Friday 28 November 2014

Tips Bercakap Dengan Lelaki

Teks: Rahimah Binti Omar

Hari ini saya ingin berkongsi mengenai tips atau cara-cara bercakap dengan lelaki. Tips ini saya extract dari video ceramah motivasi yang saya peroleh dari facebook. Sangat berguna untuk dipraktikkan apabila bercakap dengan suami, anak lelaki, pelajar lelaki, pekerja lelaki dan lain-lain yang berkaitan dengan lelaki. 

Analogi yang digunakan adalah kotak. Lelaki dikatakan boleh memegang satu kotak dalam satu masa. Maknanya lelaki boleh menerima 1 arahan sahaja dalam satu masa.  Seorang lelaki tidak akan mengingati apa kelemahannya, tetapi hanya mengingati apa kelebihan dan kekuatannya. Justeru, wanita/isteri/ ibu/ guru perempuan, bos perempuan perlu tahu bagaimana cara untuk bercakap dengan kaum lelaki ini. 

Tips #1: Beri arahan satu persatu dengan jelas. Jangan bagi arahan yang mengandungi 2 atau 3 perbuatan yang perlu dilakukan secara serentak. 

Sebagai contoh, apabila bercakap dengan anak lelaki: "Abang, barang-barang jangan sepah. Kasut letak kat atas rak, stokin masuk bakul, beg letak dalam bilik." 

Hasilnya, hanya kasut yang terletak di atas rak manakala beg dan stoking terbiar di depan pintu atau di ruang tamu.

Biasakan memberi arahan satu persatu apabila bercakap dengan lelaki termasuk suami sendiri. Apabila selesai satu perkara yang diarahkan, barulah berpindah ke arahan yang seterusnya.

Tengok contoh askar, arahan yang diberikan ketika berkawad adalah jelas dan satu persatu.   

Tips #2: Jika bertanya, sediakan jawapan objektif untuk dipilih. Lelaki tidak boleh menerima soalan yang jawapan berbentuk subjektif.

Sebagai contoh, apabila bertanya dengan suami: "Abang nak makan apa malam ni?". Hasilnya, suami akan ternganga atau terdiam kerana tiada jawapan dan tak boleh nak fikir apa jawapannya yang tepat. Paling bagus sekiranya ada jawapan "masak je la apa-apa pun" . =)

Jadi, kaedah yang terbaik apabila bertanya kepada lelaki adalah dengan menyediakan jawapan berbentuk objektif sekali. Sebagai contoh: "Abang nak makan tom yam ke nak makan tempoyak malam ni?". Pasti anda akan dapat jawapannya.

Permintaan atau suruhan juga boleh disertakan dengan pilihan objektif . Contohnya:"Abang pergi pasar malam belikan laksa. Kalau takde belikan saya mee goreng."

Pilihan/jawapan objektif memudahkan lelaki untuk membuat pilihan. Ini kerana lelaki dikatakan tidak suka fikir benda yang remeh temeh seperti ini. Katanya la kan...

Tips #3: Tempoh peralihan untuk menerima satu arahan ke satu arahan adalah 10 minit.

Sebagai contoh, sekiranya hari hujan dan suami sedang menonton TV. Apabila isteri menjerit meminta tolong mengangkat jemuran di ampaian, tindakannya sangat lambat. Macam malas ada, macam tak nak buat pun ada. Tetapi hakikatnya lelaki dikatakan hanya boleh switch kepada arahan lain iaitu daripada menonton tv kepada bangun untuk mengangkat kain dalam tempoh 10 minit. Sekiranya buat seklaipun, lelaki itu buat dalam keadaan stress. 

Jadi, isteri atau ibu perlu bertindak proaktif di mana apabila hari mendung, terus sahaja memberi arahan untuk mengangkat jemuran sebelum hari hujan.     

Macam mana? Ada betulnya tak? Kalau nak tahu, penceramah adalah lelaki tau. Saya rasa apa yang disampaikan telahpun dikaji dengan sebaik mungkin. 

Jika difikirkan, ada juga betulnya kan. Untuk para ibu dan isteri, bolehlah praktikkan ketika bercakap dengan suami atau anak-anak. Kita pun tak nak stress kan sekiranya arahan/ permintaan yang kita sampaikan tidak dilaksanakan dengan baik.

Jom kita amalkan!

TQ. 

