Sunday 25 January 2015

Tamatnya tempoh berpantang 44 entry...

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah...Tanpa saya sedari sudah lebih 44 entry yang saya post kan di dalam blog ini. Sepatutnya, awal-awal lagi saya buat ulasan ini yang merupakan sebahagian daripada tugasan saya sebagai ahli baru ABDR. Tetapi disebabkan kesibukan dan menulis pun sekadar mencuri-curi masa yang ada, maka terlupalah saya nak membuat ulasan ini ^_^ Minta maaf ye sifu Anys Idayu.

Saya menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) pada bulan September 2014 dan entry pertama saya adalah pada 23 September 2014. Niat asal menyertai ABDR adalah untuk belajar berniaga secara online sebagai sebahagian daripada persediaan untuk saya berhenti kerja (suatu hari nanti). Untuk melihat keupayaan, komitmen dan disiplin diri sendiri dalam melakukan sesuatu tugasan. Walaupun hajat berhenti kerja itu tak tahu bila akan tercapai, tetapi persediaan untuk ke arah itu pun penting juga kan. 

Mungkin ramai ahli baru ABDR yang berjaya menyiapkan tugasan 44 entry ini dalam masa yang singkat. Tetapi bagi saya yang merupakan seorang suri bekerjaya, ditambah lagi dengan tanggungjawab menjaga 4 orang anak yang masih kecil berseorangan lantaran suami bekerja jauh di perantauan, maka ruang yang ada untuk menulis sekali-sekala itupun sudah cukup baik bagi saya.

Ajaran Puan Sifu, menulislah secara berkala dan santai. Cukuplah walau sebaris ayat sahaja sehari. Tetapi bagi saya agak susah juga untuk konsisten menulis setiap hari. Hampir-hampir kecundang di tengah jalan. Tetapi saya bangkit semula. Saya jadikan kisah yang saya alami setiap hari sebagai bahan penulisan. Nama pun Diari Suri Bekerjaya kan. Sesuailah tu ^_^

Sebenarnya, menulis bukanlah satu bidang baru bagi saya. Kerja saya sekarang ini pun banyak melibatkan kerja-kerja menulis seperti menulis pandangan undang-undang, menyemak perjanjian dan dokumen perundangan serta lain-lain lagi. Tetapi pada saya penulisan di blog dan penulisan untuk kerjaya saya adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun asasnya adalah sama, namun menulis di blog adalah lebih santai dan terpulang kepada penulis itu sendiri bagaimana untuk menjadikan ia menarik. Penulisan bagi kerjaya saya pula lebih bersifat rigid di mana semua yang ditulis hendaklah berasaskan undang-undang, penulisan hendaklah tepat dan bersifat serius. Berbeza bukan.   

Tanpa saya sedari, saya menggunakan ruang untuk menulis ini bukan sekadar untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga sebagai satu medium untuk saya menukar rasa stress saya ke dalam bentuk tulisan yang akhirnya boleh menukar mood saya menjadi gembira semula. Paling tidak pun, mengurangkan stress saya pada ketika itu. Contohnya, kalau saya sedang rasa sedih, saya tulis sesuatu yang boleh menggembirakan saya seperti kisah anak-anak, kisah masakan saya yang tidak seberapa, kisah percutian keluarga dan lain-lain lagi. 

Sedikit demi sedikit, akhirnya selesai juga tugasan 44 entry. Banyak ilmu yang saya pelajari daripada Kelas Online ABDR. Banyak juga ilmu yang saya kongsi dengan rakan-rakan ABDR yang lain. Rasa tidak menyesal membayar yuran penyertaan. Bukan sahaja dapat kawan dan ilmu pengetahuan, dapat juga bonus 4 e-book untuk rujukan. Idea-idea dan tips-tips yang boleh dijadikan rujukan pada bila-bila masa sahaja. Berbaloi-baloi.

Walaupun setelah 4 bulan lebih ini saya tidaklah menjana kewangan sangat dengan blog ini tetapi saya rasa sangat gembira. Bukanlah matlamat utama saya pun untuk menjadi kaya melalui blog ini. Tetapi sekiranya saya hendak memulakan bisnes online, tapaknya sudahpun ada.

Apa pun, terima kasih kepada Pn. Sifu Anys Idayu. Walaupun saya ni bukanlah pelajar contoh Cikgu Anys, namun saya banyak membaca apa jua ajaran dan perkongsian beliau di dalam kelas online. Banyak yang saya boleh gunakan pada masa sekarang dan juga pada masa akan datang.

Kepada surirumah yang sedang mencari-cari bagaimana nak memanfaatkan masa terluang yang ada atau ingin menjana wang dari rumah, bolehlah menyertai ABDR. InsyaAllah, jika kita berusaha untuk menimba ilmu, satu hari nanti ilmu itu akan memberi manfaat yang banyak kepada diri kita.

Wassalam ^_^       
    

   

Thursday 22 January 2015

Kuman apakah itu?

