Teks: Rahimah binti Omar
Hari ini rata-rata bercerita pasal banjir. Di pejabat, radio, tv, surat khabar, media sosial seperti fb, whatsapp dan lain-lain. Banyak gambar-gambar disebarkan menunjukkan keadaan sebenar tempat-tempat yang ditimpa banjir. Allahuakbar. Kasihan melihat mangsa-mangsa banjir terutama golongan warga emas dan kanak-kanak termasuk bayi.
Teringat kisah tahun lepas tatkala negeri Terengganu dan Pahang dilanda banjir teruk. Suami dan rakan-rakan menganjurkan misi bantuan banjir. Misi yang diadakan secara tiba-tiba, atas kesedaran untuk menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan, saya dan suami serta rakan-rakan berusaha untuk mengutip seberapa banyak sumbangan daripada ahli keluarga serta rakan-rakan tidak kira dari segi kewangan atau sumbangan barang-barang keperluan, makanan dan pakaian. Alhamdulillah. Ramai yang menghulurkan bantuan.
Tahun ini, tatkala banjir melanda, ramai juga yang bertanya " tak buat collection ke?". Atau "bila nak pergi hantar bantuan?". Asalnya tidak merancang untuk menganjurkan misi bantuan banjir sekali lagi kerana suami ada komitmen kerja. Namun atas pertanyaan ramai, bersemangat pula encik suami untuk menganjurkan misi ini sekali lagi.
Sebagai isteri, saya memberi sokongan kepada suami. Benda baik kan. Tengah hari tadi, saya mengemas baki pakaian sumbangan rakan-rakan untuk mangsa banjir tahun lepas. Sebenarnya, kami tertinggal 2 bungkusan pakaian kerana terlalu banyak barang yang perlu diagihkan pada masa itu. Bila saya buka, separuh pakaian, kain-kain termasuk cadar dan tuala terpakai terpaksa saya buang. Agak sedih juga kerana ada pakaian yang bukan sahaja lusuh tetapi sudah tidak sesuai untuk digunakan kecuali sebagai kain buruk. Pakaian yang ada seolah-olah diberikan untuk clear kan rumah atau proses pembersihan rumah sahaja.
Suami kata, tak apelah. Asalkan ada yang nak menderma. Pada saya, jika ingin memberi, berilah benda yang paling elok kita ada. Maksudnya, jika memberi pakaian terpakai, bagilah pakaian yang masih boleh dipakai. Jangan hanya boleh pakai, tapi pastikan juga ia elok dan bersih.
Jadi, hari ini ingin saya kongsikan beberapa perkara yang boleh dijadikan sebagai panduan kepada sesiapa yang ingin menderma atau memberi sumbangan barangan atau pakaian kepada mangsa banjir.
@ sumbangan air bersih/ air mineral. Air bersih sangat-sangat diperlukan terutama untuk diminum.
@ bagi pakaian yang bersesuaian terutama untuk musim sejuk/ musim banjir.
@ pakaian yang elok dan masih boleh dipakai. Janganlah bagi pakaian yang sudah koyak, terlalu lusuh atau buruk.
@ sumbang pakaian yang bersih. Perlu ingat, mangsa banjir tidak mempunyai air bersih untuk basuh pakaian yang diberikan. Mungkin ada yang memerlukan pakaian kerana meninggalkan rumah sehelai sepinggang. Jadi, sila pastikan ia dalam keadaan yang bersih dan boleh dipakai terus.
@ sumbangan makanan. Seeloknya makanan yang boleh dimakan terus (tak perlu masak) dan tahan lama seperti biskut, maggi dan 3 in 1 product. Maggi boleh dianggap tak perlu masak sebab hanya perlu rendam dalam air panas sahaja.
@ barangan keperluan harian seperti pampers. Tidak perlu yang branded. Yang penting sesuai digunakan oleh bayi atau kanak-kanak. Lilin juga boleh menjadi barang keperluan harian ketika musim banjir terutama bagi kawasan yang telah terputus bekalan elektrik.