  


Jimat Elektrik, Jimat Air

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Ingat tak 2 entri awal mengenai bil elektrik dan bil air yang naik mencanak-canak. Hampir nak menangis dibuatnya. Apa hasil setelah langkah-langkah penjimatan dibuat? Ha! Ini yang nak cerita ni.

Alhamdulillah, syukur sangat bila tengok bil elektrik dan bil air bulan ini. Kadar bil elektrik telah menurun lebih kurang RM140 walaupun masih belum mencapai target penggunaan biasa sebelum ini. Kadar bil air pula telah mencapai target. Penggunaan tidak mencapai RM10 pun. Inilah hasil penat lelah Mama menjerit-jerit suruh anak-anak tercinta berhenti main air lama-lama dalam bilik air. Hehehe.

Macam yang saya cerita sebelum ini, bil air naik mendadak kerana kecuaian saya menutup paip di sinki tingkat atas dan terbiar sehingga seminggu lamanya. Kebiasaannya memang inilah kadar yang kami bayar setiap bulan pun. Kalau lebih sekalipun hanya belasan ringgit sahaja. Bagaimana saya boleh berjimat sehingga kurang RM10 tu? Janganlah kagum sangat. Sebenarnya kami jarang ada di rumah pada hujung minggu. Hari bekerja pula hanya menggunakan air pada waktu malam untuk urusan diri, membasuh baju serta pinggan mangkuk dan memasak. Memasak pun tidak lah banyak mana pun, sekadar untuk makan kami 5 beranak. Anak-anak pun masih kecil. Jadi, tekak Mamanya lah yang lagi besar sebenarnya =)

Apa pun, bersyukur kerana telah menyelamatkan duit poket yang boleh digunakan untuk manfaat yang lain pula.

Syukur Ala Kulli Hal.


Wednesday 26 November 2014

Masam Manis Kak Ita

Teks: Rahimah Binti Omar





Assalamualaikum wbt.

Hari ini mencuri sedikit waktu rehat untuk blog walking. Lama sudah tak menyinggah di blog Masam Manis Kak Ita, pakar membuat kek yang sangat-sangat cantik dan menyelerakan. Betul! Saya tidak tipu. Sila lihat sendiri gambar-gambar kek dan masakan Kak Ita di laman web beliau. Memang terliurlah. Istimewanya Kak Ita ini selain pandai memasak dan membuat kek, beliau juga pandai dalam bidang fotografi. Jadi memang hiduplah semua gambar-gambar yang di upload dalam laman web beliau.

Sebenarnya sudah lama menjadi follower Kak Ita ini. Tetapi silent reader sahajalah. Selain teruja dengan resepi-resepi kek yang sangat membuka selera itu, saya juga suka membaca tips-tips memasak kek yang dikongsikan oleh beliau. Sudah lama berhajat untuk mengikuti kelas membuat kek dan pastri, tetapi apakan daya, waktu lapang sentiasa penuh dengan pelbagai aktiviti keluarga yang dirancang secara tiba-tiba. Jadi, sambil membaca resepi dan menatap gambar kek-kek dan masakan Kak Ita, sambil saya berangan-angan untuk membuat kek tersebut suatu hari nanti. Bak kata sahabat saya, berangan itu percuma :)

Saya berazam, satu hari nanti saya akan menyertai kelas membuat kek dan pastri dan memulakan baking project saya nanti. Bolehlah saya tambah satu lagi kategori dalam blog saya nanti iaitu “Baking Project”.

Kepada sesiapa yang berminat nak jalan-jalan di blog Kak Ita ini bolehlah ke www.azlitamasammanis.com. Mesti teruja melihat gambar kek yang sangat-sangat comel dan menyelerakan.


Selamat menjamu mata =)

English Cotton - Belleboo Design

Teks: Rahimah Binti Omar













Assalamualakum wbt.

Inilah dia si cotton Belleboo yang diceritakan haritu. Cantikkan corak-coraknya. Apa lagi kelebihan kain cotton jenama Belleboo ini? Mari saya ceritakan.

Kain cotton ini telah lama terkenal dan terbukti mempunyai kualiti terbaik antara kain-kain cotton yang lain. Ia telah diperakui oleh pesaing-pesaing yang lain. Apa yang hebatnya? Kain cotton ini ditenun dengan tenunan benang 40 melintang dan 40 menegak. Pergerakan mesin tenunan dijaga rapi agar menghasilkan kain cotton yang berkualiti dan terjamin. Warna yang digunakan untuk corak-corak di atas kain adalah daripada pewarna yang mahal dan berkuali agar tidak luntur.

