Friday 26 June 2015

Tips Jimat Belanja Menjelang Hari Raya

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, pejam celik, pejam celik... dah pun 9 Ramadhan hari ini. Syukur kerana masih berada dalam bulan yang mulia ini.

Semalam, kakitangan Kerajaan semua dah masuk gaji kan. Amboi! Senyum sampai ke telinga masing-masing. Hari ini office kosong tengah hari gara-gara semua pakat keluar shopping raya. Hujung minggu ni pula mesti penuh pusat membeli belah.

Sebelum keluar bershopping sakan tu, Kak Tam nak tanya. Dah bayar ke segala benda yang wajib bayar? Hutang piutang dan komitmen bulanan? Jangan nanti duit dah habis dibelanja baru terfikir nak bayar hutang. Walaupun bulan Julai nanti gaji masuk awal bulan, jimat cermat perlu diamalkan sebagai persediaan menghadapi tempoh lebih kurang 56 hari untuk gaji yang seterusnya.  

Hari ini Kak Tam nak kongsi tips-tips perbelanjaan berhemah di bulan perayaan ini. Kebetulan hari Isnin yang lalu Kak Tam berkesempatan menonton rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3. Topik yang dibincangkan memang sangat sesuai. Berkisar mengenai apa yang sepatutnya dibeli dan apa yang tak patut dibeli bagi tujuan menyambut sesuatu perayaan. Tapi Kak Tam minta maaf dulu sebab tak ingat nama tetamu jemputan MHI tersebut. Individu ini merupakan seorang pakar kewangan.

Kuih Raya

Kak Tam highlight kan kuih raya ni dulu sebab ini antara cerita paling menarik yang dikongsikan oleh tetamu MHI itu. Kata beliau, kuih raya tidak penting untuk hari raya. Sudah beberapa tahun rumahnya tidak menyediakan atau menghidangkan kuih raya kepada tetamu. Kalau ada pun, ia adalah saki baki kuih yang dibeli untuk dimakan sepanjang bulan Ramadhan kerana teringin. 

Apabila tetamu masuk ke rumah, beliau awal-awal lagi telah maklumkan pada tetamu bahawa rumahnya tidak menyediakan kuih raya. Respon yang diterima setiap kali memberitahu perkara tersebut kepada tetamu - hampir semua mengucapkan syukur Alhamdulillah. Kenapa? Kerana di hari raya masing-masing telah jemu makan kuih raya. Malah, tetamu juga merasa cukup sekadar di hidangkan dengan air biasa sahaja.

Tetapi, jika dah tahu awal-awal ada tetamu nak datang bertandang, tak salah untuk sediakan sedikit makanan untuk menjamu tetamu yang hadir.

Bab kuih raya ini Kak Tam bersetuju dengan pandangan beliau. Lebih-lebih lagi sekarang ini kuih raya sangat mahal. Paling murah RM25 untuk 50 keping, tertakluk kepada jenis-jenis kuih/biskut. Banyaknya sudah berharga RM35 ke atas sebalang. Ada rakan Kak Tam menawarkan installment kuih raya seawal bulan Februari lagi. Kalau dikira-kira RM200 pun tak cukup untuk membeli kuih raya yang pelbagai.

Budaya hari raya kita sudah terbiasa dengan menghidangkan kuih raya untuk menjamu tetamu yang bertandang. Sehinggakan kita rasa janggal kalau tak ada kuih raya di atas meja di hari raya. 

Jadi, bagi yang masih berkira-kira nak tambah bilangan jenis kuih raya tu, cukup-cukup lah tu (pesanan untuk diri sendir ^_^). Kalau dah order dua atau tiga balang, itu pun sudah memadai. Kak Tam percaya, kalau kita cuba menahan diri daripada membeli pelbagai jenis kuih raya ni, sudah pasti sekurang-kurangnya RM100 dapat dijimatkan.