@ barang-barang lain seperti tilam nipis dan khemah. Penempatan mangsa banjir kebiasaannya adalah dewan orang ramai, sekolah dan balai raya. Jadi, boleh bayangkan ketidakselesaan terutama warga emas, kanak-kanak, ibu mengandung dan lain-lain lagi. Sekurang-kurangnya khemah yang disumbang boleh memberi sedikit privacy kepada mereka.
@ sumbangan ubat-ubatan. Yang ini kebiasaannya diberi oleh pihak yang berkaitan. Walau bagaimanapun, boleh juga untuk menyumbang ubat-ubat yang asas seperti panadol atau minyak angin.
Bagi yang nak menyumbang, banyak channel yang boleh digunakan untuk membuat sumbangan. Jika risau untuk menyumbang kewangan kepada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, bolehlah pergi ke mana-mana masjid atau surau. Kebiasaannya masjid atau surau memang akan anjurkan misi bantuan banjir. Insyaallah sumbangan anda akan disalurkan kepada pihak yang sewajarnya.
p/s: by the way, saya memang gelar suami saya as "PAPAZOLA" because of his good heart and suka bantu orang. Hehehe.
Friday, 26 December 2014
Monday, 22 December 2014
It’s a Play Dough Time!
Teks: Rahimah Binti Omar
Anak-anak saya memang sangat suka
bermain tanah liat (plastesin) atau play dough. Kalau dikira, entah sudah
berapa puluh kotak tanah liat yang dibeli dan berapa ratus ringgit habis untuk
membeli set play dough yang sememangnya mahal itu. Paling kuat paw papa dan mama untuk beli set play
dough adalah Iman. Memang susah nak kawtim
dengan si kecik ni. Kalau tak dapat, memang menangis la jawabnya.
Sudah beberapa kali berjanji dengan
Iman nak buat play dough sendiri. Jimat sedikit. Set play dough sudah ada.
Dohnya sahaja yang tiada. Kalau guna tanah liat biasa, agak keras dan tidak
sesuai untuk menggunakan set play dough tu. Sayang pula kalau patah atau rosak.
Setakat acuan sahaja bolehlah.
Minggu sudah, balik je ke rumah dia
bertanya lagi. Disebabkan mood mama baik dan anak-anak pun behave hari itu, tak
sempat salin baju, mama terus ke dapur. Ambil mangkuk, tepung, air, minyak
masak dan pewarna untuk dibancuh dan dibuat doh. Semua duduk mengadap mama
menguli doh termasuk Baby Eecha. Dan hasilnya, dapatlah beberapa bekas doh yang
berwarna merah untuk mainan anak-anak. Jimatkan. Kalau nak dibeli, satu bekas
berharga lebih kurang RM8 (bekas besar) bagi doh berjenama Play Dough. Yang tidak
berjenama pun lebih kurang RM5 juga sebekas. Cuma kekurangannya ialah doh
adunan sendiri ini tidak tahan lama seperti doh yang dibeli kerana adunan akan
basi selepas sehari. Doh yang dibeli semestinya mengandungi bahan awet untuk
membolehkan ia tahan lama.
![]() |
Play dough merah |
Saya tidak kisah anak-anak main
play dough walaupun kadang-kadang kotor dan melekat di sana-sini. Kerana
bermain play dough ini boleh menggalakkan anak-anak berfikiran kreatif, suka
belajar dan fokus pada sesuatu perkara. Di samping itu, bermain play dough juga
akan menggalakkan daya imaginasi anak-anak. Sel-sel otak akan berhubung antara
satu sama lain ketika bermain :)
Kalau rasa tak mahu penat
membersihkan kotoran atau play dough yang melekat di sana sini, pesan kepada
anak-anak untuk bermain di satu tempat sahaja. Lebih baik jika bermain ditempat
yang sememangnya dikhaskan untuk bermain. Lagi mudahkan. Kalau kotor pun setempat
sahaja. Lagipun, adatlah kalau ada anak-anak kecil. Kalau tak kotor, tidak
sahkan.