Kain cotton Belleboo ini sangat mudah digosok. Ia tidak mudah berkedut jika dibandingkan dengan kain cotton yang lain. Tidak perlu untuk membasuh dahulu kain cotton ini sebelum dijahit kerana telah terbukti ia tidak mengecut (berdasarkan pengalaman). Corak-coraknya juga adalah yang terkini. Finishing nya menggunakan chemical yang terbaik agar kelihatan berkilat dan cantik.


Kain cotton Belleboo ini juga sudah berada dalam pasaran menjangkau lebih 30 tahun dan telahpun menembusi pasaran Eropah dan USA.   

Memandangkan ini kali pertama saya berniaga di blog saya ini, maka ada promosi yang ditawarkan. Hanya RM75 sahaja sepasang termasuk pos. InsyaAllah, anda pasti berpuas hati dengan kualiti kain cotton Belleboo ini. 

Jadi, kepada sesiapa yang berminat dengan corak-corak di atas, bolehlah menghubungi saya terus di 019-6930282 (whatsapp/sms). 

Terima kasih :)


Cuti Sekolah Sudah Bermula

Teks: Rahimah Binti Omar

Cuti sekolah sudah bermula. Anak-anak saya belum pun bersekolah. Tetapi, tadika juga ditutup ketika cuti sekolah dan hanya menjalankan perkhidmatan transit sahaja. Jadi, untuk mengelakkan anak-anak saya bosan di transit (tadika Khalis dan Iman), saya hantar kedua-duanya ke taska Yaya dan Baby Eecha kerana selain perkhidmatan transit, Taska Cahaya Tiara juga menyediakan program cuti sekolah untuk anak-anak 2 tahun ke atas. 

Memandangkan abang-abang pun sudah setempat dengan Yaya, saya masukkan juga Yaya untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang akan dilaksanakan sempena cuti sekolah ini. Takdelah dia rasa ketinggalan dengan abang-abang. Bolehlah diorang sama-sama berseronok melakukan aktiviti-aktiviti yang disediakan.

Antara aktiviti yang disediakan di Taska Cahaya Tiara ini adalah seperti swimming, lawatan ke perpustakaan awam, berkebun, baking project, solat berjemaah, jualan dan lain-lain lagi. Tengok jadual aktiviti, mama pula yang rasa excited :)

Hari ini hari pertama program cuti sekolah bermula dan aktiviti pertama adalah swimming. Excited Khalis, Iman dan Yaya bangun pagi dan bersiap-siap dengan baju renang masing-masing. Kalau tidak, liat sungguh nak bangun. 

Di pejabat, Along Lina, mama Umar dan Umairah menghantar whatsapp gambar anak-anak mandi kolam. Rupa-rupanya Along Lina pun turut sama menolong Kak Ina menjaga anak-anak beraktiviti pada hari ini. Seronoklah diorang.

Baguslah. Yang penting anak-anak mama sihat dan gembira. Boleh belajar sama-sama, bergembira pun sama-sama. InsyaAllah, lain kali jika ada kesempatan dan kelapangan, mama pula yang joint beraktiviti dengan anak-anak.

Apa pun, terima kasih pada teachers di Taska Cahaya Tiara kerana bertungkus lumus untuk melaksanakan aktiviti sempena cuti sekolah untuk anak-anak.

TQ Teacher :)


Reset Minda

Teks: Rahimah Binti Omar


Hari ini awal-awal pagi lagi sudah buka TV. Niatnya untuk membangunkan anak-anak dengan zikir-zikir yang ditayangkan di saluran OASIS 106. Alhamdulillah. Berkesempatan pula mendengar rancangan Reset Minda kendalian Prof Dr Muhayya. Disebabkan rancangan sudahpun separuh jalan, jadi saya tidak tahu apakah topik yang dibincangkan oleh pakar motivasi ini pada hari ini. Tetapi saya sempat mencatat beberapa pesanan, peringatan dan motivasi yang boleh saya amalkan dalam kehidupan harian.

