Friday 24 October 2014

Cucu Opah Sayang

Teks: Rahimah binti Omar

Cuti Hari Deepavali yang lalu kami merancang untuk pergi membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur. Lama rasanya tidak ke sana. Jadi kami bersiap-siap untuk ke sana. Temujanji dengan adik yang tinggal di sana pun telah dibuat. Sambil-sambil dapatlah tolong kami melihat anak-anak. Seperti biasa keperluan anak-anak dibawa lebih. Manalah tahu hendak tumpang berehat-rehat di mana-mana.

Namun nasib tidak menyebelahi kami. Adik terpaksa membatalkan janji di saat akhir atas sebab tertentu. Rasa frust juga. Tetapi tidak mengapalah. Anggap sahaja tiada rezeki. Jadi, kami teruskan plan B yang dibuat secara tiba-tiba, iaitu teruskan perjalanan ke rumah mak mertua di Tanjung Malim.

Seronok mak dan abah dapat jumpa cucu-cucu terutama si kecil Aneesa. Hampir 2 minggu juga tidak berjumpa. Mak dan abah sangat teruja melihat Aneesa yang sudah boleh berdiri dan berjalan selangkah dua. Bergilir-gilir mak dan abah melayan si kecil. Nampak sangat rindunya pada cucunya nan satu ini. Bukan tidak rindu yang lain, tapi yang kecil inilah yang diulit dikelek ke sana ke mari semasa kami sekeluarga menumpang kasih di rumah mereka untuk beberapa bulan yang lalu. Terpancar cahaya gembira di wajah mereka terutama emak.

Memang betul telahan saya. Emak rindukan anak-anak. Semasa duduk bersembang dengan emak di depan tv sambil melayan si kecil bertatih jalan, emak bercerita bahawa telah beberapa kali dia menyebut rindukan budak-budak kecil ini. Abah kata bersabarlah kerana akan berjumpa juga pada hujung minggu di rumah adik ipar di Temerloh nanti. Rupanya rezeki emak dan abah untuk jumpa anak-anak. Memang telah ditetapkan olehNya, saya tidak dapat pergi membeli belah kerana hendak memberi peluang kepada emak berjumpa anak-anak dan melepaskan rindunya. Allahuakbar. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Walaupun kami balik hanya sehari, namun cukup untuk membuat mak dan abah gembira. Alhamdulillah. Insyaallah, kami sekeluarga akan ke Temerloh pada hujung minggu ini. Dapatlah mak dan abah melayan cucu-cucunya lagi. Saya cuma berharap anak-anak sihat sahaja. Jika tidak nak ke mana-mana pub susah. Semoga perjalanan dan hujung minggu kami sekeluarga berjalan lancar hendaknya. Amin.

Monday 20 October 2014

Aktiviti hujung minggu

Teks: Rahimah binti Omar

Hujung minggu yang lalu kami sekeluarga tidak ke mana. Minggu sudah baru sahaja berjalan makan angin di kampung keluarga belah suami di Kuala Kangsar. Tambahan, suami pula balik ke Terengganu pada malam Sabtu. Jadi, saya dan anak-anak hanya membuat aktiviti di rumah sahaja.

Disebabkan kami sekeluarga selalu keluar beraktiviti dan tidak lekat di rumah ketika hujung minggu, anak-anak cepat rasa bosan apabila sesekali duduk di rumah. Hari Sabtu boleh tahan lagi, masuk hari Ahad mulalah masing-masing buat muka kebosanan. Alahai. Kasihan pula rasanya. Tetapi saya tidak mampu untuk bawa 4 orang anak bersiar-siar bersendirian. Hendak layan kerenah mereka lagi. Bersiar-siar hanya ketika Papanya ada saja.

Disebabkan tidak mampu bawa anak-anak keluar dan saya tahu anak-anak akan bosan bila  duduk di rumah tanpa ada aktiviti luar rumah, saya ajak mereka buat beberapa aktiviti yang boleh menyeronokkan mereka. Contohnya, hujung minggu yang lalu saya ajak anak-anak cuci kereta. Isi air sabun sebaldi, beri seorang satu kain untuk mengelap, pakaikan baju yang bersesuaian, maka bolehlah mula membasuh kereta.



Abang Khalis berposing sambil menyental body kereta.


Iman paling seronok menyental tayar kereta. Favourite part tu.