Sebagai ibubapa, kita hendaklah
menggalakkan anak-anak berfikiran kreatif melalui permainan yang mereka main
kerana itulah cara yang paling seronok untuk mereka menerokai dunia ilmu di
peringkat usia mereka ini. Lagi seronok kalau ibubapa dapat bermain bersama.
Bagi ibubapa yang belum mencuba
buat play dough sendiri bolehlah cuba selepas ini. Mudah dan jimat. Hanya bancuh
bahan-bahan yang saya sebutkan tadi dan uli adunan. Seeloknya buat dalam
kuantiti yang cukup-cukup untuk mainan anak-anak sahaja kerana kalau berlebih
membazir la pula.
Selamat berimaginasi semua!
Tuesday, 16 December 2014
Selamat Ulang Tahun Pertama Nur Aneesa Aisyah
Teks: Rahimah Binti Omar
Alhamdulillah, syukur tidak
terhingga. Nur Aneesa Aisyah atau Baby Eecha telahpun berusia setahun pada 15
Disember yang lalu. Syukur pada-Mu Ya Allah di atas kesihatan yang Kau
kurniakan padanya.
Masih Mama ingat, saat melahirkan
Eecha setahun yang lalu. Terasa sukar untuk melahirkan walaupun sudah puas
meneran. Hampir-hampir Mama give up. Rupanya doktor kata kedudukan Eecha tidak
betul. Muka Eecha menghadap ke atas. Dalam keadaan normal sepatutnya muka Eecha
menghadap ke bawah. Kerana itulah agak sukar untuk Eecha keluar walaupun sudah
sekuat hati Mama meneran.
Mama juga kekurangan tenaga
sebenarnya. Mana taknya, dari pagi Mama mengemas rumah. Macam-macam Mama buat
walaupun sudah sarat dan menunggu masa. Bila tengahari, sudah mula terasa
sakit, tapi Mama masih boleh bertahan kerana selang waktunya agak lama. Memandangkan
Mama pernah mengalami false contraction pada minggu ke 35, jadi Mama tidak pedulikan
sangat rasa sakit tu. Mengemas rumah, memasak, menguruskan abang kakak dan lain-lain.
Tanpa Mama sedar, hari dah pun petang dan Mama tidak sempat merehatkan badan
atau melelapkan mata walau sebentar. Hampir tengah malam contraction
terasa semakin kuat. Ketika itu, badan sudah terlalu letih. Tambah pula sakit
contraction. Hinggakan nak makan kurma sebiji pun sudah tidak mampu.
Papa sentiasa berada di sisi Mama,
menemankan Mama sepanjang proses melahirkan Eecha. Memberi kata-kata semangat
dan mendoakan Mama. Mama sebenarnya agak kagum dengan Papa kerana kali ini Papa
agak kuat untuk melihat sendiri proses melahirkan Eecha. Sebelum ini, walaupun
Papa ada menemani Mama tapi Papa tak tengok pun proses melahirkan. Papa
sebenarnya mabuk darah. Teringat peristiwa ketika proses epidural semasa
melahirkan abang Khalis. Papa hampir pitam kerana melihat jarum besar yang
ditusuk ke belakang Mama. Kelam kabut nurse mencari tikar dan bantal untuk Papa
berehat sebentar di tepi katil Mama dalam labour room tu. Tetapi kali ini,
setelah tiga kelahiran, barulah Papa yakin untuk melihat anak sendiri
dilahirkan. Alhamdulillah. Sempat juga Papa snap beberapa keping gambar saat
Eecha dilahirkan sebagai kenangan.
Anak Mama selamat dilahirkan pada
hampir waktu subuh iaitu lebih kurang pukul 5.45 pagi. Saat itu, Mama sudah
betul-betul tidak larat. Lepas pegang Eecha sekejap, doktor terus bagi suntikan
ubat tidur sebab nak bagi Mama berehat. Apa yang berlaku selepas itu Mama sudah
tidak ambil peduli. Mama tidur merehatkan badan. Papa menguruskan apa yang
patut. Syukur semuanya telah selamat.