Antara yang dipesan oleh beliau yang boleh saya kongsikan di sini adalah seperti berikut:
  • Perkara yang lepas jangan dikesalkan. Masa akan datang jangan dirisaukan. Bergembiralah untuk hari ini.
  • Apa yang kita lakukan hari ini kita akan dapat kembali pada masa akan datang. Jika baik, maka baiklah juga yang akan kita terima. Begitulah sebaliknya.
  • Suami adalah cermin kita. Kita adalah cermin suami kita.
  • Bila anak lahir, tenunglah wajahnya dan buatlah keputusan sama ada nak jadikan anak kita ini Abu Jahal atau Imam Ghazali.
  • Baju yang dipakai oleh isteri boleh menghantar suami ke neraka =(.
  • Suami juga perlukan pujian. Maka, pujilah suami selalu.
  • Sekiranya kita lakukan sesuatu dengan hati yang ikhlas dan bersangka baik, maka hati akan tenang. Jika kita hasad dan bersangka buruk, hati tidak akan tenang.


Pesanan yang diberikan semuanya adalah perkara-perkara asas sahaja, tetapi yang selalu kita lupa dan tidak lakukan. Betapa kita ini selalu leka kan. Itulah manusia.


Semoga hari ini adalah lebih baik dari semalam dan hari esok akan lebih baik dari hari ini. Amin.

Saturday 22 November 2014

Teacher-Parent's Meeting Lil' Caliph Putrajaya

Teks: Rahimah Binti Omar

Semalam buat pertama kali saya dan suami menghadiri Teacher-Parent's Meeting untuk mengetahui perkembangan dan kemajuan Khalis dan Iman sepanjang belajar di Little Caliph, Presint11, Putrajaya. Mula-mula tu rasa macam malas nak pergi, tetapi bila difikirkan balik tidak wajar pula rasanya jika tak pergi. 

Walaupun hanya tadika sahaja, namun sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, kami sedar di peringkat awal pendidikan inilah yang akan menentukan kehidupan masa depan anak-anak. Bagaimana ia dimulakan, begitu jugalah ia akan berakhir. Jadi, kami perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan para guru di sekolah. Mereka pun hanya dibayar untuk mengajar pada waktu-waktu tertentu sahaja. Selebihnya ibubapa lah yang memainkan peranan. 

Secara keseluruhan, saya amat berbangga dengan anak-anak saya terutama Khalis. Dalam tempoh yang singkat, Khalis dapat mengejar rakan-rakan lain dalam subjek bacaan dan Bahasa Inggeris. Subjek yang lain seperti Jawi, Hafazan, Pendidikan Agama dan Matematik walaupun markah tidak setinggi 2 subjek berkenaan, namun masih boleh dibanggakan kerana Khalis masuk ke tadika tersebut bermula pada bulan September iaitu lebih kurang 3 bulan yang lalu. Asalnya Khalis bersekolah di Tadika Little Caliph di Tanjung Malim. Itupun bermula lambat iaitu pada bulan April. Sepanjang saya cuti bersalin, anak-anak pun turut sama bercuti. Apabila saya dipindahkan tempat kerja dan kembali menginap di Bangi semula, barulah Khalis dan Iman menyambung pelajaran di Tadika Little Caliph di Putrajaya. 

Iman juga secara keseluruhan pencapaiannya memuaskan. Iman baru 4 tahun, Jadi, peringkat ini lebih memberi pendedahan kepada perkara-perkara asas sahaja. Oleh sebab itu, Iman tiada ujian atau markah khusus untuk subjek-subjek yang diikuti. Konsepnya lebih kepada playschool.

Alhamdulilah, saya dan suami gembira dan bersyukur dengan pencapaian anak-anak. Ini baru permulaan. Sebenarnya kami tidak kisah berapa markah yang anak dapat asalkan mereka gembira belajar. Mereka akan menghadapi banyak lagi peringkat kehidupan, jadi tidak perlulah memberi tekanan kepada perkara-perkara kecil seperti ini. Yang penting, selalu bagi kata-kata semangat kepada anak-anak dan dorong mereka. Supaya mereka tahu yang kita selalu bersama mereka dalam apa jua keadaan, sentiasa menyokong dan mendoakan mereka serta sayangkan mereka. Inilah yang perlu kita pamerkan pada anak-anak.