Balang kuih raya

Kuih raya dah ada, mesti la nak beli balang atau tempat simpannya pulak kan. Pesan pakar kewangan , sebelum beli balang atau bekas kuih raya, cuba fikir sebentar. Adakah balang-balang itu akan digunakan lagi secara terus menerus atau adakah ia hanya digunakan ketika hari raya? Jika jawapannya adalah guna untuk hari raya sahaja, disarankan supaya tidak perlu untuk membeli balang atau bekas kuih tersebut. Asasnya, kalau tidak digunakan dalam tempoh 6 bulan, maka tiada keperluan untuk membeli barang tersebut. Jadi, timbang-timbangkan lah ye.

Baju Raya

Sudah menjadi budaya kita juga untuk memastikan kita dan anak-anak mempunyai sekurang-kurangnya sepasang baju raya baru untuk dipakai di pagi hari raya. Ada tu, memang pakai setakat untuk bergambar di hari raya sahaja. Lepas itu, bergantung cantik di dalam almari. Sekiranya ini yang terjadi pada baju-baju anda tahun-tahun sebelumnya, maka tiada keperluan untuk membeli baju raya baru sebenarnya. Baju yang ada boleh diulang pakai semula. Banyak RM boleh dijimatkan dengan tidak membeli baju raya. 

Duit Raya

Hari raya juga memakan belanja yang banyak apabila kita perlu mengeluarkan sejumlah duit yang besar semata-mata untuk memastikan kita adalah pemberi duit raya yang paling banyak sekali. 

Dikongsikan cerita mengenai seorang pakcik yang bijak. Untuk mengelakkan dicemuh kerana memberi duit raya yang bernilai sen sahaja, apa yang pak cik ni buat? Disediakan satu balang, dalamnya diisikan dengan sampul duit raya. Apabila kanak-kanak datang berhari raya, dia akan beritahu bahawa dalam balang itu ada sampul duit raya yang berisi RM0.50 sehinggalah RM50. Jadi, siapa yang bernasib baik, dapatlah nilai yang banyak. Jika tidak dapatlah sedikit. Sedangkan dalam balang itu, semua sampul raya diisi dengan RM0.50 sen sahaja. Mudah kan modus operandinya. Tapi bagi yang berkemampuan nak bagi lebih duit raya, tak ada salahnya. Ini juga merupakan satu sedekah. Cuma jangan jadikan ia sebagai satu adat yang perlu dipatuhi dan akhirnya menjadi beban pada diri sendiri.   

Jadi, bagi yang nak keluar bershopping di hujung minggu ni, timbang-timbangkanlah apa yang patut dibeli dan papa yang tak perlu dibeli. Ingat ye, lepas raya pun nak pakai duit juga tau. Selamat membeli belah :)

  

Wednesday 17 June 2015

SEAWAL USIA BERAPAKAH ANAK-ANAK MULA BERPUASA?

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Tahun ini Abang Khalis sudah mula belajar berpuasa. Pagi tadi Mama kejutkan Abang bangun sahur. Tapi liat sungguh la Abang nak bangun. Sudahnya pukul 6 baru bangun bersahur. Tak apalah. Alang-alang Abang tengah ada semangat nak berpuasa, Mama akan terus bagi sokongan.

Telefon Teacher Ain tengah hari tadi untuk tahu keadaan Abang berpuasa untuk pertama kalinya. Alhamdulillah, tak sangka Abang masih bertahan. Bertahan sebab masih ramai rakan sebaya yang teruskan berpuasa. Kalau semua makan, Mama confirm Abang pun akan makan sekali ^_^

Mula-mula Mama agak teragak-agak nak suruh Abang berpuasa. Sudah boleh berpuasa ke Abang ni? Rasa macam kecik lagi nak suruh berpuasa. Mama dulu pun mula berpuasa pada umur 7 tahun iaitu semasa darjah satu. Atuk tak pernah paksa Mama berpuasa. Bila Mama sudah bersedia, Mama sendiri yang minta untuk berpuasa. Itupun bermula dengan separuh hari. Balik sekolah terus berbuka. Penat berjalan kaki balik dari sekolah. Tak tertahan haus rasanya ^_^. Tapi atuk tak marah pun Mama berbuka. Kata Atuk kalau tak larat berbukalah. Dan pada waktu itu, 2 hari berpuasa separuh hari sudah dikira dapat puasa sehari. Dapat ganjaran tau. Ok la tu. Hihihi.