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah... Tiada kata-kata syukur lain yang mampu diucapkan apabila menerima khabar Abang Wan telah stabil setelah menjalani pembedahan petang semalam. Kaki yang sama terpaksa dipotong untuk kali kedua dan kali ini pada paras atas lutut pula. Sebenarnya Along mahupun Abang Wan sendiri sudah tidak kisah. Redha dengan ketentuan Ilahi hilang sebelah kaki. Yang penting dia kembali sihat.

Sebenarnya hanya kuasa Allah sahaja yang mampu menyihatkan Abang Wan kembali setelah mengalami saat-saat nazak dua hari lepas. Kami sekeluarga telah bersedia untuk menerima apa jua khabar berita. Tetapi, Alhamdulillah syukur tidak terkira apabila Along maklumkan Abang Wan dah sedar setalah seharian di ICU. Selepas itulah baru keputusan untuk memotong kaki separas atas lutut itu dibuat.

Along cerita, doktor maklumkan Abang Wan dijangkiti kuman yang sangat merbahaya. Kuman ini katanya boleh memakan daging dan memusnahkan sel-sel dalam tempoh satu jam sahaja. Sebab itulah keadaan Abang Wan sangat teruk dan kesannya juga sangat cepat. Ialah. Tidak sampai pun sebulan, sudah 4 operation dilakukan, 3 kali masuk ICU, 1 kali diserang stroke dan berada dalam keadaan nazak. Semua pun tidak menyangka ini semua akan terjadi.

Saya sebenarnya tidak tahu kuman apa yang dikatakan oleh doktor itu. Tapi, bila bercerita dengan kawan perkembangan Abang Wan, kawan kata dia pernah terbaca mengenai kuman yang sangat merbahaya tu. mmm... Lepas ni nak buat research sket kalau ada masa. Boleh post kan di sini untuk dikongsikan dengan yang lain.

Apa pun, berhati-hatilah. Kita hidup di persekitaran yang kurang bersih. Kuman berada di mana-mana. Jaga kesihatan. Amalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. Jika semua terpelihara, kesihatan juga akan lebih baik. InsyaAllah...


 

Tuesday 20 January 2015

Seandainya dia pergi...

Teks: Rahimah Binti Omar

Pagi semalam Along khabarkan keadaan Abang Wan semakin teruk. Sesak nafas dan separa sedar. Along mohon kami adik beradik mendoakan kesejahteraan Abang Wan. Kata Along, dia redha sekiranya Abang Wan bertemu Penciptanya. Sudah tidak sanggup dia melihat Abang Wan kesakitan. Yang penting Along mohon didoakan semoga pemergiannya dalam husnul khatimah.

Pagi semalam saya melangkah ke pejabat dengan hati yang berat. Terasa ingin menziarah Abang Wan. Manalah tahu, ini kali terakhir saya berjumpa dengannya. Sepanjang dia sakit, hanya sekali saja saya sempat menziarah. Itu pun selepas pembedahan kali pertama. Kata emak, wajahnya sudah cengkung, susuk tubuhnya sudah nampak tulang. Sedangkan dulunya semasa dia sihat, Abang Wan segak gagah dan tegap orangnya. Apa yang saya boleh buat, hanya mendoakan yang terbaik untuknya.

Tengah hari, sedang saya berkira-kira hendak makan, saya terima panggilan dari emak. Sudah terfikir perkara buruk. Ya Allah, kuatlah semangatku untuk menerima apa jua berita. Mak beritahu, Abang Wan nazak dan telah dibawa ke Hospital Pusrawi. Bergegas naik ke pejabat dan minta kebenaran daripada bos untuk pulang awal kerana ada kecemasan keluarga. Maklumkan juga pada bos, sekiranya ada kematian, saya mungkin akan mengambil cuti 2 atau 3 hari. Hati sudah terbayang wajah Along. Ya Allah, kuatkanlah semangat kakakku.

Sebenarnya saya tidak tahu hendak ke mana. Ke hospital atau ke rumah Along. Akhirnya saya memutuskan untuk ke rumah Along sebab Mak dan Mokde masih di sana. Jika ke hospital pun tiada apa yang boleh dilakukan selain berdoa kerana Abang Wan terus dimasukkan ke ICU.

Sampai di rumah saya lihat wajah Mak dan Mokde sugul dan sedih. Mak dan Mokde berselang-seli bercerita mengenai Abang Wan. Kebetulan malam sebelumnya Mak dan Mokde menemani Along menjaga Abang Wan yang sedang mendapatkan rawatan alternative di sebuah pusat rawatan Islam. Kisah-kisah yang menyayat hati. Sukar untuk diterjemahkan dalam tulisan.

Mak kata Alang sekeluarga dari Johor akan turun ke KL untuk menziarah Abang Wan. Sama seperti saya, dia risau dan terkilan jika tidak dapat berjumpa Abang Wan. Sejak Abang Wan sakit, Alang belum lagi berjumpa dengannya.

Sekitar jam 4.00 petang, Along maklumkan keadaan Abang Wan yang kritikal tetapi telah dipantau rapi oleh doktor. Saudara-mara dibenarkan untuk menziarah di Unit Rawatan Rapi. Saya, Mak dan Mokde bergegas ke sana.