Untuk anak-anak mama, Khalis dan Iman, mama dan papa doakan semoga anak-anak mama ini sihat dan ceria selalu, jadi anak yang soleh dan bijak. Semoga masa depan anak-anak mama akan lebih cemerlang dan gemilang. Semoga jadi anak-anak yang sentiasa mendoakan mama dan papa di kemudian hari nanti. Amin.


Friday 21 November 2014

Kain Cotton Belleboo sudah sampai

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah. Kain cotton jenama Belleboo yang ditempah dari rakan yang tinggal di Bangkok telah selamat sampai. 2 minggu juga baru sampai. Terima kasih sahabatku, Puan Nadiah Misman kerana sudi membelikan stok kain cotton Belleboo untuk saya.

Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya menempah kain cotton Belleboo ini. Tempahan kali pertama, saya hanya membeli sebanyak 40 pasang sahaja sebagai permulaan. Nak test market kononnya. Walaupun saya tahu kain cotton ini banyak peminatnya, tapi risau juga kerana modal saya sendiri yang keluarkan. Sahabat saya ini tidak membuat dropship atau consignment. Jadi saya terpaksa mendahulukan duit saya dahulu sebagai modal.

Saya memang minat berniaga. Cuma masa untuk berniaga secara serius itu tiada dek kesibukan menguruskan anak-anak kerana suami bertugas jauh. Keutamaan saya adalah pada anak-anak dan urusan rumah tangga. Jadi, peluang mendapatkan bekalan kain cotton yang berkualiti tinggi daripada rakan yang mengikut suami bertugas di Bangkok saya gunakan sebaik mungkin untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Ini juga merupakan kali pertama saya menggunakan bajet sendiri sebagai modal.

Alhamdulillah, jualan kali pertama mendapat sambutan. Ternyata ramai yang berpuas hati dengan kualiti dan corak terkini kain cotton tersebut. Untung juga dapat. Syukur. Percubaan kali pertama berjaya. Kali ini saya membeli stok lebih sedikit. Keuntungan yang saya dapat semasa menjual kali pertama saya simpan. Ditambah pula dengan hasil jualan dropship cadar cotton milik Puan Nurul Fauzana Kapi (www.nurulfauzana.com) sepanjang tempoh berpantang. Cukuplah untuk dijadikan modal untuk belian kali kedua ini.

InsyaAllah, minggu depan jualan akan dijalankan. Dengan rakan-rakan sepejabat telah saya war-war awal-awal lagi. Mereka ini sememangnya peminat kain cotton pun. Syukurlah. Tidak perlu bersusah payah mencari pelanggan baru.

Saya berharap jualan kali ini akan berjaya sama seperti kali pertama dahulu. Terdetik juga ingin menjual secara online. Tetapi bila difikirkan saya perlu menguruskan penghantaran dan sebagainya, saya tangguhkan dahulu niat saya itu kerana kekangan masa. InsyaAllah, bila saya sudah bersedia, saya akan cuba berbiaga di atas talian pula. Masih banyak ilmu yang perlu saya timba dari guru online saya di ABDR.


Ok. Tidak sabar menunggu minggu hadapan. Semoga semuanya berjalan lancar dan dimurahkan rezeki saya dan anak-anak. Semoga usaha saya untuk menjadi WAHM juga akan tercapai secepat mungkin. Amin Ya Rabbal Alamin :) 

Wednesday 19 November 2014

Grand Lexis, Port Dickson

Teks: Rahimah Binti Omar

Setelah sekian lama merancang untuk bercuti dan jalan-jalan makan angin, akhirnya menjadi juga. Itu pun menumpang program office suami sebenarnya. Kalau tak, tak tahulah bila plan percutian keluarga kami ni akan tercapai.

Pada 16hb November 2014, kami sekeluarga serta emak dan abah mertua pergi ke Port Dickson. Kami sekeluarga menetap di hotel Grand Lexis, Port Dickson selama 3 hari 2 malam. 'Grand' ke hotelnya? Secara umum saya boleh kategorikan sebagai grand jugalah hotel ni. Terutama dari segi harga bilik penginapan. Tersangat lah "grand". Secara khusus, ada service yang grand, ada service yang tak berapa nak grand.