Dan kini, Baby Eecha Mama telahpun
berusia setahun. Mudah sebenarnya menjaga Eecha ni. Anak yang sangat berdikari
walaupun masih kecil. Eecha pandai membawa diri. Kalau Mama sibuk di dapur,
Eecha akan main dengan abang-abang dan kakak. Tak pun Eecha main sendiri di
tempat permainan. Sesekali Eecha jenguk Mama di dapur dan menegur Mama. Tak
pula minta didukung. Mungkin Eecha faham kot Mama tengah sibuk memasak.
Eecha akan meragam jika mengantuk atau nak susu atau dikacau abang kakak atau Eecha tidak sihat. Seawal
10 bulan Eecha sudah boleh berjalan. Umur 6 bulan gigi sudah 2 batang tumbuh. Perkembangan
paling cepat berbanding Abang Khalis, Iman dan Kakak Yaya. Semasa baby lagi
Eecha dah menunjukkan perkembangan yang cepat. Baru beberapa hari sudah mula nak
mengangkat kepala. Tak padan dengan kecil.
Suara Eecha halus. Bila menangis
slow dan halus sahaja bunyinya. Tapi itu dululah. Sekarang speaker Eecha sudah
semakin kuat sedikit berbanding dulu. Apapun tidak boleh lawan Kakak Yaya yang bersuara
lantang dan nyaring.
Eecha juga anak yang ceria. Selalu tersenyum
dan mudah mesra dengan orang. Kadang-kadang pemalu juga orangnya. Alhamdulillah,
Eecha membesar dengan sihat. Eecha jarang sakit. Mungkin juga sebab dari usia sehari
hingga sembilan bulan Eecha di bawah jagaan Mama dan dibantu oleh Opah semasa
Mama bekerja dari rumah. Rezeki Eecha sebenarnya. Syukurlah.
Doa Mama dan Papa untuk anakanda
Eecha sayang, semoga Nur Aneesa Aisyah akan menjadi anak yang solehah. Taat
kepada Allah dan kedua ibubapa. Sentiasa sihat dan ceria. Jadi anak yang
cemerlang dan berjaya dunia akhirat. Amin.
Selamat Hari Lahir sayang. We luv u
so much.
Kepentingan Senaman Dalam Pengurusan Stress
Teks: Rahimah Binti Omar
Assalamualaikum wbt.
Sambungan kisah kursus pengurusan
stress yang saya hadiri beberapa minggu lalu. Walaupun penat bersenam, saya tak
lupa untuk mengambil nota supaya dapat dijadikan rujukan pada masa akan datang.
Jom saya coretkan sedikit ilmu mengenai senaman, aktiviti fizikal, fakta kurus
dan perkara-perkara berkaitan untuk perkongsian bersama.
Apa itu stress?
Tekanan Perasaan atau Stress adalah
reaksi atau respon tubuh badan (fizikal, emosi dan mental) terhadap ransangan
yang tidak menyenangkan. Stress boleh berlaku kepada sesiapa sahaja tidak
mengira umur , jantina, bangsa, agama dan boleh berlaku di mana-mana sahaja. Ia
tidak dapat dielakkan.
Walau bagaimanapun, Stress boleh
ditangani dengan menggunakan kaedah “10B”.
Apa itu “10B”?
1.
Bertenang
2.
Bernafas dengan dalam
3.
Berkata “relakslah”
4.
Beribadat
5.
Bercakap dengan seseorang
6.
Berurut
7.
Berehat & mendengar musik
8.
Beriadah
9.
Bersenam
10.
Berfikiran positif
Komponen gaya hidup sihat:
- Amalan
pemakanan seimbang
- Senaman
- Tidak
salah guna bahan
- Amalan
kebersihan diri
- Kebersihan
tempat tinggal
- Rehat
yang mencukupi
Kadar Nadi Rehat
Kadar Nadi Rehat (KNR) adalah kadar
nadi ketika sedang dalam keadaan rehat dan relaks. Bagaimana untuk kira KNR.