Sampai di hospital, ramai ahli keluarga Abang Wan telah tiba. Semua menunggu giliran untuk masuk melawat Abang Wan. Maklumlah, di Wad ICU hanya 2 pelawat sahaja dibenarkan untuk masuk dalam satu-satu masa.

Ketika kami sampai, Along sedang solat Asar di surau. Usai solat, bergegas semula ke wad untuk melihat suami tercinta. Saya faham, kalau boleh Along tidak mahu meninggalkan Abang Wan walau sesaat. Sebelum masuk, sempat saya berjumpa sebentar dengan Along. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu. Saya peluk erat Along, beri kata-kata semangat padanya. Along kata, dia redha. Biarlah dia pergi…

Berjujuran air mata saya. Tidak segan silu saya menangis berpelukan dengan Along. Ya Allah. Tabahkanlah dia Ya Allah. Semoga dia dapat menghadapi apa jua ketentuanMu Ya Allah.

Sampai giliran saya untuk masuk melihat keadaan Abang Wan. Ya Allah. Benar kata Mak. Sedih melihat keadaan Abang Wan. Sekali lagi saya menitiskan air mata. Wayar bertampal di sana sini di tubuh Abang Wan. Abang Wan bernafas dengan bantuan oksigen. Sesak sekali bunyi pernafasannya. Wajahnya sudah tidak berisi lagi. Tubuhnya sudah menampakkan tulang. Lain benar keadaannya ketika kali pertama saya melawat lebih kurang 3 minggu yang lalu.

Along tidak berhenti membisikkan kalimah “Allah” di telinganya. Tidak berhenti usapan kasih sayang Along di kepalanya. Along nampak sedih. Tetapi nampak dia menahan air mata dari menitis di depan Abang Wan. Mungkin dia tidak mahu Abang Wan bersedih melihat dia menangis.

Saya dengar Along bisikkan pada Abang Wan. “Abang, ikut dalam hati. Lailahaillallah…. Allah.. Allah.. sebut dalam hati sayang. Allah… Allah… Abang jangan takut… Abang jangan sedih…”

Saya tidak tahan mendengar bisikan Along. Perlahan…tetapi masih kedengaran walau saya duduk di hujung katil. Pantas saya berikan signal kepada Along untuk keluar. Saya rapatkan diri ke kepala Abang Wan. Hajat di hati ingin bisikkan padanya yang kami sekeluarga tidak berhenti mendoakan kesihatannya. Kami mahu dia cepat pulih. Tetapi saya hanya mampu berkata “saya doakan abang” sahaja… Itupun dalam suara yang terputus-putus. Tidak terluah kata-kata lain lantaran terlalu sedih. Saya salam Along dan terus keluar tanpa menoleh ke belakang lagi… Air mata berjujuran laju…

Saya khabarkan kepada adik-beradik yang lain di dalam group wassap mengenai keadaan Abang Wan. Mohon semua mendoakan yang terbaik untuknya. Sekiranya telah ditentukan usianya masih panjang, mohon semoga dia cepat pulih dan sihat seperti sedia kala. Sekiranya telah sampai ajalnya, mohon dipermudahkan urusannya dan diambil nyawanya dalam husnul khatimah. Mohon juga supaya semua mendoakan semoga Along kuat dan tabah menhadapi ujian Yang Maha Esa ini.

Tiada yang lebih baik untuknya di saat ini. Segala usaha telah dibuat. Hanya padaNya kami berdoa. Ya Allah, ampunkanlah dosanya. Permudahkanlah urusannya Ya Allah. Engkaulah sebaik-baik perancang, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMu. Sesungguhnya kami redha dengan ujian Mu ini.


Buat Along dan Abang Wan. Bertabahlah. InsyaAllah. Besar ganjaran yang menanti.

Monday 19 January 2015

Macaroni Cheese


Teks: Rahimah Binti Omar

Bosan makan nasi? Sesekali nak juga tukar menu. Tapi apa yang ada dalam almari yang boleh digabungkan dan menjadi satu resepi yang sedap dimakan?

Haa… inilah hasil gabungan bahan-bahan yang ada di dapur saya. Macaroni Cheese yang simple dan sedap (kata Khalis la ^_^). 

Yang ada daging tu Mama punya. Gambar semua ada sudu sebab dah x sabar nak makan.
Disebabkan Abang Khalis memang suka makan pasta dan sudah beberapa hari dok usha makaroni yang ada di dalam balang (selama ni jadi hiasan), maka petang semalam mama usahakanlah juga untuk masak makaroni untuk anak tersayang ni. Lagipun sudah jemu makan nasi berlauk. Sampaikan dah tak tahu nak masak lauk apa untuk anak-anak. Masak beria karang mama pula yang makan lebih.

Jenguk-jenguk dalam peti ais dan kabinet dapur, dapatlah beberapa bahan-bahan yang boleh digabungkan untuk masak macaroni cheese.

