Tuesday 30 September 2014

Kek Batik

Teks: Rahimah binti Omar

Kek batik adalah antara kek yang paling mudah untuk disediakan. Kek batik jugalah merupakan kek pertama yang saya belajar buat semasa zaman persekolahan lagi. Mungkin bagi yang pakar, apalah sangat untuk membuat kek batik ini. Kacang sahaja. Tetapi untuk saya, ada kisah di sebalik kek batik ini.

Semasa saya bercuti panjang selepas SPM, saya bekerja di kilang sarung tangan berdekatan dengan rumah. Supervisor saya adalah orang kampung saya juga. Kalau tidak silap, kak Mas namanya. Kisah sudah lama, nama pun sudah lupa :)

Suatu hari ketika bersembang-sembang dengan kak Mas, dia menyuarakan keinginan untuk belajar membuat kek kerana selama ini memang tidak pernah menjadi kek-kek yang dibuatnya. Hinggakan suaminya pun tidak menggalakkan dia membuat apa-apa kek atau biskut lagi kerana pastinya tidak menjadi. Jadi, saya cadangkan padanya untuk membuat kek batik kerana kek ini sangat mudah disediakan dan bahan-bahannya juga senang diperoleh. Tidak perlu mesin pengadun, spatula, ketuhar atau lain-lain peralatan memasak kek.

Bersemangat, kak Mas terus menyalin resepi dan cara-cara penyediaannya. Saya layan sahajalah. Tidak pula menyangka yang dia benar-benar serius untuk menyediakan kek tersebut.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi kak Mas memanggil saya. Ingatkan kenapa. Rupa-rupanya ditunjukkan pada saya sebekas kek batik yang telah dipotong kecil hasil air tangannya sendiri. Lebar sungguh senyumannya. Akhirnya menjadi.

Panjang lebar kak Mas bercerita mengenai kisah dia menyediakan kek batik itu. Betapa kelam kabut dapur dibuatnya. Bersepah sana sini dengan bahan-bahan yang tidak seberapa itu. Suaminya juga tidak menyangka yang akhirnya kek tersebut menjadi. Dan yang paling penting suaminya memuji sedap. Mungkin suaminya tidak pernah makan kek batik sebelum ini :)

Yang seronoknya, kak Mas terus bersemangat untuk mencuba memasak kek lain pula. Siap sudah ada rancangan hendak buat lagi kek batik untuk dibawa ke rumah adiknya di Kuala Lumpur. Saya juga tumpang seronok kerana dapat berkongsi sedikit ilmu dengan kak Mas walaupun hanya kek batik sahaja.

Walaupun ringkas, namun tidak semua orang boleh berjaya membuat kek ini jika tiada kesungguhan. Yang penting berani mencuba dan keikhlasan untuk memasak itu yang akan menjadikan masakan kita sedap dan menyelerakan.

Jom saya kongsikan resepi kek batik versi saya sendiri. Ringkas, mudah dan sedap. Boleh disediakan untuk ahli keluarga atau jamuan minum petang.

Kek Batik

Milo (1 paket kecil)
Serbuk koko (anggaran 2 sudu untuk menambah rasa coklat)
Susu pekat (1 tin)
Mentega (1 buku) atau planta
Biskut Merrie

Cara-caranya:

1-Panaskan kuali. Pastikan kuali yang digunakan adalah sederhana besar untuk memudahkan proses mengacau bahan-bahan nanti.

2- Cairkan mentega, masukkan milo, serbuk koko dan susu. Gaul rata sehingga sebati.

3- Masukkan biskut merrie yang telah dipatah empat. Gaul sehingga rata.

4- Masukkan biskut yang telah digaul rata tadi dalam bekas seperti loyang atau bekas kek. Jika boleh, alaskan dengan kertas minyak untuk memudahkan proses mengeluarkan kek dari loyang nanti. Tekan secara rata untuk memastikan ia membentuk seperti sebiji kek.

5- Kek batik sudah siap. Sejukkan sebentar di dalam peti sejuk. Kemudian bolehlah dipotong dan dihidangkan untuk ahli keluarga.

Maaflah tiada gambar untuk menunjukkan kelazatan kek batik ini. Tetapi mudah sahajakan cara penyediaannya. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia masakan kek, bolehlah mencuba resepi ini sebagai langkah permulaan.

Selamat mencuba!