Hari pertama kami sampai lebih kurang pukul 2.00 petang. Tetapi kami terpaksa menunggu sehingga pukul 4.30 petang baru dapat masuk ke bilik. Ini kerana ramai pengunjung yang baru nak check out dari hotel. Ruang lobi agak sesak memandangkan ramai yang datang secara berkumpulan untuk mengadakan program di situ. Asalnya kami dijanjikan untuk mendapat bilik sebelum pukul 4.00 petang namun sehingga jam 4.00 petang kami masih tidak menerima sebarang panggilan telefon dari pihak hotel. Setelah beberapa kali bertanya barulah kami dapat bilik. Bising juga mak mertua. Ingatkan bila sampai awal, dapatlah kami berehat-rehat di bilik dulu sebelum berjalan-jalan di tepi pantai pada sebelah petangnya. Sudahnya,  kami berehat di dalam bilik sahaja sehingga keesokan hari.

Kami menginap di bilik Executive Pool Villa. Bilik di atas air. Bilik ini sesuai untuk kami sekeluarga dan mak abah mertua kerana ada 2 katil queen size yang disediakan. Yang menarik, bilik ini terletak di atas air laut, ada private swimming pool di dalam bilik, ruang dapur dengan peralatan dapur yang asas seperti cerek air elektrik dan microwave dan ruang bilik air yang selesa. Ruang bilik sebenarnya tidaklah berapa luas sangat tetapi just nice untuk anak-anak kami bermain-main. Ada kotak kaca di tengah-tengah bilik yang boleh nampak air laut di bawah bilik. 
  

Executive Pool Villa



Gambar atas ni saya copy paste dari laman web Grand Lexis, PD sebab by the time saya nak ambil gambar bilik dah pun bersepah-sepah dengan barang-barang dan anak-anak :)

Satu perkara yang menarik di bilik hotel ini adalah tandasnya. Apa yang menariknya? Toilet bowl di dalam tandas di seal dengan kertas untuk menandakan yang anda adalah tetamu yang pertama menggunakan tandas tersebut setelah dibersihkan. Bila nak guna, hanya koyakkan sahaja kertas tersebut. Ini pertama kali saya jumpa sepanjang saya berkecimpung dalam bidang penginapan di hotel ni =) Tapi, setelah digunakan, tiada apa yang menarik lagi dah. Hehehe.



Pemandangan di sekitar hotel sangat cantik. Saya sukakan laut, jadi pada saya cantiklah suasana hotel di tepi laut ni. Angin sepoi-sepoi bahasa. 




Kolam mandi dewasa dan kanak-kanak untuk kegunaan pengunjung juga disediakan. Memandangkan kolam dalam bilik mempunyai kedalaman 4 kaki, maka anak-anak saya bawa mandi di kolam kanak-kanak sahajalah. Seronok dan bebas sikit anak-anak bermain air. 3 hari berturut-turut mandi kolam pagi petang sampai kecut kaki tangan. Saya, suami dan mak mandi manda dalam kolam di bilik sahaja. Bebas dan tak perlu tutup aurat. Maksud saya cover mane yang patut sahaja lah.







Ada juga taman permainan mini untuk kanak-kanak.


Pihak hotel juga ada menyediakan aktiviti rekriasi seperti basikal, KMX dan segway obstacle. Tapi semua ni tidak sempat untuk saya buat.

KMX
Segway Obstacle


Banyak juga gambar yang saya ambil sebagai kenangan. Tapi gambar guna telefon saja lah. Jom kita cuci mata. 




Its a bird! Its a frog! No. Its an aeroplane.







Bila menginap di hotel ni mesti ramai nak tahu pasal makanan kan. Memandangkan mak dan abah ada bersama jadi kebanyakan waktu makan kami beli di luar sahaja. Makanan di hotel tidak berapa menepati selera orang tua. Di sekitar Grand Lexis ni terdapat banyak kedai-kedai makanan. Bandar Port Dickson juga dekat. Jadi bolehlah membeli barang-barang makanan dengan mudah. Tapi berdasarkan makanan yang saya makan semasa majlis makan malam bersama suami, menu breakfast dan makan tengah hari, secara amnya, makanan yang disediakan adalah biasa-biasa sahaja. Tidak se 'grand' nama hotelnya :(

Sekitar hotel ini banyak kawasan berpantai. Jadi aktiviti kami sekeluarga untuk tiga hari ini adalah berjalan-jalan di tepi pantai sambil mengenalkan kepada anak-anak binatang-binatang laut yang saya jumpa di tepi pantai. Sambil makan angin, kita boleh belajar. Anak-anak pun agak jakun sikit dapat main air laut ni. Maklumlah, kalau mandi kolam, tiada ombak yang mengejar, tiada pasir yang melekat di kaki, tiada kapal nun di tengah laut. Seronok melihat anak-anak bebas berlari di tepi pantai. 