15 saat
(Kira bacaan nadi dalam masa 15 saat)
|
x
|
4
|
=
|
KNR untuk 1 minit.
|
Hasil:
81 ke atas = sudah lama tidak
bersenam :)
80 – 70 = KNR normal
70 ke bawah = sangat bagus
Kadar Nadi Latihan
Kadar Nadi Latihan (KNL) adalah kadar
nadi ketika membuat latihan fizikal atau senaman.
Dikira secara kiraan biasa selepas
bersenam atau melakukakan latihan fizikal.
Hasil:
110 ke atas = sangat bagus
Kadar yang sepatutnya adalah
semakin muda, semakin tinggi kadar denyutan.
Senaman yang bagus mestilah
mempunyai 3 ciri iaitu 20 minit ke atas, berpeluh dan tercungap-cungap. Jika ketiga-tiga
ciri-ciri ini ada, barulah senaman tersebut dikatakan bagus untuk
kardio/jantung. Kata Encik Trainer lagi, kalau tidak tercungap-cungap atau
tidak berpeluh, senaman yang dilakukan kurang berkesan.
Fakta & mitos mengenai senaman dan kurus:
1.
Kerja rumah adalah aktiviti fizikal dan bukannya senaman.
2.
Senaman paling bagus adalah berenang.
3.
Tarian poco-poco bukanlah senaman yang bagus kerana ia
menurunkan kadar nadi. In fact, ia bukanlah senaman. Boleh dikategorikan
sebagai aktiviti fizikal.
4.
Berjalan turun naik tangga adalah elok sebagai satu
aktiviti fizikal tetapi bukanlah satu senaman yang bagus kerana boleh
mendatangkan kecederaan terutama kepada lutut. Aktiviti turun naik tangga elok
untuk jantung tetapi tidak boleh mengempiskan perut :)
5. Mereka yang mempunyai masalah jantung digalakkan untuk
banyak berjalan. Aktiviti yang elok untuk kardio/jantung tidak secara langsung
menurunkan berat badan.
6. Pemakaian korset tidak akan menyebabkan kurus atau
membuang lemak sebaliknya hanya boleh memampatkan lemak-lemak terkumpul untuk
jangka masa pemakaiannya sahaja.
7. Jangka hayat kasut sukan yang telah digunakan adalah satu
tahun sahaja. Setelah ia digunakan, walaupun hanya sekali dan telah berusia
setahun, seeloknya ia ditukar. Ini kerana sponge yang dikhaskan dalam kasut
sukan sukan berkenaan sudah lagi tidak berfungsi sewajarnya.
8. Lemak berada dalam lapisan ketiga kulit. Oleh itu,
pemakaian losyen panas/berhaba tidak akan memberi kesan kepada lemak sebaliknya
hanya kulit lapisan pertama sahaja yang mendapat impak losyen tersebut. Jadi tidak
betullah sekiranya ada yang kata guna losyen sahaja boleh kurus :)
9. Waktu yang paling bagus untuk bersenam adalah pada waktu
pagi. Waktu malam, sekiranya hendak bersenam juga seeloknya sebelum pukul 11
malam kerana selepas waktu tersebut tubuh badan sudah bersedia untuk berehat.
10. Skipping adalah senaman yang sesuai untuk orang muda,
remaja dan kanak-kanak. Orang tua tidak digalakkan untuk berskipping kerana
impak direct kepada lutut dan kaki.
11.
Mesin vibration tidak secara langsung mengurangkan lemak
dalam badan.
12. Body wrapping memecahkan muscle dan bukannya lemak. Sebab
itulah berat badan cepat turun.
13.
Air kosong tiada kalori, jadi ia tidak akan membuatkan
anda gemuk. Tetapi sekiranya diambil dalam jumlah yang banyak sekaligus, ia
boleh menyebabkan perut anda buncit.