Ini bahan-bahan yang digunakan:

2 keping keju cheesedale
Sup cendawan Kimball (dalam tin)
Makaroni
Sosej

Cara-cara menyediakan macaroni cheese ini senang sahaja. Tak perlu potong bawang dan bahan-bahan lain. Sebab saya buat yang ekspress punya.

  1. Rebuskan makaroni sehingga masak. Kalau tak silap, terma yang digunakan dalam bidang masakan adalah “al dente”. Hehehe. Entah betul ke tidak. Siap masak, toskan makaroni tadi.
  2. Dalam periuk lain, rebuskan sosej sehingga masak. Terpulang nak banyak mana. Dah masak keluarkan dan potong bulat atau dadu.
  3. Panaskan periuk, kuali atau bekas masakan yang sesuai. Masukkan sup cendawan. Kebiasaannya sup dalam tin ni pekat sangat. Bancuhkan dengan air sedikit demi sedikit. Jangan terlalu banyak sangat sebab nanti terlalu cair pula. Agak-agak cukup pekat untuk digaulkan dengan makaroni tadi.
  4. Masukkan makaroni yang telah ditos tadi. Masukkan juga keju cheesedale. Kacau rata. Keju akan mencair dan meresap dalam makaroni bersama-sama sup cendawan tadi. Jika ada susu freshmilk, bolehlah ditambah sedikit untuk rasa yang lebih lemak berkrim.
  5. Masukkan sosej yang telah dipotong. Gaul rata. Dah siap bolehlah diangkat dan dihidangkan.
  6. Saya tak gunakan garam dalam resepi ini kerana sup cendawan dan cheese yang digunakan telah cukup rasa masin. Tetapi bagi yang suka masin lagi, bolehlah letakkan secubit garam.
Siap sudah macaroni cheese saya yang simple dan senang dimasak ni. Makaroni cheese ini sedap di makan panas-panas. Jika sejuk, cepat rasa muak. Alhamdulillah, Khalis makan habis sepinggan. Iman dan Aleeya tidak berapa gemar sangat. Iman dan Aleyaa tekak melayu sikit. Heheh.

Memikirkan menu apa nak dimasak untuk anak-anak memang tugas rutin saya setiap hari. Yang simple dan mudah sememangnya jadi pilihan. Jadi, kalau terjumpa apa-apa resepi menarik yang senang dibuat memang saya akan masakkan untuk anak-anak. Nanti saya akan kongsikan cara membuat muffin coklat yang sangat mudah dan senang tanpa perlu menggunakan bekas atau mixer untuk membancuh dan yang paling penting tak perlu membasuh. Sangat mudah.

Jumpa lagi di resepi akan datang.


Wassalam.  

Musim batuk dan selsema telah bermula...

Teks: Rahimah Binti Omar

Musim batuk dan selsema telah bermula...dan akhirnya demam juga akan bertandang... Time ni lah saya akan menjadi orang yang paling sibuk mengurus anak-anak dan yang paling kerap mengambil cuti kerana menjaga anak-anak yang tidak sihat.

Bermula dengan diri sendiri yang demam dan batuk, anak-anak juga turut terkena jangkitan. Eicha, kemudian Yaya, kemudian Iman dan patah balik ke Eicha semula. Alhamdulillah Abang Khalis hanya batuk-batuk sedikit saja. Yang tiga beradik ni package. Batuk, selsema dan demam. On off pula tu. Mana tidaknya, baru nak baik dah berjangkit dengan orang lain pula. Mama sendiri pun dah 2 minggu tak baik batuk.

Percutian untuk Family Day ujung minggu yang lalu menjadi tidak seronok kerana anak-anak tidak sihat. Hasilnya Papa dan Mama memang tidak dapat menyertai apa-apa game pun  kerana dok sibuk mendukung Yaya dan Eicha. Pasrah sahaja lah.

Harap-harap percutian ke Kedah bulan Mac nanti anak-anak akan sihat. Kalau tidak jenuh la Mama dan Papa nak melayan anak-anaknya yang manja ni.

Apa pun, Mama doakan semoga anak-anak mama sihat dan ceria selalu. Cepatlah sembuh wahai anak-anakku. Kasihan lah dekat mama ni..hehehe....

Syafakallahu khaira.....

Thursday 15 January 2015

Salam Saiyyidul Ayyam

Teks: Rahimah Binti Omar

Salam Saiyyidul Ayyam... Hari Jumaat yang mulia. Alhamdulillah di atas kesihatan untuk berada di hari Jumaat ini.

Seperti minggu yang sebelumnya, hari Jumaat adalah hari makan-makan di pejabat. Berkonsepkan pot luck, siapa yang sempat memasak, maka dialah akan menyumbang makanan pada hari itu. Kali ini saya tidak berkesempatan untuk memasak atau menyediakan apa-apa makanan. Bahan ada, tetapi kekurangan masa. Kerana hari yang sebelumnya saya kekurangan tidur akibat dari ketiadaan elektrik di rumah. Bergelap sekejap. Sekejap-sekejap pun satu jam lebih jugalah tiada elektrik.