Kepada sesiapa yang merancang nak bercuti ke PD, bolehlah pertimbangkan untuk ke hotel Grand Lexis ni, tertakluk kepada bajet semasa anda. Sesekali pergilah bercuti untuk merehatkan minda dan badan. Tidak perlu pergi bercuti jauh-jauh, yang dekat pun sudah memadai. 

Kami merancang, jika ada kesempatan, kelapangan dan kesihatan, teringin lagi untuk bercuti-cuti Malaysia. Ke mana, masih lagi tiada dalam perancangan. Tapi kami akan usaha. InsyaAllah. Semoga dipermudahkan Nya. Amin.










Monday 17 November 2014

Cuti-cuti Malaysia

Teks: Rahimah binti  Omar

Alhamdulillah. Hari ini hari ketiga saya dan keluarga bercuti di Port Dickson. Segar rasanya pagi-pagi dapat menghirup udara laut yang sedar, melihat ombak kecil bermain-main di gigi pantai. Seronoknya kalau ada rumah di tepi pantaikan.

Sebenarnya cuti ini adalah tidak dirancang. Pejabat suami menganjurkan team building di sini. Kami sekeluarga hanya menumpang tuah sahaja. Kami menginap di Grand Lexis Hotel, Port Dickson. Nanti saya akan buat satu entri khusus untuk review hotel ini.

Anak-anaklah yang paling seronok. Hari-hari mandi kolam. Pagi dan petang. Sampai kecut kaki tangan.

Mak dan abah mertua ikut sekali. Memang kami ajak. Jika tidak alamatnya tak ke mana lah saya ni. Hanya duduk di bilik sahaja.

Hari ini tak berniat nak menulis panjang. Sebab banyak benda nak diceritakan dalam entri khusus untuk percutin kami ini nanti.

Ok. Cukuplah untuk hari ini. Jumpa lagi :)

Wassalam.

Sunday 16 November 2014

Tips memasak: Gas dah habis?

Teks: Rahimah binti Omar

Gas memasak dah habis? Servis penghantaran gas tidak buka malam? Nak keluar rumah pun tak boleh sebab hujan lebat di luar. Bahan-bahan untuk memasak juga sudah tersedia. Macam mana nak masak?

Jangan risau, saya juga pernah mengalami situasi ini. Apa yang saya buat, sila perhatikan sekeliling dapur dan gunakan apa-apa peralatan elektrik yang ada dan sesuai untuk memasak makanan yang ringkas. Antara peralatan elektrik yang boleh digunakan untuk memasak adalah seperti rice cooker, micro wave, oven dan induction cooker. Induction cooker adalah yang terbaik sekiranya ada kerana ia memang dikhususkan untuk memasak makanan. Jika tiada, rice cooker juga boleh digunakan.

Jika memilih rice cooker untuk memasak, sila pastikan bahan-bahan telah tersedia untuk memasak. Masakan yang nak dimasak juga haruslah ringkas dan mudah. Dalam keadaan terdesak ini tidak perlulah beria sangat memasak pelbagai jenis lauk-pauk. Cukuplah sekadar satu jenis lauk sahaja. Atau satu jenis resepi ringkas seperti spageti atau mi sup.

Ketika memasak, pastikan ruang memasak sentiasa kering. Ini kerana semasa memasak menggunakan rice cooker, aliran elektrik masih berjalan. Jangan ingat perut lapar sahaja, keselamatan juga perlu diutamakan.

Jika memasak makanan yang tidak berkuah, sila tekan mode cooking dan letakkan sesuatu sebagai sendal di ruang tersebut bagi memastikan ia sentiasa dalam mode cooking. Jika tidak disendal ia akan cepat beralih ke mode warming dan periuk tidak lagi cukup panas untuk memasak.

Memasak menggunakan rice cooker ini perlulah banyak bersabar. Ini kerana fungsi utama rice cooker adalah untuk memasak nasi sahaja dan bukan untuk yang lain. Oleh itu, ia mengambil masa sedikit untuk betul-betul panas terutama jika digunakan untuk menggoreng dengan minyak yang banyak.