14. Lepas bersenam, seeloknya minum air yang sejuk. Kerana badan
yang panas lebih cepat menyerap air yang sejuk.
15.
Cara buang lemak paling berkesan dan tiada risiko adalah
melalui penjagaan pemakanan dan melakukan senaman secara konsisten. Cara yang berisiko
adalah melalui pengambilan ubat-ubatan atau sedut lemak (liposuction).
Senaman untuk kurus:
Anggota Sasaran
|
Senaman yang paling bagus dilakukan
|
Untuk kecilkan peha
|
Angkat kaki ke sisi secara
berulang
|
Untuk kecilkan punggung
|
Squad
Senaman menggunakan fitball
|
Untuk kardio/jantung
|
Berjalan
|
Kempiskan perut
|
Sit up
|
Senaman paling bagus untuk cepat
kurus
|
berenang
|
Macam mana? Boleh ke bersenam
secara konsisten selepas ini? Sebenarnya tiada alasan yang boleh diberikan
untuk tidak bersenam. Sambil duduk-duduk di atas kerusi pun boleh bersenam. Cuma
perlu tahu kaedah senaman yang betul. Nanti mendatangkan kecederaan pula. Daripada
nak kurus, jadi sakit la pulak kan.
Lepas ni, bolehlah masukkan azam
untuk bersenam secara konsisten setiap hari dalam senarai azam tahun baru 2015
(sementara tengah bersemangat :)).
Barulah boleh mentapai target berat badan ideal. Hehehe.
InsyaAllah, akan ku usahakan! Selamat bersenam semua!
Wassalam.
Friday, 12 December 2014
Beguk. Bahayakah?
Teks: Rahimah Binti Omar
Minggu ini tuan puteri sulung Nur
Aleeya tidak ke taska kerana beguk. Kasihan Yaya. Sudah 2 hari demam baru
bengkak di sebelah telinga/leher kiri timbul. Pergi jumpa doktor, sahlah beguk
rupanya.
Kata doktor, beguk ini bahaya untuk
kanak-kanak lelaki. Ada risiko mandul. Terkejut juga saya dan suami
mendengarnya. Ini pertama kali kami berdua mendengar beguk merbahaya kepada
kanak-kanak lelaki dan boleh menyebabkan mandul. Maklumlah. Jarang ada ahli
keluarga yang terkena beguk ni.
Memandangkan doktor kata beguk ini
boleh berjangkit terutama melalui air liur (batuk, bersin, direct touch), cepat-cepat
kami merancang untuk menghantar iman ke rumah Opah di Tanjung Malim kerana
tidak mahu Iman pula dijangkiti beguk. Kebetulan Abang Khalis memang
ditinggalkan di Tanjung Malim bersama sepupunya Kak Dini. Saya minta
pertolongan adik untuk menjaga Yaya sepanjang Yaya tidak ke taska.
Walaupun doktor sudah sahkan bahawa
beguk ini merbahaya kepada kanak-kanak lelaki, saya google juga di internet
untuk dapatkan sedikit maklumat mengenai risiko dan rawatan beguk ini. Manalah
tahu, lepas ini ada mana-mana anak lain pula yang berjangkit.
Banyak maklumat berkaitan beguk
yang saya dapat hasil carian di Google. Saya kongsikan sedikit info yang saya
dapat dari www.myhealth.gov.my berkenaan
beguk untuk makluman bersama.
Apa itu
beguk?
Beguk merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia
menyebabkan bengkak dan rasa sakit pada kelenjar parotid. Ia mudah berjangkit
dan virus merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila
mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin. Ia boleh berjangkit
selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.
Gejala atau tanda beguk
Tanda dan
gejala jangkitan bermula selepas 12-25 hari berhubungan dengan orang yang
dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada simptom awal, mereka
mungkin menghadapi:
·
Demam.
·
Sakit kepala.
·
Mulut kering dan hilang selera.
·
Keletihan.
·
Pembengkakan pada satu atau
kedua-dua kelenjar parotid.