Kasihankan anak-anak yang tidur dalam kepanasan, saya menyengkang mata untuk mengipas anak-anak dengan buku. Sekurang-kurangnya diorang tidur lena. Tidaklah meragam bila bangun pagi.

Akibat tidak bersedia, meragau-ragau saya mencari lilin dan mancis. Mula-mula tu tak jumpa. Saya pasti bekalan lilin dan torchlight semuanya ada di bilik atas. Nak ke atas risau pula anak-anak yang lain terjaga dan menangis kerana kegelapan ketika saya di atas. Sudahnya saya hanya gunakan flashlight di handphone saja lah.

Rasa lemas pula bila kekurangan cahaya. Sudahnya saya korek-korek jugalah laci-laci yang ada. Manalah tahu ada sebatang lilin terselit. Alhamdulillah, akhirnya terjumpa juga separuh lilin yang telah patah dan satu lilin pewangi aromaterapi. Bolehlah. Daripada tiada kan.

Sambil mengipas anak, saya bernekad untuk membeli lampu bateri atau lampu ayam sebagai persediaan untuk digunakan ketika tiada elektrik. Senang dan mudah. Kat mane nak cari ye?

Tengah hari ini ada masa rehat yang panjang. Bolehlah keluar sebentar ke shopping kompleks yang berdekatan untuk survey lampu tu. Kot ada boleh beli terus.

Malam ini sudah merancang nak packing barang untuk ke Melaka pada hari esok. Packing awal senang. Tidaklah kelam kabut nanti. Lagipun esok nak menyinggah di hospital Ampang Puteri untuk menziarah Abang Wan dan Along. Katanya dah dipindahkan ke wad biasa. Alhamdulillah. Semoga semakin sihat dan cepat sembuh.

Hari Jumaat memang cepat berlalu. Jika ada kerja urgent, memang tidak cukup masa rasanya. Satu kerja telah siap. Nak sambung kerja lain pula. Cukuplah catatan hari ini. Semoga perjalanan ke Melaka esok hari untuk Hari Keluarga Rahman Legacy berjalan lancar hendaknya.


 

Tuesday 13 January 2015

Kakinya telah tiada...

Teks: Rahimah Omar

Alhamdulillah, setelah beberapa minggu mengadap satu kerja yang diamanahkan kepada saya, akhirnya selesai juga. Dan acara penamat adalah pembentangan dalam mesyuarat bersama AJK yang terlibat pada pagi tadi. Lega rasanya. Walaupun hakikatnya kerjanya belumlah selesai sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya cadangan yang dibentangkan diterima dan jalan untuk menyelesaikan kerja tersebut telah lurus di hadapan. Tidaklah bengkang bengkok seperti sebelum ini bilamana tiada keputusan muktamad yang dicapai. Syukur...

Dalam pada bersyukur dengan kelegaan satu beban, ada pula beban lain yang menunggu sebenarnya. Bukanlah beban tetapi lebih kepada tanggungjawab, atas rasa kasih sayang sesama ahli keluarga. Sebenarnya, 2 minggu yang lalu suami Along, Abang Wan dimasukkan ke hospital kerana keadaan kakinya yang sakit bertambah teruk. Ada nanah di dalamnya. Luaran tiada luka, tetapi dalam kaki, nanah telah merebak dengan cepat tanpa disedari. 

Along dan Abang Wan sebenarnya baru balik dari mengerjakan umrah pada 19 Disember 2014 yang lalu. Sepanjang mengerjakan umrah, Abang Wan sudah tidak larat berjalan jauh. Sakit kaki katanya. Luaran hanya nampak kulit kakinya pecah-pecah. Tiada luka. Sepanjang 2 minggu itu jugalah Along menyorong Abang Wan untuk mengerjakan ibadah di atas kerusi roda. Mungkin ini sebenarnya petanda awal. 

Balik dari umrah, Abang Wan demam tidak kebah-kebah selama beberapa hari. Bila ke hospital barulah ternampak nanah dalam kaki. Itu pun setelah diperiksa dengan terperinci oleh doktor. Keputusannya, kaki Abang Wan perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah. Doktor juga telah maklumkan, dalam tempoh 2 hari selepas pembedahan, jika luka tidak sembuh, nanah tumbuh kembali, sakit tidak kurang, kaki Abang Wan terpaksa dipotong. Allahuakbar... Kami adik-beradik yang mendengar hanya mampu terdiam dan berdoa semoga dia diberi kesihatan selepas pembedahan berkenaan.    

Namun, Allah Yang Maha Kuasa adalah penentu segalanya dan Dia jugalah Pemilik segala yang kita miliki. Hari kedua selepas pembedahan, Abang Wan kena strok. Bila diperiksa, kadar sel darah putih dalam badan semakin meningkat menunjukkan bahawa nanah telah kembali menerokai kaki Abang Wan. Keputusan muktamad dibuat. Kaki kiri Abang Wan perlu dipotong pada paras bawah lutut untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius.

