berlaku seperti:
·         Encephalitis (Pembengkakan pada otak).
·         Meningitis (Pembengkakan pada lapisan otak).
·         Pancreatitis (Inflamasi pada pankreas).
·         Orchitis (Lebam pada testis) berlaku pada lelaki dewasa.
·         Pekak.

Rawatan
Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan:
·         Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit.
·         Mengambil lebih minuman tetapi elakkan jus-jus yang berasid.
·         Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan.

Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau sehingga bengkak tersebut hilang.

Pencegahan

Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada umur 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun sebagai sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps, measles and rubella). Ianya sangat berkesan untuk mencegah beguk ini.

Petua untuk meredakan bengkak beguk


Sapu nila yang telah dicampurkan dengan cuka ke sekitar kawasan yang bengkak. Ada juga yang kata air asam jawa yang pekat juga boleh digunakan untuk menggantikan cuka sekiranya tiada. Tetapi berdasarkan kajian saintifik, tiada lagi bukti yang menunjukkan cuka, nila atau asam jawa ini boleh mengurangkan bengkak tersebut. Ada kemungkinan cuka atau air asam jawa tersebut menghasilkan rasa dingin/sejuk dan menyebabkan rasa sakit berkurangan.

Semoga bermanfaat :)

Kepentingan Senaman Dalam Pengurusan Stress

Teks: Rahimah Binti Omar

Minggu lepas saya berkesempatan mengikuti satu program anjuran jabatan iaitu Kursus Pengurusan Stress yang bertajuk “Kepentingan Senaman Dalam Pengurusan Stress”. Penceramahnya adalah Tuan Hj Syaiful Anwar Bin Hj Ishak dari Jump For Heart and Health (JFHH) Rawang, Selangor.

Seronok mengikuti kursus ini. Walaupun hanya satu hari tetapi ia diisi dengan pelbagai senaman dan aktiviti fizikal. Antara yang diajar adalah mengenai kepentingan senaman, kesihatan jantung, fakta dan mitos mengenai kurus, senaman yang berkesan dan lain-lain lagi.

Sepatutnya hari itu semua peserta dikehendaki memakai pakaian sukan. Maknanya kasut juga adalah kasut sukan. Tapi disebabkan stokin tak jumpa, kasut juga entah ke mana, maka saya hanya memakai sandal sahaja. Nampak sangatlah “rajin” bersenam kan. Jadi, semua senaman dan aktiviti fizikal saya buat dengan memakai sandal. Sangatlah tidak sesuai sebenarnya. Hasilnya, kaki saya sangatlah sakit dan lenguh-lenguh sehinggakan nak tidur malam pun susah. Sudahnya niat di hati, jika tak baik juga lepas bangun tidur, memang kena ambil MC lah jawapnya. Tetapi Alhamdulillah. Bangun pagi everything back to normal:)

InsyaAllah, saya akan tuliskan satu entri khas mengenai semua yang saya belajar pada hari tersebut.


Jom kita bersenam :)

Thursday 11 December 2014

Aku Tanya Apa Khabar Semua…

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Sudah lama tidak update entri. Banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini memenuhi hari-hari saya yang sememangnya penuh dengan pelbagai urusan. Bulan Disember pun sudah hampir ke pertengahan bulan. Maknanya sudah tak berapa hari lagi kita akan memasuki tahun baru.

Tahun 2015 yang dikatakan sebagai tahun yang penuh cabaran terutama dari aspek kewangan. Bersiap sediakan kita untuk menghadapinya?

Rezeki Allah yang tentukan. Sebagai manusia, kita hanya perlu berusaha dan berdoa. Berdoa semoga dilimpahi rezeki yang cukup, halal dan diberkati untuk sekeluarga. Jangan takut tidak cukup duit. Mungkin kita tidak mempunyai duit yang banyak tetapi kita mempunyai rezeki yang cukup. Duit bukan segala-galanya dan kita perlu luaskan pemikiran dan pemahaman mengenai konsep rezeki. Rezeki bukan sahaja duit. Rezeki adalah apa-apa nikmat yang Allah kurniakan untuk kesenangan kita. Jadi, bersyukurlah dengan apa yang ada. InsyaAllah, rezeki yang telah ditetapkan olehNya untuk kita akan kita terima juga bila sampai waktunya.

Jadi, usah takut untuk menghadapi tahun baru. Kita hadapi cabaran masa akan datang dengan membuat perancangan rapi dalam semua aspek. Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal. Sudah boleh mula menyenaraikan azam atau impian untuk dilaksanakan pada tahun hadapan.

Untuk saya sendiri, azam umum setiap tahun adalah untuk menjadi lebih baik sebagai seorang isteri, ibu, pekerja dan hambaNya. Mahu memantapkan dan melipatgandakan usaha untuk beribadah kepadaNya. Mahu lebih banyak mengingatiNya daripada mengingati urusan dunia. Mahu menjadi ibu mithali yang boleh menjadi contoh kepada anak-anak. Azam yang lain jika nak disenaraikan memang banyak. InsyaAllah akan saya laksanakan satu persatu. 


Semoga saya dan suami diberi kekuatan, ketabahan, kesihatan, kewarasan, kesabaran dan ketenangan  untuk sama-sama melayari bahtera rumah tangga dan mendidik anak-anak amanah Allah ini untuk tahun depan dan tahun-tahun akan datang. Amin. 

Tuesday 2 December 2014

My Sweet Princess, Nur Aleeya Adriana.

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.



Syukur padaNya. Tuan Puteri Nur Aleeya Adriana telahpun mencecah usia 3 tahun pada 28 November yang lalu. Alhamdulillah, syukur sekali lagi.

Kelahiran Nur Aleeya 3 tahun yang lalu sangat-sangat di nantikan oleh Mama dan Papa. Maklumlah, anak perempuan pertama. Tak sabar rasanya nak tengok rupa tuan puteri sulung kami. Tambahan, Nur Aleeya juga cucu perempuan pertama bagi keluarga sebelah saya. Jadi, semua orang pun excited nak tengok baby girl kami ini.



Inilah dia tuan puteri Nur Aleeya Adriana kesayangan Mama dan Papa. Dialah penyeri, dialah penyebab stress Mama dan Papa. Dia penceria suasana dan pembingit telinga. Dia juga teman sepermainan Abang Khalis dan Abang Iman. Kakak yang penyayang kepada baby Nur Aneesa Aisyah. Juga teman baik baby yang selalu mengangkat beg baby setiap hari pergi dan balik nursery.

Alhamdulillah Ya Allah. Anak ini sudah cukup sempurna buatku. Jadikanlah dia anak yang solehah ya Allah, anak yang taat kepada agama Mu. Anak yang mendengar kata kedua ibubapa. Anak yang boleh menjaga kami apabila kami tua nanti. Ya Allah, aku pohon kepadaMu, kau peliharalah anakku ini daripada segala kejahatan manusia yang zalim, kejahatan syaitan yang direjam, bala bencana di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.

Buat Nur Aleeya Adriana sayang, selamat hari lahir anakku. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki. Mama dan Papa sayangkan Yaya untuk selama-lamanya.