Si kecil Aneesa pun turut serta bermain buih sabun :)

Mana Aleeya? Entah kenapa tuan puteri hari ini tidak berminat untuk bermain buih sabun.

Sebenarnya kereta yang dicuci tidaklah sebersih mana. Hanya sebelah itu sahajalah yang mereka gosok pun. Lebih banyak bermain air dan buih sabun dari membasuh kereta. Tidak mengapalah. Bukan hendak suruh mereka cuci betul-betul pun. Sekadar untuk bagi mereka seronok. Itu sahaja. Tidak perlu keluarkan kos untuk ke taman tema air kan. Hehehe.

Setelah penat main cuci-cuci kereta, kita makan aiskrim pula. Sesekali bagi anak-anak seronok menikmati aiskrim dengan memvariasikan hidangan aiskrim tersebut. Kali ini kebetulan Kak Long saya memberi cream puff kepada saya. Jadi, saya hidangkan aiskrim dengan cream puff. Biasanya saya suka makan aiskrim dengan roti atau pisang. Tetapi memandangkan semua itu tiada di rumah, saya gunakan apa yang ada sahaja lah.


Hari Ahad, Achik sekeluarga datang menyinggah. Seronok anak-anak dapat bermain bersama kak Dini, Nabil dan Danial.


Sempat berposing 6 bersaudara ini.


Alhamdullillah. Walaupun Papa tiada di rumah, Mama dapat juga melakukan aktiviti untuk anak-anak supaya mereka tidak bosan. Bukan senang hendak melayan kerenah anak-anak yang masih kecil ini. Tetapi Mama cuba sebaik mungkin supaya anak-anak sentiasa gembira dan sihat. Lepas ini kena fikirkan apa lagi aktiviti yang boleh dibuat di hujung minggu terutama sekiranya Papa tiada. Apa pun semoga Mama juga diberi kesihatan dan ketenangan supaya dapat melayan dan menguruskan anak-anak mama dengan baik.

Keep up the good work Mama!



Perubahan Bermula Dengan Saya: Jom Jimat Elektrik!

Teks: Rahimah binti Omar

'Perubahan bermula dengan saya'. Inilah tajuk pamplet yang saya jumpa ketika membuat carian dengan Mr Google berkaitan langkah-langkah penjimatan elektrik di rumah. Hmm.. Betullah. Jika diri sendiri tidak memulakan usaha untuk berjimat cermat dalam penggunaan elektrik di rumah atau di tempat kerja, siapa lagi yang hendak diharapkan. Bukan mudah untuk mengajak orang lain jika tiada kesedaran dalam diri masing-masing.

Antara yang dikongsi dalam pamplet ini adalah berkenaan dengan bagaimana untuk kita berjimat terutama bagi surirumah seperti saya. Secara amnya, elektrik boleh dijimatkan dengan mematikan suis dan menanggalkan plag apabila peralatan elektrik tersebut tidak lagi digunakan. Dengan cara ini sudah pasti aliran elektrik tidak akan berjalan. Jom kita tengok langkah-langkah lain berkaitan dengan peralatan dalam rumah yang boleh kita amalkan.

Peti sejuk

1. Simpan stok barang dalam peti sejuk sehingga  dua pertiga penuh. Jangan melebihi had muatan yang dibenarkan.

2. Tutup bekas bahan bercecair dan bungkus makanan yang disimpan dalam peti sejuk.

3. Elakkan daripada selalu membuka peti sejuk kerana 30% udara sejuk akan keluar setiap kali pintu dibuka.

4. Periksa jalur magnet pada pintu peti sejuk. Caranya, letakkan RM1 pada pintu dan tutup pintu peti sejuk. Jika duit kertas tersebut boleh ditarik keluar dengan mudah, maka jalur magnet peti sejuk tersebut perlu ditukar.

5. Lakukan penyahbekuan sekiranya ketebalan fros melebihi 6mm.

6. Elakkan dari menyimpan makanan yang panas atau suam.

7. Letakkan peti sejuk jauh dari tempat atau bahan yang panas. Jarakkan sebanyak lebih kurang 15cm daripada dinding untuk mewujudkan pengaliran udara yang baik.