Kami adik-beradik, mak abah, saudara mara tidak putus mendoakan keselamatan dan kesihatan Abang Wan. Biarlah kehilangan kaki asalkan Abang Wan kembali pulih dan sihat seperti sedia kala. Kasihan Along yang menjaga Abang Wan sepanjang Abang Wan sakit. 

Setiap hari kami berhubung dengan Along untuk mengetahui perkembangan kesihatan Abang Wan. Sebenarnya, perkembangan kesihatan Abang Wan agak tidak memberansangkan. Sel darah putih masih tinggi. Risau luka pembedahan akan bernanah. 

Semalam petang, kami sekeluarga sekali lagi bertafakur mendoakan keselamatan dan kesihatan Abang Wan kerana dimaklumkan yang dia perlu menjalani pembedahan sekali lagi bagi mengeluarkan nanah yang telah merebak di kakinya. Ada kemungkinan kakinya perlu dipotong lebih tinggi lagi (atas lutut) bagi mengelakkan nanah merebak. Beratnya beban bagi kami yang mendengar. Berat lagi beban Along dan Abang Wan yang menanggung. Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka Ya Allah...

Tengah malam tadi, kami menerima sms dari Along. Abang Wan dimasukkan ke ICU kerana komplikasi daripada pembedahan tersebut. Komplikasi apa kami tidak tahu. Tidak pula berani menanya Along kerana kami tahu Along sedang bersedih dan risaukan Abang Wan. Kami hanya mampu berdoa dan terus berdoa...

Ya Allah, aku memohon kepadaMu Ya Allah. Berikanlah kesihatan kepada Abang iparku. Agar dia kembali sihat dan ceria. Agar proses penyembuhan berjalan lancar. Agar kaki yang ada sentiasa sihat dan dapat membantu dia meneruskan kehidupannya. Kasihanilah dia Ya Allah. Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengasih dan Penyayang. 

Buat Along, doa adikmu ini sentiasa mengiringimu. Semoga Along tabah dan kuat menghadapi dugaan ini. Besar ganjaran seorang isteri yang tabah dan sabar menjaga suaminya sepanjang dia sakit. Syurgalah balasannya. 

Semoga Along sihat sentiasa dan kembali ceria. Amin... 

   

Friday 9 January 2015

Puding Roti Sos Vanilla


Teks: Rahimah Omar


Tahun baru ini semangat untuk mem "baking" agak tinggi. Rasa nak buat macam-macam kek atau puding yang simple dan yang dimakan oleh anak-anak.

Malam tadi dah terniat nak buat puding roti memandangkan ada roti di rumah dan kalau dibiarkan memang confirm expired je la nampaknya. Lagipun boleh dibawa ke pejabat untuk jamu kawan-kawan di hari Jumaat yang mulia ini. Sedekah sesekali.

Sebelum tidur, semua bahan-bahan yang diperlukan telah disediakan siap-siap. Senang nanti bila bangun pagi terus ke dapur dan membancuh apa-apa yang patut.

Alhamdulillah, berbekal semangat nak masak puding roti, seawal pukul 5.00 pagi lagi dah bangun. Kebetulan anak merengek nak susu. Jadi, terus jelah bangun. Kalau tidur balik memang selamat la puding roti saya ni. hehehe

Puding roti adalah antara pemanis mulut yang saya suka. Pada saya ia sesuai dinikmati pada bila-bila waktu. Kalau ke hotel, tentu perasan puding roti adalah antara menu pemanis mulut yang dihidangkan ketika sarapan, tengah hari atau malam. Cubaan pertama membuat puding roti tidak begitu menjadi lantaran tiada oven untuk membakar. Puding roti sebenarnya boleh dimasak secara bakar dalam oven atau kukus. Kali kedua, Alhamdulillah, Perfecto!!! and So Yummy. Khalis paling suka makan sos vanilla yang saya disediakan untuk makan dengan puding roti. 

Mudah sahaja menyediakan puding roti ini. Bahan-bahannya juga mudah didapati dan kosnya juga tidak mahal. 

Bahan-bahan:

Sebiji telur
Susu (Freshmilk)
Butter/ Planta
Esen vanilla
Roti
Kismis atau coklat cip sekiranya suka

Saya suka menggunakan roti wholemeal. Bila makan, terasa serat-serat gandum. Sedap!

Bahan-bahan sos vanilla:

Susu (Freshmilk atau susu cair dalam tin)
Tepung custard (boleh juga gantikan dengan tepung jagung jika tiada)
Gula

Cara-caranya menyediakan puding roti ini mudah sahaja. Ini versi sayalah :)

1. Masukkan butter, telur dan esen vanilla. Kacau sebati dan kemudiannya masukkan susu. Jangan risau jika tiada mixer. Blender juga boleh digunakan. Satukan bahan-bahan tadi dalam blender dan blend sehingga betul-betul sebati. 