Baru-baru ini saya menggunakan rice cooker untuk memasak spageti. Ringkas sahaja. Ala kadar, tapi berasa.


     Keju cheddar kat atas tu saya tambah untuk bagi menarik sikit.

Rice cooker juga sesuai digunakan untuk memasak secara rebusan atau berkuah seperti sup. Boleh juga gunakan oven atau microwave untuk memasak bahan-bahan yang boleh dipanggang atau bakar.

Sebagai ibu, saya perlu kreatif untuk memasak. Tidak perlu memasak lauk-pauk yang complicated sangat. Yang simple juga sedap sekiranya dimasak dengan penuh kasih sayang dan ikhlas. Jika tiada gas memasak, ia bukanlah satu alasan untuk tidak boleh memasak langsung. Hanya perlu kreatif dan gunakan apa yang ada di dapur sendiri.

Tapi, kalau susah sangat dan malas nak fikir panjang, beli sahajalah. Senang dan sedia untuk dimakan. Lagi senangkan :)

Selamat memasak!

Thursday 13 November 2014

Fatwa mengenai pengguguran kandungan kerana bayi cacat



Teks: Rahimah Binti Omar

Sedikit perkongsian maklumat mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai pengguguran kandungan kerana bayi cacat. Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada laman web www.e-fatwa.gov.my .

Ringkasan fatwa mengenai isu ini adalah seperti berikut:

Pendapat Fuqaha’ membahagikan peringkat pembesaran janin dalam kandungan untuk digugurkan berdasarkan kepada tiga peringkat selaras dengan Kaedah Fiqhiyah (memilih yang lebih ringan di antara dua kemudharatan) bagi mengelakkan bahaya yang berat:

1.     Peringkat 1 hingga 40 hari (nutfah - alaqah).
2.     Peringkat 40 hari hingga 4 bulan (Mudghah - Berbentuk).
3.     Peringkat 4 bulan ke atas (sesudah ditiup roh).

Keputusan diambil kira dengan mengikut peringkat umur serta berdasarkan syarat berikut:


  • Menurut ijmak Fuqaha’, HARAM menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.



  • MAKRUH menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.



  • Ijma’ Fuqaha’ berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari HARUS sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.


Menurut para doktor, peringkat sebelum berbentuk ialah peringkat dari hari pertama hingga 40 hari seseorang itu mengandung. Majoriti para fuqaha’ berpendapat pengguguran yang dilakukan diperingkat ini adalah makruh dan disyaratkan dengan tiga syarat iaitu persetujuan daripada kedua suami isteri, tidak mendatangkan bahaya dan kenyataan daripada dua orang doktor pakar yang adil.

Peringkat mudhghah pula bermula pada hari 40 hingga 4 bulan (120 hari) seseorang itu mengandung dan pada peringkat ini sudah nyata bentuk awal anggota janin tersebut. Pengguguran yang dilakukan pada peringkat ini hukumnya makruh yang amat dilarang. Walaubagaimanapun sekiranya disahkan oleh doktor bahawa pengguguran perlu dilakukan bagi mengelakkan bahaya yang akan mengancam keselamatan dan nyawa si ibu, maka dalam keadaan ini hukumnya adalah harus.

Melakukan pengguguran selepas kandungan berumur 120 hari adalah haram kerana pengguguran pada peringkat ini telah dianggap sebagai satu jenayah terhadap bayi atau janin yang telah sempurna hidup. Walaubagaimanapun harus menggugurkannya bagi menyelamatkan nyawa ibu dan di atas nasihat doktor yang pakar dan adil bahawa tidak ada jalan lain kecuali menggugurkan kandungan. Ini berdasarkan kaedah fiqh iaitu “Memilih mana yang lebih ringan kemudharatan bagi mengelak mudharat yang lebih berat”.

Bagi ibubapa yang mempunyai dilema ini, bolehlah merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sekiranya masih tidak jelas dengan penjelasan yang diberikan dalam laman web yang disebutkan di atas tadi. Ada beberapa cara untuk menghubungi Felo Fatwa iaitu melalui Facebook iaitu Fatwa Malaysia, twitter Felofatwa Malaysia, blog Fatwa Malaysia dan juga talian hotline Fatwa yang dibuka setiap hari Rabu dari jam 4.00 petang hingga 5.00 petang.

Sekian :)