8. Jika bercuti panjang, kosongkan peti sejuk, tutup suis dan cabut plag.

Penghawa dingin

1. Gunakan kipas. :)

2. Tetapkan suhu kepada 23 - 26°C.

3. Letakkan pelindung pada penghawa dingin kerana ia akan meniimatkan 10% bekalan elektrik berbanding dengan penghawa dingin yang terdedah kepada cahaya matahari.

4. Tetapkan kipas pendingin udara anda kepada "ON" daripada "AUTO" kerana aliran udara yang stabil akan membantu menstabilkan suhu bilik dan seterusnya menjimatkan elektrik.

4. Beli pendingin hawa yang sesuai saiznya.

Mesin basuh

1. Jika kerap menggunakan mesin basuh, dicadangkan membeli mesin basuh jenis muatan hadapan. (Sebenarnya yang ini saya tidak tahu apa rasionalnya :) )

2. Isi penuh dengan pakaian bagi setiap cucian.

Seterika

1. Gosok pakaian dalam jumlah yang banyak.

2. Tinggalkan pakaian yang mudah untuk digosok akhir sekali kerana pakaian ini boleh digosok dengan menggunakan haba yang sedia ada apabila suis seterika dimatikan.

Pencahayaan/lampu

1. Matikan suis lampu dan kipas jika tiada sesiapa di dalam bilik atau di ruang tersebut.

2. Bertukar kepada lampu jenis fluorosen kompan untuk pencahayaan dalaman.

3. Gunakan cahaya matahari untuk pencahayaan pada waktu siang.

4. Gunakan cat warna cerah untuk pembalikan cahaya yang baik.

Komputer

1. Gunakan komputer riba atau komputer yang mempunyai skrin leper.

2. Elakkan penggunaan 'screen saver' dan matikan suis monitor jika tidak digunakan.

Televisyen

1. Tonton pada waktu yang sesuai.

2.  Tutup suis dan cabut plag jika tidak digunakan. Jangan gunakan mode standby kerana aliran elektrik masih berjalan.

Sebanyak mana elektrik boleh dijimatkan? Cuba lihat jadual ini.



Sebenarnya banyak yang kita boleh lakukan untuk menjimatkan elektrik. Apabila elektrik dapat dijimatkan, wang pun dapat dijimatkan. Alam sekitar juga turut terpelihara dan haba juga dapat dikurangkan.

Mulakan hari ini dan mulakan dengan diri sendiri. InsyaAllah,  bulan ini saya akan kurangkan bil elektrik saya. Jom jimat elektrik!

Sumber rujukan: www.kkk.org.my

Sunday 19 October 2014

Hari ini aku menangis...

Teks: Rahimah bt Omar

Hari ini saya menangis... menangis dan meraung dalam hati setelah melihat bil elektrik yang melambung lebih 2 kali ganda daripada biasa. RM336.80 untuk sebulan dikira dari 11 sept sehingga 10 Oktober. Allahu Akbar! Di manalah silapnya ye. Apa yang kami sekeluarga buat sehingga bil naik mencanak-canak. Termenung sekejap memikirkan apa yang menyumbang kepada kenaikan bil elektrik bulan lepas.

Seingat saya, kami sekeluarga balik berpindah semula ke rumah pada 1 September 2014. Walaupun sudah balik semula ke rumah, namun tidak semua ruang kami gunakan. Kebanyakan masa kami sekeluarga duduk di ruang bawah. Baik siang mahupun malam. Tidak larat hendak turun naik selalu. Lebih-lebih lagi ada anak kecil ni, risau pula kalau mereka main di tangga. Sudahnya berkampung di ruang bawah sahaja lah.

Tiada kenduri-kendara yang kami anjurkan. Tetapi dalam tempoh sebulan yang lalu, keluarga sebelah saya dan suami kerap datang. Untuk tolong saya menjaga anak sementara saya mencari tempat yang sesuai. Memandangkan emak dan abah sudah berusia, mereka juga lebih gemar duduk di bawah. Hanya waktu tidur sahaja kadang-kadang abah akan naik tidur di bilik atas. Sakit badan katanya tidur beralaskan toto sahaja.

Pada waktu malam, hanya lampu luar dan satu lampu dapur sahaja yang dibuka. Sistem penggera keselamatan dibuka sepanjang masa seperti biasa. Sebelum ini begitu juga, tetapi tidaklah sebanyak ini bil elektriknya.