2. Susun roti dalam bekas yang bersesuaian. Selang selikan dengan kismis atau coklat cip.

3. Tuangkan bahan-bahan yang telah diblend tadi. Pastikan semua roti terendam dengan elok dan rata. Boleh juga gunakan kaedah mencelup sekeping demi sekeping roti ke dalam bancuhan tadi dan disusun terus ke dalam bekas.

4. Bakar dalam oven atau kukus selama lebih kurang 20 ke 30 minit.

Cara-cara penyediaan sos vanilla:

1.  Tuangkan susu dan gula ke dalam periuk atau bekas memasak yang sesuai. Gunakan api yang kecil. Kacau rata. 

2. Masukkan tepung kastard lebih kurang 1 atau 2 sudu. Makin banyak tepung kastard makin likat bancuhan itu nanti. Tapi kalau banyak sangat dah x jadi sos pula. Jadi puding kastard la pulak kan. He ^_^. Ada juga yang menggantikan tepung kastard dengan tepung jagung untuk menjadikan sos vanilla pekat.

3. Kacau selalu untuk pastikan ia tidak berketul-ketul dan bancuhan menjadi sebati. Dah sebati, bolehlah matikan api dan sejukkan sebelum dihidangkan bersama puding roti tadi.

Dalam masa 45 minit, puding roti dan sos vanilla telah siap dan ready untuk dibawa ke pejabat.

Dan hasilnya.... taraaa..... ini jela gambar yang sempat saya snap sebab dah habis kena makan. 



Puding Roti Sos Vanilla


Alhamdulillah. Mendapat sambutan hangat. Ramai yang komen sedap. Akak ni duduk dalam bilik dok pasang telinga dengar orang yang makan kat luar tu dok puji puding roti sedap. Tersenyum kambing seorang diri. Hehehe...

Ok. Kiranya ini adalah permulaan untuk baking project yang seterusnya. Walaupun simple dan tak se 'grand' mana pun puding roti hasil air tangan saya ni, tetapi ia merupakan permulaan yang baik bagi saya sebagai pencetus semangat untuk memasak kek-kek atau pemanis mulut lain pula pada masa akan datang. InsyaAllah.

Semoga bertemu lagi di episod akan datang.... ^_^

Wednesday 7 January 2015

Misi Bantuan Banjir Terengganu/Kelantan

Teks: Rahimah Binti Omar

Masih dalam mood menyumbang untuk bantuan mangsa-mangsa banjir :)

Alhamdulillah, tahun 2014 yang baru melabuhkan tirai beberapa hari yang lalu banyak memberi keinsafan kepada kami sekeluarga. Suami yang kuat semangat berjaya melancarkan misi bantuan banjir tanpa bantuan saya. Saya hanya memberi sokongan dan membantu seadanya sahaja kerana kekangan masa dan kesibukan menguruskan kerja-kerja pejabat di akhir-akhir tahun.

Kali ini, walaupun pada asalnya tiada perancangan awal, sebanyak 2 trip misi bantuan banjir berjaya dilaksanakan. Pertama, trip ke sekitar Negeri Terengganu yang terlibat dengan banjir seperti Kemaman dan Dungun. Kedua adalah trip ke Negeri Kelantan seperti ke daerah Manik Urai, Dabong dan lain-lain kawasan yang terjejas teruk akibat musibah banjir yang tidak diduga.

Syukur kerana kali ini ramai yang menyumbang tenaga, wang dan barang-barang keperluan untuk diberikan kepada mangsa banjir. Tidak kurang juga yang memberi kebenaran menggunakan kenderan 4 wheel drive untuk mengangkut barang-barang sumbangan. Dengar-dengar warga ABDR juga mengutip sumbangan. Alhamdulillah. Masih ramai masyarakat yang prihatin dan penyayang.

Paling tidak disangka, ada beberapa orang yang tidak dikenali memberi sumbangan. Antaranya, seorang "Datin" memberi sumbangan RM1000, seorang bernama "Brandon" memberi sumbangan 100 helai baju tshirt baru dan 100 helai selimut baru, satu trip "Pak Haji" dari Segamat, Johor juga menyumbang tenaga dengan menyertai kumpulan suami sebagai sukarelawan. Along Lina juga berusaha keras mengumpul dana untuk menyediakan barang keperluan khusus untuk bayi.

Dalam pada itu, masih ada juga yang ingin menyumbang tenaga dan menyatakan dirinya sukarelawan, tetapi meminta ditaja kos pergi balik, makan serta penginapan. Allahuakbar, suami saya dan rakan-rakannya bukanlah mengikut mana-mana NGO. Usaha sendiri-sendiri sahaja. Manalah ada bajet untuk itu semua. Maaflah, golongan "sukarelawan" ini tidak diperlukan.

Rumah saya secara tiba-tiba menjadi 'bilik operasi' kerana kami tidak menyangka akan menerima banyak sumbangan. Sudahnya penuh rumah dengan barang-barang yang telah dikumpulkan. Anak-anak lah yang paling seronok berlari ke sana ke mari.