Mama buat research sikit. Pada usia bilakah anak-anak wajar diajar untuk berpuasa. 6 tahun? 7 tahun? Atau 8 tahun? Google juga panduan atau tips untuk galakkan anak-anak berpuasa secara istiqamah. Banyak juga tips-tips yang Mama dapat. Bukan sahaja bagaimana untuk mengajak anak-anak berpuasa, tetapi juga untuk diri sendiri sebagai persediaan untuk melatih anak-anak berpuasa.

Hasil kajian:

1. Tiada umur spesifik untuk menggalakkan anak-anak kecil mula berpuasa. Seawal 4 tahun juga boleh berpuasa sekiranya menggunakan kaedah pendekatan yang betul.

2. Bagi fahaman yang betul kepada anak-anak terlebih dahulu mengenai apa itu puasa, kenapa perlu berpuasa, kelebihan berpuasa dan fadhilat berpuasa di bulan Ramadhan, ganjaran pahala bagi mereka yang berpuasa dan lain-lain perkara berkaitan. Tak faham semua tak apa, yang penting bagi faham perkara asas sahaja.

3. Apabila anak sudah faham yang asas, barulah boleh diajak berpuasa. Ajak ye, bukan arahkan anak berpuasa.  

4. Kalau respon anak baik, bolehlah teruskan berpuasa. Kalau tak baik, boleh pujuk lagi tapi jangan paksa. Kalau tak nak, tak apalah. Maknanya tak bersedia lagi lah tu. Kalau dipaksa berpuasa juga, anak-anak akan rasa wajib berpuasa kerana ayah atau mak suruh dan bukan disebabkan kewajipan sebagai seorang Muslim.

5. Berikan anak-anak makanan yang berkhasiat dan seimbang ketika bersahur. Ini untuk memastikan anak-anak dapat menahan lapar dan kekal bertenaga.

6. Ajar puasa secara berperingkat. Pantau setiap jam bagi anak-anak yang baru pertama kali berpuasa untuk pastikan keadaan kesihatannya. Jangan sampai memudaratkan pula. Kalau anak tak boleh tahan, walaupun baru sejam dua berpuasa, suruhlah berbuka. Jangan dimarahi pula anak tu. Kalau dapat berpuasa penuh sehari baguslah. Tapi kalau tak boleh, tingkat waktu berpuasa sedikit demi sedikit di setiap hari sehinggalah boleh berpuasa penuh sehari.

7. Dapur adalah kawasan larangan. Kurangkan menonton tv. Ini bagi memastikan anak-anak kurang melihat makanan yang akhirnya boleh menggoyahkan puasa mereka. Ajak mereka buat aktiviti ringan yang menyeronokkan seperti membaca buku, main dam, puzzle, lego dan sebagainya.

8. Elakkan aktiviti luar yang boleh memenatkan. Bila banyak berpeluh, anak-anak secara automatik akan minta minum kerana kehausan. Aktiviti menyeronokkan masih boleh dibuat di dalam rumah.

9. Beri sokongan sentiasa. Beri kata-kata semangat. Layani kerenah mereka. InsyaAllah, bila dah biasa berpuasa hilanglah semua kerenah tu nanti. 

10. Beri insentif atau ganjaran di atas kejayaannya berpuasa terutama yang berjaya berpuasa penuh. Ganjaran boleh diberikan dalam bentuk sajian berbuka puasa mengikut menu pilihan si anak yang telah berjaya berpuasa tadi atau ganjaran kewangan atau apa-apa yang dirasakan sesuai. Ada yang berpandangan ganjaran dalam bentuk kewangan tidak digalakkan kerana tidak patut wujud tawar menawar antara ibu bapa dan anak-anak. Yang ini terpulanglah pada diri masing-masing. Secara peribadi Mama rasa tak ada salahnya memberi ganjaran dalam bentuk wang sebagai galakan dan motivasi kepada anak-anak untuk terus berpuasa.  