Monday 29 September 2014

Tips Bekerja Dari Rumah

Teks: Rahimah binti Omar

Ramai yang kata, alangkah seronoknya kalau dapat bekerja dari rumah, setiap bulan gaji masuk, waktu kerja fleksibel, anak dan rumahtangga terurus dan bila sudah bersara, pencen juga dapat. Alhamdulillah. Semasa di pejabat lama, saya berkesempatan dan berpeluang untuk menyertai program bekerja dari rumah atau BDR selama lebih kurang 4 bulan. Hanya ada beberapa jabatan kerajaan sahaja yang menganjurkan BDR ini. Dan saya boleh dikatakan beruntung kerana menyertai program ini bermula dari habis cuti bersalin selama 3 bulan dan seterusnya BDR.

Secara amnya, BDR menggalakkan waktu bekerja yang fleksibel di mana pegawai yang menyertainya boleh memilih untuk bekerja mengikut waktu pejabat yang biasa atau waktu lain asalkan cukup waktu bekerja iaitu 8 jam sehari. Keperluan untuk hadir ke pejabat hanya sekali dalam seminggu.

Bagi saya yang mempunyai anak kecil, ia satu kelebihan kerana saya boleh bekerja pada bila-bila masa yang saya rasa sesuai. Walau bagaimanapun, untuk memudahkan komunikasi dengan rakan-rakan yang bekerja di pejabat, saya akan pastikan sekurang-kurang 5 jam waktu bekerja saya adalah dalam tempoh waktu bekerja pejabat biasa. Lagi 3 jam akan saya gunakan waktu malam atau awal pagi untuk bekerja. Ini tertakluk kepada perancangan saya sendiri. Yang penting kerja-kerja yang diberikan dapat diselesaikan tepat pada waktunya walaupun saya bekerja dari rumah.

Pengalaman saya sendiri, selepas solat subuh lebih kurang pukul 6.00 pagi saya akan menyiapkan pakaian dan beg sekolah anak-anak, menyiapkan sarapan pagi, membasuh kain dan lain-lain lagi. Siap semuanya saya akan kejutkan anak-anak untuk mandi dan bersiap untuk ke tadika. Selepas bersarapan, saya hantar anak-anak ke tadika. Balik rumah, kemas dahulu apa-apa yang patut. Lebih kurang pukul 9.00 atau 9.30 pagi, baru saya akan mulakan kerja saya sehingga pukul 12.30 tengah hari. Berehat sebentar, tolong mak saya masak makanan tengah hari dan kemudiannya makan, solat zuhur dan layan anak sebentar. Kadang-kadang saya gunakan waktu ini untuk keluar membeli barang rumah atau membuat lain-lain urusan. Lebih kurang pukul 2.30 atau 3.00 petang saya sambung semula kerja pejabat sehingga jam 5.30 petang. Berhenti sebentar dan pergi ambil anak dari tadika. Di sini, lebih kurang 5 jam waktu bekerja telah saya gunakan. Selebihnya, saya lebih suka bekerja pada waktu awal pagi iaitu sekitar jam 3.00 pagi sehingga 6.00 pagi.

Nampak menyoronokkan bukan. Walaupun bekerja dari rumah, dan waktu bekerja juga fleksible, namun banyak perkara yang perlu dititik beratkan supaya tiada kerja-kerja yang tertangguh. Maklumlah, keadaan di rumah yang selesa serta di kelilingi oleh anak-anak dan urusan rumah tangga, dikhuatiri akan menyebabkan penyalahgunaan fleksibiliti yang diberikan. Buat kawan-kawan yang mungkin satu hari nanti berpeluang menyertai program sebegini, saya kongsikan di sini beberapa tips yang boleh diamalkan sepanjang BDR.

1. Sediakan jadual dan setkan waktu untuk bekerja. Walaupun waktu bekerja adalah fleksibel, namun adalah lebih baik sekiranya ada satu jadual yang boleh diikuti. Sekurang-kurangnya, kita boleh merancang antara tugasan rasmi dan tugasan harian. Jika tidak, kelam kabut jadinya nanti kerana apabila di rumah, sudah pasti kita akan melebihkan urusan rumahtangga dan anak-anak.