Terima kasih kepada para penyumbang tidak kira apa jua sumbangan yang diberikan. Along Lina, Mak Teh, Pak Teh, Mak Yang sekeluarga, adalah antara ahli keluarga yang turut sama membantu packing barang-barang sumbangan. Kerja yang nampak remeh, tetapi jika tidak diurus dengan betul, kelam kabut juga jadinya. Kalau buat seorang pun tidak berkesudahan juga.

Alhamdulillah, pemergian suami dan rakan-rakan diiringi doa-doa kami yang tidak dapat turut serta ke Kelantan. Perjalanan membawa sebuah amanah besar sumbangan orang ramai untuk disampaikan kepada yang memerlukan di sana.

Banyak pengalaman dan kisah sedih yang diceritakan kepada saya. Tidak mampu untuk diceritakan di sini. Lagipun suami yang pergi, bukan saya. Jadi, hanya dia sahaja yang layak menceritakan kisah-kisah sedih mangsa-mangsa banjir yang disaksikan sendiri olehnya.

Buat suami dan rakan-rakan sukarelawan serta mereka yang memberi sumbangan, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik dan penat lelah kalian.Semoga usaha ini juga akan diteruskan pada masa akan datang. Amin.




Best Western Marina Island Resort, Lumut

Teks: Rahimah Binti Omar

2 minggu yang lalu saya menghadiri kursus anjuran pejabat di Best Western Marina Island Resort, Lumut selama 2 hari. Seperti biasa, satu keluarga saya bawa sekali. Adik saya Achik pun turut serta. Buat tolong-tolong suami jaga anak ketika saya ke kursus.

Pertama kali menginap di Best Western Marina Island Resort ini. Hotelnya masih lagi baru. Jadi, bilik dan kelengkapan di dalamnya pun sudah tentunya masih baru dan cantik. Cukup selesa dan luas untuk saya dan keluarga besar saya ni.

Hotel ini menyediakan apartment satu bilik, dua bilik dan tiga bilik. Saya duduk di apartment satu bilik sahaja. Macam yang saya cakap, apartment ini luas, dibahagikan kepada ruang bilik, ruang tamu dan ruang dapur. Ruang tamu dan dapur bercantum. Jadi cukup luas untuk anak-anak berbaring-baring dan berlari-lari. Ini bagi bilik yang saya duduk lah ye. Bilik lain saya tidak pasti bagaimana arrangement nya.

Pemandangan dari balkoni bilik sangat cantik. Menghadap telok pantai Lumut. Kalau tak silap, kawasan ini namanya Teluk Muloh. Sejuk mata memandang pemandangan yang indah di sini.


Pemandangan dari bilik di tingkat 6. Cantikkan.

Ada kemudahan berkayak dan water sport.

Kolam pun ada :)
Pada saya harga bagi satu malam penginapan plus sarapan untuk seorang serta package meeting dan kursus di sini agak berpatutan. RM190 per person sehari untuk package tersebut. Bolehlah untuk kami yang buat kursus di akhir tahun dan bajet cukup-cukup ni. Jika ikut rate di internet, untuk penginapan biasa serta sarapan adalah RM170 per nite.

Alhamdulillah, kursus berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Bersemangat mendengar ceramah yang diberikan tetapi lagi bersemangat nak berjalan ke Pulau Pangkor sebenarnya.

Khusyuk mendengar ceramah.

Habis mendengar ceramah dan aktiviti-aktiviti dalam kelas, kami dibawa untuk aktiviti island hopping di Pulau Pangkor. Kosnya RM30 untuk dewasa di mana harga ini adalah termasuk harga tiket ferry pergi balik dan harga sewa teksi/van untukberjalan-jalan di sekitar Pulau Pangkor. Pada saya agak murah juga kosnya.

Anak-anak gembira tak terkata. Pertama kali naik ferry. Agak jakun sket. Alhamdulillah la tak mabuk laut. Lagipun perjalanan ke Pulau Pangkor hanya lebih kurang 15 ke 20 minit sahaja. Tak lama pun.

Gambar? Tak sempat nak ambil gambar sebab sibuk melayan anak-anak yang nak itu dan ini bila sampai di satu-satu tempat. Iman la yang paling meragam sekali sebab tak dapat beli mainan ultraman. Aduhai... Letih mama dan papa layan. Cakap dengan papa, inilah kali pertama dan terakhir kita pergi ke Pulau Pangkor. Selepas ini, kalau nak pergi lagi kena tunggu lebih kurang 5 tahun lagi lepas anak-anak dah cukup besar dan senang dibawa berjalan.

Apapun, syukur sebab dapat bawa anak-anak berjalan. Seronok diorang mandi kolam hari-hari. Itu pun agenda utama diorang ni. Hehehe.

Tak tahu bila lagi nak berjalan-jalan makan angin. Mungkin 3 atau 4 bulan lagi kot. Ke mana? Biasanya kami tidak merancang awal. Kalau tiba-tiba terasa nak berjalan-jalan, barulah berfikir hendak ke mana.

Semoga kami diberi kesihatan untuk menikmati keindahan alam ciptaan Ilahi ini pada masa akan datang. Amin...