10. Ibu bapa perlu banyak bersabar. Orang dewasa pun liat nak disuruh berpuasa. Apatah lagi anak-anak. Ibubapa harus lengkapkan diri dengan ilmu pengetahuan berkaitan supaya kekal bersemangat untuk memberi dorongan kepada anak-anak untuk berpuasa. Ibubapa juga perlu menunjukkan contoh yang baik. Jangan tunjukkan yang anda letih sedangkan anak anda steady je ye =) 

11. Istiqamah. Jangan hangat-hangat tahi ayam je memberi galakan kepada anak-anak untuk berpuasa. Minggu pertama ok, tapi masuk minggu kedua ibu bapa sudah mula malas nak monitor anak-anak berpuasa. Sudahnya, seminggu itu saja lah berpuasa. Jangan lupa, tahap keupayaan anak-anak adalah berbeza antara satu sama lain. Ada yang memerlukan pantauan yang minima. Apabila dah stabil dan rasa biasa berpuasa, maka hari-hari seterusnya akan jadi lebih mudah tanpa perlu pemantau rapi daripada ibu bapa. Tetapi ada juga anak-anak yang hari-hari perlu diberi kata semangat, hari-hari juga perlu dilayan kerenahnya. Dalam keadaan ini, bagi memastikan anak-anak anda berjaya berpuasa, anda sebagai ibu bapa juga perlu berusaha untuk kekal bersemangat.

  
Alhamdulillah. Banyak juga yang Mama belajar. Harap-harap Mama dapat amalkan semua ini untuk pastikan Abang Khalis berjaya berpuasa hingga ke akhir Ramadhan. Kalau Abang Khalis berjaya puasa penuh hari ini pun Mama sangat-sangat gembira nak oii. Apatah lagi puasa sebulan.

Hmmmm... Kena masak special untuk Abang Khalis petang ni nampaknya. Ok, masa untuk Mama google menu untuk berbuka puasa pula =)

*****************************************************************

Sumber:

  1. http://pmr.penerangan.gov.my/index.php/agama/13755-cara-pujuk-anak-berpuasa.html
  2. http://vithebat.blogspot.com/2015/06/10-cara-melatih-anak-berpuasa-dengan.html 
  3. Googles

SALAM RAMADHAN AL-MUBARAK

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Esok semua umat Islam akan menyambut bulan yang mulia, Ramadhan Al-Mubarak. Bersedia atau tidak, esok semua diwajibkan berpuasa kecuali mereka yang uzur syarie. Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana Kak Tam masih lagi dipanjangkan usia untuk bertemu dengan bulan yang penuh barakah ini.

Apa persediaan kita untuk berpuasa? 
Bagi ibu-ibu, mesti dalam kepala penuh tanda soalan nak masak apa untuk bersahur dan berbuka puasa, esok nak makan apa, lusa menu apa pula. Yang bujang-bujang pula sibuk meninjau-ninjau bazaar ramadhan yang ada disekitar kawasan berdekatan. Yang anak-anak kecil pula, bagi mereka bila masuk bulan ramdhan pastinya hari raya sudah dekat. Yang bapa-bapa pula, Kak Tam tak tahu apa yang difikirkan ^_^

Apa pun, 
yang paling penting sebenarnya adakah kita bersedia untuk menambah amalan-amalan harian kita. Untuk merebut pahala yang berlipat kali ganda, yang sememangnya tidak ada sepertinya di bulan-bulan yang lain. 

Adakah kita sudah ada perancangan berapa muka surat Al-Quran yang akan dibaca setiap hari? 

Berapa rakaat tarawikh yang akan dilakukan setiap malam? 

Surau atau masjid manakah kita nak beriktiqaf? 

Berapa banyakkah sedekah yang akan diberikan di sepanjang bulan Ramadhan ini? 

Bagaimana pula dengan 10 malam terakhir?