2. Pakai pakaian  separa formal atau kasual. Rasionalnya, apabila kita berpakaian seperti pakaian bekerja, semangat dan suasana untuk bekerja itu secara automatik akan datang. Ahli keluarga yang lain juga akan tahu yang anda sebenarnya sedang bekerja dan bukannya sedang bersantai-santai sambil menghadap komputer. Sekiranya kita berpakaian seperti baju tidur, berkain batik atau berseluar pendek, terasa seolah-olah sedang bersantai-santai sambil membuat kerja di hujung minggu pula. Hasilnya, kerja juga akan lambat selesai kerana 'mood' santai berkenaan.

3. Duduk di tempat yang dikhususkan untuk membuat kerja. Tidak semestinya perlu mewujudkan satu ruang pejabat di rumah. Cukuplah sekadar menyediakan satu meja khas untuk kita membuat kerja. Sekiranya kita membuat kerja di merata tempat, fokus akan mudah hilang lebih-lebih lagi di tempat yang sememangnya bukan untuk membuat kerja. Sebagai contoh, bekerja di ruang tamu sambil menonton tv, di atas tilam dan di dapur.

4. Sekiranya bidang tugas anda melibatkan penggunaan dokumen-dokumen yang bersifat 'confidential', pastikan ada satu tempat simpanan yang berkunci seperti almari. Sebaik-baiknya simpan dokumen berkenaan secara sofy copy sahaja.

5. Perlu jujur dan disiplin yang tinggi. Jangan ambil kesempatan dengan menggunakan waktu bekerja untuk membeli-belah atau bercuti-cuti Malaysia. Perlu cukup waktu bekerja. Pengalaman saya, apabila BDR saya rasa lebih disiplin dalam menjaga waktu kerja kerana ada rasa bersalah jika saya bersenang lenang di rumah tanpa pengawasan secara terus daripada bos sedangkan rakan-rakan lain di pejabat membuat kerja dan terikat dengan waktu pejabat. Terasa saya makan gaji buta sekiranya tidak cukup waktu bekerja. Hakikatnya, jika bekerja di pejabat tidak pula rasa sebegini :)

6. Bermulalah seawal yang boleh. Ini kerana apabila BDR kita bukan sahaja membuat kerja-kerja pejabat tetapi juga urusan rumah tangga yang lain. Untuk lelaki, mungkin tidak terasa sangat keperluan membuat kerja-kerja rumah. Tetapi bagi ibu seperti saya semuanya perlu difikirkan. Persiapan awal pagi untuk menguruskan rumah tangga sangat membantu untuk mengatur tugasan kita pada hari itu. Jangan kerana anda BDR, bangun tidur pun pukul 10.00 pagi. Jika begini, semua tugasan pun akan lambat siap.

Secara asas, inilah tips-tips yang saya amalkan sepanjang saya BDR.  Memang seronok tetapi perlu disiplin dalam apa jua yang kita lakukan. Saya bersyukur kerana BDR ini saya dapat meluangkan lebih masa bersama anak-anak, terutama si kecil comel saya. Peluang untuk menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak pada hari-hari bekerja juga satu keseronokan untuk saya.

Secara peribadi, saya rasakan sudah sampai masanya kerajaan menggalakkan BDR di kalangan ibu-ibu selepas bersalin bertujuan untuk meluangkan masa yang lebih bersama anak kecilnya. Saya yakin, kesannya sangat baik. Produktiviti kerja terjamin dan keluarga juga bahagia. InsyaAllah,  ABDR pun boleh mencapai matlamat yang sama.






Tuesday 23 September 2014

Masakan Emak vs Masakan Ibu Mertuaku

Hari ini mak mertua, Pn Halimah Abd Rahman ada di rumah menolong saya menjaga 2 puteri kesayangan, Kakak Yaya dan Baby Aneesa. Sepatutnya minggu ini Yaya sudah pun memulakan 'persekolahannya' di Taska Cahaya Tiara berdekatan dengan rumah. Tetapi disebabkan ada Opah dan Atuk di rumah, liyat sungguh nak suruh ke taska. Macam-macam alasan diberikan. Opah dan Atuk pula memang suka Yaya tidak dihantar ke taska. Buat peneman dan layan berbual katanya. Tapi mama risau sebenarnya. Iyalah. Sudah lama benar Yaya tidak dihantar ke taska. Nanti minggu depan mama juga yang susah kalau Yaya protes semasa dihantar ke taska nanti. Ya Allah. Semoga dipermudahkan urusan dan semoga Yaya lembut hati serta tidak menangis nanti.