Rasanya jika dinisbahkan penggunaan ruang dan elektrik, sepatutnya dah boleh jimat elektrik. Tetapi manalah silapnya ye. Saya rasa ini berpunca dari penggunaan aircond yang berlebihan. Aircond yang kerap digunakan adalah aircond di ruang tamu. Horsepower 2.0. Aircond buka, kipas pun dibuka juga. Sudahnya kesejukan bila menjelang pagi.

Waktu siang juga aircond di ruang tamu di pasang sekiranya hari panas. Lebih-lebih lagi kalau suami ada di rumah. Berkuap katanya. Makin keraplah aircond dipasang.

Televisyen juga menyumpang kepada kenaikan bil elektrik bulan lepas. Mana tidaknya. Anak-anak menonton cerita kegemaran berulang-ulang kali sehinggakan tiada ruang untuk menonton berita semasa. Aleeya juga ketika itu masih belum dihantar ke taska. Kasihan atuk dan opah. Terpaksa menonton cerita Frozen, Monster University, Finding Nemo dan lain-lain berkali-kali. Dan ini jugalah yang menyumbang kepada kenaikan bil elektrik.

Hari ini sudah 20 haribulan. Tapi tidak mengapa. Masih sempat untuk mengamalkan langkah-langkah penjimatan untuk memastikan bil elektrik bulan ini tidak seperti bulan lepas. Tidak boleh tidak, penjimatan perlu dilakukan.

Langkah pertama telah diambil pagi tadi. Walaupun terlambat, sebelum keluar saya pastikan semua suis termasuk suis tv yang kebiasaannya dibiar dalam mode standby, ditutup.

InsyaAllah, kalau sentiasa beringat, saya pasti bil elektrik boleh dikurangkan walaupun tinggal berapa hari sahaja lagi bil baru akan dikeluarkan.

Monday 13 October 2014

Jom le kome ke Kuale Kangsor!

Teks: Rahimah binti Omar

Sudah lama tidak ke Kuala Kangsar, Bandar Di Raja Perak. Hujung minggu yang lalu, kami sekeluarga pergi ke Kuala Kangsar menghadiri majlis kenduri kahwin sepupu iaitu anak kepada pakcik sebelah suami. Apalagi, kesempatan yang ada, kami singgah sebentar di Pekan Kuala untuk menikmati cendol dan laksa. Sebenarnya tiada apa yang istimewa dengan cendol dan laksa di Pekan Kuala ini. Sama sedap seperti di tempat lain. Tetapi yang menjadikan ia menarik adalah suasana tempat makan di tepi Sungai Perak. Sambil-sambil minum cendol dan makan laksa, boleh menikmati keindahan sungai yang mengalir tenang.



Kami menginap di Riverview Resort. Resort yang berada betul-betul di tepi Sungai Perak. Pemandangannya cantik dan menenangkan jiwa. Seronok anak-anak dapat bermain dan berlari di tepi sungai. Kesian anak-anak. Lama sebenarnya tak bawa diorang berjalan-jalan.


Seberang sungai ada Mr Os Chalet. Kami sekeluarga merancang untuk cuba menginap di Mr Os Chalet pula lain kali. Kelihatan dari jauh macam menarik.




Kalau sudah berjalan-jalan tidak sah kalau tidak makan. Terutama kalau ada makanan yang menarik di satu-satu tempat di kawasan tersebut. Contohnya, pertama kali di Pekan Kuala ini kami jumpa roti barakah. Home made roti yang dibakar dan di sapu mentega. Di atasnya ada sebiji telur mata separuh masak dan ada home made kaya. Roti barakah ini hanya dijual di pasar pagi atau pasar minggu. Gerai tepi jalan sahaja tetapi rasanya sangat sedap. Kualiti yang lagi bagus daripada roti bakar di restoran kopitiam tetapi boleh dapat dengan harga yang murah.

Inilah keluarga kami. Percutian hujung minggu yang tidak dirancang ini biasanya akan jadi lebih seronok dan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti - aktiviti makan-makan dan jalan-jalan.  Kadang-kadang bila merancang untuk bercuti, ada sahaja rancangan yang tidak menjadi. Jadi, kami lebih suka gamble dan redah sahaja. Asalkan anak-anak sihat, jauhlah langkah kami sekeluarga.

Dua minggu lagi kami merancang untuk ke Temerloh, Pahang ke rumah adik ipar. Sambil-sambil bolehlah ke Gambang pula. InsyaAllah. Jika tiada aral dan diizinkan Nya, sampailah kami sekeluarga nanti.