Gejala ini
biasanya hilang dalam masa 10–12 hari.
Komplikasi
Walaupun semua
orang yang dijangkiti biasanya akan pulih sepenuhnya, kadang-kala komplikasi
juga boleh berlaku seperti:
·
Encephalitis (Pembengkakan pada
otak).
·
Meningitis (Pembengkakan pada
lapisan otak).
·
Pancreatitis (Inflamasi pada
pankreas).
·
Orchitis (Lebam pada testis) berlaku
pada lelaki dewasa.
·
Pekak.
Rawatan
Tiada ubat
yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan:
·
Paracetamol untuk mengurangkan demam
dan rasa sakit.
·
Mengambil lebih minuman tetapi
elakkan jus-jus yang berasid.
·
Letakkan ais pada kelenjar parotid
atau testis untuk melegakan kesakitan.
Orang yang
dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi
berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau
sehingga bengkak tersebut hilang.
Pencegahan
Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini
diberi pada umur 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun sebagai
sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps, measles and rubella). Ianya sangat
berkesan untuk mencegah beguk ini.
Petua untuk meredakan bengkak beguk
Sapu nila yang telah dicampurkan
dengan cuka ke sekitar kawasan yang bengkak. Ada juga yang kata air asam jawa
yang pekat juga boleh digunakan untuk menggantikan cuka sekiranya tiada. Tetapi
berdasarkan kajian saintifik, tiada lagi bukti yang menunjukkan cuka, nila atau
asam jawa ini boleh mengurangkan bengkak tersebut. Ada kemungkinan cuka atau
air asam jawa tersebut menghasilkan rasa dingin/sejuk dan menyebabkan rasa
sakit berkurangan.
Semoga bermanfaat :)
Kepentingan Senaman Dalam Pengurusan Stress
Teks: Rahimah Binti Omar
Minggu lepas saya berkesempatan
mengikuti satu program anjuran jabatan iaitu Kursus Pengurusan Stress yang bertajuk
“Kepentingan Senaman Dalam Pengurusan Stress”. Penceramahnya adalah Tuan Hj
Syaiful Anwar Bin Hj Ishak dari Jump For Heart and Health (JFHH) Rawang,
Selangor.
Seronok mengikuti kursus ini. Walaupun
hanya satu hari tetapi ia diisi dengan pelbagai senaman dan aktiviti fizikal. Antara
yang diajar adalah mengenai kepentingan senaman, kesihatan jantung, fakta dan
mitos mengenai kurus, senaman yang berkesan dan lain-lain lagi.
Sepatutnya hari itu semua peserta
dikehendaki memakai pakaian sukan. Maknanya kasut juga adalah kasut sukan. Tapi
disebabkan stokin tak jumpa, kasut juga entah ke mana, maka saya hanya memakai
sandal sahaja. Nampak sangatlah “rajin” bersenam kan. Jadi, semua senaman dan
aktiviti fizikal saya buat dengan memakai sandal. Sangatlah tidak sesuai
sebenarnya. Hasilnya, kaki saya sangatlah sakit dan lenguh-lenguh sehinggakan
nak tidur malam pun susah. Sudahnya niat di hati, jika tak baik juga lepas
bangun tidur, memang kena ambil MC lah jawapnya. Tetapi Alhamdulillah. Bangun pagi
everything back to normal:)
InsyaAllah, saya akan tuliskan satu
entri khas mengenai semua yang saya belajar pada hari tersebut.
Jom kita bersenam :)
Thursday, 11 December 2014
Aku Tanya Apa Khabar Semua…
Teks: Rahimah Binti Omar
Assalamualaikum wbt.
Sudah lama tidak update entri.
Banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini memenuhi hari-hari saya yang
sememangnya penuh dengan pelbagai urusan. Bulan Disember pun sudah hampir ke
pertengahan bulan. Maknanya sudah tak berapa hari lagi kita akan memasuki tahun
baru.