Opah dan Atuk datang pada hari Ahad yang lalu. Seronok anak-anak. Mana tidaknya. Hampir 6 bulan menumpang kasih di rumah Opah semasa mama bekerja dari rumah. Mama pun seronok juga. Sebab dapat makan masakan Opah. Mama perasan Opah bawa jeruk maman dan tempoyak hari tu. Hmm.. meleleh air liur. Hehehe.

Mama suka masakan Opah. Walaupun mama suka makan makanan yang pedas, namun masakan Opah yang tidak pedas juga mendapat tempat di hati mama. Paling mama suka ikan patin masak tempoyak dan sambal tempoyak Opah.  Opah tahu mama suka makan pedas. Jadi, Opah sudah sediakan cili padi sebagai ulam untuk mama.

Masakan Opah simple, tapi ada keenakan tersendiri. Resepi Opah yang paling digemari anak cucu adalah ayam masak susu. Abang Khalis panggil ayam masak cheese. Sedap hingga menjilat jari. Hehehe. InsyaAllah suatu hari nanti mama akan kongsikan resepi ayam masak susu di blog ini.

Sepanjang hampir 6 bulan di rumah Opah, puas jugalah mama makan masakan Opah. Tapi mama tetap rindukan masakan emak di kampung. 2 minggu lepas, emak datang ke rumah untuk membantu mama menjaga 2 puteri kesayangan yang kena chicken pox. Macam-macam barang-barang dapur mama beli untuk mak masak. Masakan mak sememangnya menepati cita rasa mama yang sukakan pedas. Daging masak kari, ayam kicap, sambal tumis, lempeng, jemput-jemput ikan bilis dan lain-lain lagi. Bukannya mama tidak pandai masak semua tu, namun berbeza rasa air tangan mak. Makan berkali-kali pun tidak mengapa. Hehehe. Bertambah berisi la mama nampaknya. Diet terpaksa dilupakan untuk sementara.

InsyaAllah, dalam blog ini nanti mama akan cuba mengabadikan beberapa resepi emak - emak dan emak mertua. Sayang rasanya sekiranya resepi-resepi tersebut tidak diwarisi. Nanti anak-anak mama terutama tuan puteri Yaya dan Aneesa bolehlah buat rujukan di sini. InsyaAllah, akan mama usahakan.

Nantikan pengkongsian resepi-resepi emak saya ye. Wassalam.


Alhamdulillah

Alhamdulillah. Syukur padaNya. Berjaya juga akhirnya saya menulis coretan pertama saya di blog ini sebagai ahli keluarga baru Akademi Bekerja Di Rumah (ABDR). Kerana peluang dan ruang untuk saya menulis sangat sedikit. Namun, bak kata seorang kawan, kesempatan dalam kesempitan, jangan disia-siakan. Dan kerana itulah saya berjaya menulis coretan pertama saya hari ini. Alhamdulillah. Langkah pertama telah dimulakan. InsyaAllah, yang lain akan menyusul tanpa ragu-ragu.

Seorang suri bekerjaya yang mempunyai 4 orang anak, 2 putera dan 2 puteri yang kesemuanya masih kecil dan comel, masa saya penuh dengan aktiviti harian yang tidak berkesudahan. Masa lapang adalah sangat berharga pada saya. Ruang yang ada saya manfaatkan untuk membaca buku-buku atau majalah masakan, , hiasan dalaman, buku-buku ilmiah dan lain-lain lagi.

Mempunyai angan-angan yang tinggi untuk menjadi seorang mama yang pandai memasak, membuat kek berwarna-warni, menghias rumah ala-ala rumah selebriti, mencipta laman idaman, menjadi ibu mithali dan role model kepada anak-anak serta menjadi WAHM suatu hari nanti. InsyaAllah dengan usaha dan tekad, semua akan jadi kenyataan. Suatu perjalanan yang bukannya mudah, tetapi tidak mustahil bukan.

Semoga perkongsian kisah kehidupan dan serba sedikit ilmu yang saya ada dalam blog ini akan menjadi panduan kepada semua pembaca. Semoga ia juga menjadi sumber rujukan yang bermanfaat dan memberi inspirasi serta motivasi kepada yang memerlukan.

Rahimah Omar
23 September 2014