Gambang, mu tunggu aku datang :)



Tuesday 7 October 2014

Ayam Masak Susu Ibu Mertuaku

Teks: Rahimah binti Omar

Alhamdulillah! Menjadi juga saya menyediakan ayam masak susu resepi ibu mertua di hari raya aidiladha kali ini. Masakan kegemaran suami dan anak-anak. Khalis panggil ayam masak cheese. Biasanya saya hanya membantu mak mertua masak. Tetapi kali ini saya berpeluang masak sendiri. Alhamdulillah, suami kata sedap macam mak masak :)

Sebelum balik kampung hari itu, memang sudah maklumkan pada suami yang saya hendak memasak ayam masak susu ini. Suami suka. Masakan ini juga adalah kegemaran anak cucu mak mertua saya. Saya juga suka. Sebelum ini saya tidak pernah jumpa atau makan ayam masak susu ini. Sekali rasa, hmmmm... Memang lazat.

Saya kongsikan resepinya di sini. Manalah tahu, boleh jadi makanan kegemaran anda sekeluarga pula selepas ini.




AYAM MASAK SUSU


Daging ayam - gaulkan dengan serbuk kunyit sedikit dan goreng separuh masak

1 tin kecil minyak sapi atau ghee
Minyak masak
2 tin susu cair
5 biji tomato - kisar halus
3 biji bawang besar - potong bulat
2 batang lobak merah - potong bulat
2 sudu tomato puri atau sos tomato
6 ulas bawang putih - ditumbuk atau dikisar halus
3 sudu madu
3 sudu tomato puri atau sos tomato
Kismis
Kacang pis
Sedikit lada hitam
Garam

Cara-caranya:

1. Panaskan kuali. Masukkan sedikit minyak masak. Masukkan minyak sapi. Kacau sehingga sebati.
2. Masukkan bawang putih yang telah dikisar tadi. Kacau rata. Kemudian masukkan tomato, tomato puri atau tomato sos. Kacau rata.
3. Tuangkan susu cair. Sekiranya hendak kuah yang banyak, boleh tambah susu lagi. Masukkan madu.
4. Masukkan ayam. Kacau rata.
5. Masukkan bawang besar, lobak merah, kismis dan kacang pis. Kismis dan kacang pis adalah pilihan. Gaul rata. Jangan lupa garam ye.
6. Kalau suka pedas boleh tambah lada kering yang telah dikisar sedikit.
7. Biarkan sehingga kuah menjadi pekat. Siap dan bolehlah dihidangkan untuk santapan keluarga.

Mudah kan. Jadi, kalau dah bosan dengan resepi yang biasa di masak, bolehlah mencuba resepi ini pula.

Selamat mencuba :)

p/s: Gambar ayam masak susu dalam kuali tu sudah tinggal separuh. Yang dihidang dalam mangkuk tak sempat nak ambil gambar, dah selamat kena makan. Hehehe.










Sunday 5 October 2014

Selamat Hari Raya Aidiladha

Teks: Rahimah binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah... Masih diberi kesempatan menyambut hari raya aidiladha bersama keluarga pada tahun ini. Dan tahun ini giliran beraya di rumah keluarga belah saya di Batu Pahat, Johor pula. Awal-awal sudah terbayang rendang ayam dan ketupat emak.

Tahun ini keluarga Mokde beraya bersama kami di kampung. Terasa meriah... meriah dengan makanan yang pelbagai jenis. Rendang ayam, ketupat, serunding daging, sayur lodeh, sate dan kuah kacang. Adik ipar juga membawa juadah dari rumah ibunya yang berketurunan jawa. Pernah makan botok-botok? Saya sendiri pun baru pertama kali merasa botok-botok ini. Semacam ikan pais, tetapi dicampur dengan daun-daun ulam-ulaman yang pelbagai yang kemudiannya dibungkus dalam daun pisang dan dikukus. Walaupun saya juga mempunyai darah jawa, namun juadah ini kurang menepati selera saya yang lebih kepada masakan melayu.