Sejujurnya Kak Tam juga tidak mempunyai perancangan yang terperinci mengenai aktiviti-aktiviti di sepanjang bulan Ramadhan ini. Dek kerana kesibukan hal-hal dunia, hampir terlupa dengan persediaan menghadapi bulan mulia ini. Tetapi masih belum terlewat. Masih ada beberapa jam sebelum melangkah ke Ramadhan Al-Mubarak. Jom kita sama-sama senaraikan amalan-amalan kebajikan yang kita hendak buat di sepanjang bulan ini. Sekurang-kurangnya, jika tak dapat laksanakan semua, dapat buat sebahagian pun Alhamdulillah.


Kak Tam ucapkan selamat berpuasa kepada semua umat Islam sedunia. Semoga Ramadhan tahun ini tidak disia-siakan dan lebih bermakna buat kita semua. Jangan lupa pertingkatkan amalan sunat dan  banyakkan bersedekah. Semoga kita juga sama-sama lebih sihat di bulan Ramdhan yang mulia ini. Amin =)

Salam Ramadhan Al-Mubarak!!!  

Tuesday 9 June 2015

Naelofar Hijab Pre Ramadhan Sales

Teks: Rahimah Binti Omar

Pre Ramadhan Sales!!!

10% discount 
Bagi semua design Naelofar Hijab.



LADY LOVE

BABES & BASIC PLEATED

FOXY LADY

BABES & BASIC PLAIN


Ready stock pelbagai warna.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai harga,

 design terkini dan warna yang available, sila lawati:


IG: naelofar_my

FB: Naelofarhijab_sweetlullabies

Ataupun whatapps: 

0196930282 (Rahimah) atau 0176717606 (Atikah).

Dapatkan yang original hanya daripada stockist berdaftar:

Sweet Lullabies Ent.



Wednesday 3 June 2015

Naelofar Hijab Babes & Basic (Plain)

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Dapatkan Naelofar Hijab Babes & Basic (Plain) daripada Sweet Lullabies Ent, stockist berdaftar Naelofar Hijab. 









Ready stock pelbagai warna.

Untuk mendapatkan maklumat mengenai harga, design terkini dan warna yang available, sila lawati:

IG: naelofar_my

FB: Naelofarhijab_sweetlullabies

Ataupun whatapps: 

0196930282 (Rahimah) atau 0176717606 (Atikah).

Dapatkan yang original hanya daripada stockist berdaftar:

Sweet Lullabies Ent.

Palm Seremban Hotel

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Minggu lepas Kak Tam diberi assignment oleh boss untuk menghadiri satu bengkel berkaitan dengan tugas rasmi Kak Tam bertempat di Palm Seremban Hotel. Bila tengok surat jemputan, dalam hati berkata tak pernah dengar nama hotel ni. Tak glamaour kot. Kat cerok mana lah letaknya ye. Ok ke tidak. Senang nak cari ke? Semuanya sebab Kak Tam perlu menginap di hotel ini untuk beberapa malam kerana bengkel diadakan sehingga malam.

Biasalah, Kak Tam ni old school sket. Orang guna GPS nak cari jalan, Kak Tam guna google maps ok. Siap print lagi. Hehehe...Tak apa lah. Asalkan boleh sampai dengan selamat dan tepat pada waktunya. Lagipun ke Seremban sahaja. Tak la jauh mana pun. Kalau sesat kita pusing balik dan cari sampai jumpa.  

Alhamdulillah, mudah saja rupanya nak cari Palm  Seremban Hotel ni. Terletak tidak jauh daripada tol Seremban/Labu. Landmark nya adalah Palm Mall. Bangunannya bersambung. Senang nak bershopping ^_^ Hotel ini juga berdekatan dengan Hospital KPJ Seremban.


Sumber: www.palmseremban.my

Hotel ini mempunyai beberapa dewan dan discussion room sesuai untuk bengkel, seminar, mesyuarat atau majlis yang kecil. Untuk majlis besar, perlu contact pihak hotel untuk pertanyaan. 

Biliknya selesa dan luas. Pada pandangan Kak Tam, hotel ini agak baru kerana kemudahan yang disediakan semuanya masih dalam keadaan yang elok dan cantik. Ruang biliknya yang luas sesuai bagi sesiapa yang nak bawa famili. 