Tahun 2015 yang dikatakan sebagai
tahun yang penuh cabaran terutama dari aspek kewangan. Bersiap sediakan kita
untuk menghadapinya?
Rezeki Allah yang tentukan. Sebagai
manusia, kita hanya perlu berusaha dan berdoa. Berdoa semoga dilimpahi rezeki
yang cukup, halal dan diberkati untuk sekeluarga. Jangan takut tidak cukup
duit. Mungkin kita tidak mempunyai duit yang banyak tetapi kita mempunyai
rezeki yang cukup. Duit bukan segala-galanya dan kita perlu luaskan pemikiran
dan pemahaman mengenai konsep rezeki. Rezeki bukan sahaja duit. Rezeki adalah
apa-apa nikmat yang Allah kurniakan untuk kesenangan kita. Jadi, bersyukurlah
dengan apa yang ada. InsyaAllah, rezeki yang telah ditetapkan olehNya untuk
kita akan kita terima juga bila sampai waktunya.
Jadi, usah takut untuk menghadapi
tahun baru. Kita hadapi cabaran masa akan datang dengan membuat perancangan
rapi dalam semua aspek. Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal.
Sudah boleh mula menyenaraikan azam atau impian untuk dilaksanakan pada tahun
hadapan.
Untuk saya sendiri, azam umum setiap
tahun adalah untuk menjadi lebih baik sebagai seorang isteri, ibu, pekerja dan
hambaNya. Mahu memantapkan dan melipatgandakan usaha untuk beribadah kepadaNya.
Mahu lebih banyak mengingatiNya daripada mengingati urusan dunia. Mahu menjadi
ibu mithali yang boleh menjadi contoh kepada anak-anak. Azam yang lain jika nak
disenaraikan memang banyak. InsyaAllah akan saya laksanakan satu persatu.
Semoga saya dan suami diberi
kekuatan, ketabahan, kesihatan, kewarasan, kesabaran dan ketenangan untuk sama-sama melayari bahtera rumah tangga
dan mendidik anak-anak amanah Allah ini untuk tahun depan dan tahun-tahun akan
datang. Amin.
Tuesday, 2 December 2014
My Sweet Princess, Nur Aleeya Adriana.
Teks: Rahimah Binti Omar
Syukur padaNya. Tuan Puteri Nur
Aleeya Adriana telahpun mencecah usia 3 tahun pada 28 November yang lalu.
Alhamdulillah, syukur sekali lagi.
Kelahiran Nur Aleeya 3 tahun yang
lalu sangat-sangat di nantikan oleh Mama dan Papa. Maklumlah, anak perempuan
pertama. Tak sabar rasanya nak tengok rupa tuan puteri sulung kami. Tambahan,
Nur Aleeya juga cucu perempuan pertama bagi keluarga sebelah saya. Jadi, semua
orang pun excited nak tengok baby girl kami ini.
Inilah dia tuan puteri Nur Aleeya
Adriana kesayangan Mama dan Papa. Dialah penyeri, dialah penyebab stress Mama
dan Papa. Dia penceria suasana dan pembingit telinga. Dia juga teman sepermainan
Abang Khalis dan Abang Iman. Kakak yang penyayang kepada baby Nur Aneesa
Aisyah. Juga teman baik baby yang selalu mengangkat beg baby setiap hari pergi
dan balik nursery.
Alhamdulillah Ya Allah. Anak ini
sudah cukup sempurna buatku. Jadikanlah dia anak yang solehah ya Allah, anak yang
taat kepada agama Mu. Anak yang mendengar kata kedua ibubapa. Anak yang boleh
menjaga kami apabila kami tua nanti. Ya Allah, aku pohon kepadaMu, kau
peliharalah anakku ini daripada segala kejahatan manusia yang zalim, kejahatan
syaitan yang direjam, bala bencana di dunia dan akhirat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Buat Nur Aleeya Adriana sayang,
selamat hari lahir anakku. Semoga panjang umur dan dimurahkan rezeki. Mama dan
Papa sayangkan Yaya untuk selama-lamanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)