Di pagi hari raya, sibuk di kaca televisyen kisah korban kemalangan jalan raya yang meragut nyawa 6 sekeluarga. Mereka dalam perjalanan balik ke kampung untuk beraya bersama keluarga. Allahuakbar! Sedihnya, Tuhan sahaja yang tahu. Teringat kisah sedih tiga tahun yang lalu. Arwah Tok Mak meninggalkan kami dua hari sebelum hari raya aidiladha. Ketika itu, tiada hari raya bagi kami sekeluarga. Hari raya kami sambut dengan kenduri tahlil dan bacaan yassin untuk arwah Tok Mak.

Rindunya dengan arwah. Sate adalah antara makanan kegemarannya. Jika ada cadangan untuk membuat sate ketika hari raya, laju sahaja dia setuju. Tekun Tok Mak mencucuk sate. Terbongkok-bongkok. Tetapi tetap bersemangat. Bila melihat dia makan, berselera sungguh. Arwah memang suka makan. Walaupun sudah tua, seleranya tetap ada. Tawarlah makanan apa pun, dia tidak akan menolak. Suka melihat Tok Mak makan.

Itu antara kenangan manis dengan arwah Tok Mak. Pemergiannya satu kisah yang amat menyedihkan. Ada kisah tersembunyi yang hanya kami sekeluarga sahaja yang tahu. Biarkanlah. Tidak perlu menceritakan kepada orang lain. Yang penting doa kami untuk arwah, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihiNya.

Esok kami sekeluarga akan pulang semula ke tempat kami. Jalan raya pastinya sesak dengan kenderaan yang ingin pulang ke ibu kota. Rabbi yassir wala tuassir. Semoga dipermudahkan perjalanan kami esok dan semoga selamat sampai ke destinasi.

Sempena hari raya aidiladha yang mulia ini, saya berdoa semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat Ilahi dan sentiasa di bawah perlindungannya. Bagi yang melaksanakan ibadah korban tahun ini, semoga korban kita diterima oleh Allah Subhanahu Wataala dan diberkatinya. Amin.

Salam Aidiladha 2014 :)


Thursday 2 October 2014

Anakku sayang

Teks: Rahimah binti Omar

Hari ini saya membaca coretan hati seorang ibu mengenai luahan hati anak sulong beliau berumur lebih kurang 6 tahun yang terasa hati kerana kurangnya perhatian si ibu kepadanya dek sibuk melayan adiknya yang kecil. Betapa si kakak teringin memusing kembali masa lampaunya sebagai bayi supaya ibunya memberi perhatian kembali kepadanya. Sungguh. Saya sedih membaca kisah itu. Terasa seperti saya juga pernah melakukan perkara yang sama kepada anak-anak saya.

Jika kita perasan, kisah-kisah sebegini banyak dipaparkan di blog-blog atau di facebook. Kisah anak yang ingin menjadi telefon pintar kerana inginkan perhatian yang lebih daripada ibubapa dan ahli keluarganya. Kisah si anak yang mengumpul duit untuk membeli satu jam waktu bekerja si ayah kerana ingin meluangkan masa bersamanya dan macam-macam lagi.

Sejujurnya saya tidak pasti sama ada kisah-kisah ini sengaja dibuat-buat atau kisah benar dalam kehidupan seseorang. Yang penting matlamatnya adalah satu iaitu memberi kesedaran kepada ibubapa supaya memberi perhatian yang lebih kepada anak-anak terutama bagi anak-anak yang masih kecil.

Membaca kisah itu membuatkan saya terpanggil untuk berkongsi kisah kehidupan saya mengurus dan menjaga 4 orang anak-anak yang masih kecil tanpa suami di sisi. Jangan salah faham ye. Suami ada tetapi bertugas di Terengganu. Jadi, kebanyakan masa saya menguruskan anak-anak dan rumah tangga sendirian. Suami saya akan pulang setiap hujung minggu tanpa gagal. Namun, agak sukar juga kerana hujung minggu kami tidak sama. Suami berhujung minggu pada hari Jumaat dan Sabtu, manakala saya pula pada hari Sabtu dan Ahad. Sabtu adalah hari untuk kami beraktiviti bersama.

Allah kurniakan kami dengan 4 orang cahaya mata dalam usia perkahwinan yang masih muda. Khalis 5 tahun, Iman 4 tahun, Aleeya 2 tahun dan Aneesa 9 bulan. Alhamdulillah. Walaupun jarak antara satu dengan yang lain sangat rapat iaitu antara 1 tahun ke 2 tahun, namun kami bersyukur kerana ini adalah rezeki dan nikmat yang tidak semua orang boleh perolehi.

Bila saya ceritakan saya menjaga anak sendirian tanpa pmbantu rumah, ramai yang melahirkan rasa kagum. Wow! You are superwoman, supermom, mama kental dan lain-lain jolokan yang diberikan. Hakikatnya hanya saya sahajalah yang tahu betapa kelam kabut untuk menguruskan anak-anak yang masih kecil sendirian.

Ada juga yang bertanya. Tidak stress kah? Saya rasa orang yang bertanya sudahpun tahu apa jawapannya kan. Bila anak yang ini menangis nak susu, yang itu pula berteriak kerana berebut mainan. Yang sana menconteng dinding, yang sini pula sibuk menyepahkan mainan serata rumah. Saya memasak di dapur, ruang tamu sudah tunggang langgang semula. Saya mengemop lantai, mereka tumpahkan air di atas meja pula. Kalau begini keadaannya setiap hari, tidak stress kah? Belum lagi cerita urusan rumahtangga lain yang sememangnya perlu dilakukan oleh saya sendiri.

Sebagai manusia biasa saya tidak terlepas dari melakukan kesilapan. Seringkali saya menjerit pada anak-anak. Saya tidak pernah memukul. Sekadar mengacah-acah adalah. Tetapi, kalau diikutkan rasa hati, memang teruk anak-anak saya belasah. Hilang sabar juga kadang-kadang. Lama-kelamaan saya rasakan tidak guna saya menjerit memarahi mereka. Kerana setiap kali saya marah anak-anak, akan terbit rasa bersalah dalam hati terutama ketika menatap wajah anak-anak yang sedang tidur. Rasa kesal kerana tidak dapat mengawal amarah. Akhirnya saya tidur dalam keadaan sedih dan kesal.

Saya banyak membaca mengenai tips-tips keibubapaan terutama berkenaan bagaimana untuk mengawal marah ketika anak-anak buat perangai, cara berkomunikasi dengan anak-anak supaya tiada yang rasa terasing dan juga cara untuk mengawal keadaan anak-anak di samping membuat urusan rumah tangga yang lain.

Untuk saya ulaskan satu persatu, memang tidak pandai. Saya bukanlah pakar dalam bab ini. Tetapi saya boleh berkongsi apa yang saya lakukan dan bagaimana komunikasi saya dengan anak-anak.

Sebagai contoh, apabila dalam keadaan kelam kabut menguruskan anak-anak dan tugasan harian, saya ajak anak-anak untuk turut sama atau participate dalam urusan berkenaan. Khalis, anak yang sulong walaupun baru berusia 5 tahun, namun sudah boleh diharap untuk menolong mamanya. Sekadar kerja-kerja yang mudah seperti tolong buang pampers adik dalam tong sampai, pungut mainan yang bersepah, tolong ambilkan barang-barang dan lain-lain. Kadang-kadang adik-adik yang lain juga turut berebut-rebut membantu. Ini kerana saya cuba wujudkan suasana seronok ketika membantu saya seperti buat pertandingan atau games siapa cepat pungut mainan dia menang. Cepat sahaja bersih tempat bermain. Sudah selesai semuanya jangan lupa ucapkan terima kasih sebagai menghargai pertolongan mereka. Boleh juga sekiranya diberi ganjaran seperti coklat atau gula-gula. Pasti mereka suka untuk membantu di lain masa.

Pelukan ibu atau ayah sebenarnya sangat menenangkan. Itu yang saya cuba praktikkan setiap kali selepas memarahi anak terutama sekiranya saya terlebih marah. Apabila dah reda, saya akan peluk mereka. Cium mereka. Gosok belakang mereka. Dengan perlahan bisikkan di telinga mereka yang mama minta maaf. Jelaskan kenapa kita marah. Insyaallah walaupun anak itu sebenarnya tidak faham namun kemarahan, sakit hati atau rasa benci akan hilang. Saya suka suruh anak-anak senyum selepas memujuk mereka. Dan akhirnya mereka akan kembali ceria.

Kalau diikutkan banyak kisah-kisah saya dan anak-anak ingin saya kongsikan. Tetapi cukuplah dulu untuk hari ini. InsyaAllah saya akan sambung semula kisah ini di lain entri.

Jumpa lagi ya :)