Makanan yang disediakan juga agak sedap. Kebetulan masa Kak Tam di sana, banyak even yang dianjurkan dan Dining Hall nya penuh ketika lunch.  


Tarikan di Hotel ini adalah ia bersebelahan dan bersambung dengan shopping kompleks Seremban Mall. Senanglah sesiapa yang bershopping. Tempat makan juga banyak dalam shopping kompleks tu. Jadi, tak perlu la risau untuk keluar jauh cari makan.

Bagi yang menginap di Palm  SerembanHotel, bolehlah ke Nilai 3 untuk mencari kain pasang atau kain langsir. Dah tak jauh dah tu :)

Harga bilik semalam? Yang ini, Kak Tam minta maaf banyak-banyak sebab bengkel yang Kak Tam pergi ini anjuran Jabatan. Jadi Kak Tam menginap for free sebab gomen bayo. Hehehe... Tetapi berdasarkan harga di agoda.com, harga satu malam bagi bilik deluxe adalah kurang RM200 termasuk sarapan (tertakluk kepada peak season). Pada pendapat Kak Tam, dengan harga di bawah RM200, bilik yang luas dan selesa serta makanan yang sedap, berbaloilah juga menginap di sini. 

Kesimpulannya, kepada sesiapa yang mencari hotel untuk menginap di Seremban, bolehlah ke Palm Hotel Seremban ini. InsyaAllah puas hati. 

The Zon All Suites Residences On The Park Hotel

Teks: Rahimah Binti Omar
Gambar: www.agoda.com

Assalamualaikum wbt.

The Zon All Suites Residences On The Park Hotel (The Zon) ini terletak di Jalan Ampang, KL berdekatan dengan KLCC. Jangan pelik kalau Kak Tam kata dah beberapa kali Kak Tam menginap di sini walaupun jarak KL ke Bangi tu hanyalah lebih kurang 30 minit sahaja :). 

Menginap atas ehsan Encik Suami. Sesekali belanja isteri (boleh claim sebenarnya ^_^) dan anak-anak stay semalam dua di hotel untuk berehat-rehat dalam bilik yang cantik berkemas (ok, rumah akak bersepah ^_^). 

The Zon All Suites Residences On The Park Hotel. 
The Zon ini antara hotel di KL yang Kak Tam suka. Kenapa? Ada banyak sebab. Kita cerita satu persatu ye.

Bilik

The Zon menyediakan apartment 1 bilik dan 2 bilik. Dua-dua jenis penginapan ini Kak Tam pernah duduk. Ada juga suites, tapi yang ini Kak Tam tak pernah merasa lagi. 

Walaupun 1 bilik, tetapi apartmentnya luas. Cukup selesa untuk Kak Tam yang ada ramai anak kecil ni. Apatah lagi apartment 2 bilik. Berlari-lari saje la kejenya anak-anak Kak Tam. 

Apartment di The Zon ini lengkap dengan ruang tamu, ruang makan dan ruang dapur yang juga luas. Dapur yang disediakan agak lengkap dengan perkakas asas memasak. Jadi, kalau bawak bekalan untuk keluarga, bolehlah panas-panas kan lauk tu sebelum dihidangkan. 

Setakat ini, Kak Tam sangat berpuas hati dengan bilik tidur yang disediakan. Masih ada ruang untuk Kak Tam bentangkan toto untuk anak-anak kecil bergolek-golek di bawah.

Hiasan dalamannya simple tetapi sedap mata memandang dan kemas. Kak Tam suka perabotnya yang simple dan diperbuat daripada kayu. Sekurang-kurangnya tidaklah Kak Tam risau pecah kalau anak-anak main ketuk-ketuk. Bukan apa, Kak Tam ni seriau sikit bila masuk bilik hotel yang menyediakan perabot mahal dari kaca/tampered glass yang berkilau-kilau. Mana nak bayo kalau pecah. 

Ruang Tamu 1 Room Apartment

Kitchen 1 Room Apartment
 
Ruang Tamu 2 Rooms Apartment

Kitchen 2 Rooms Apartment

Restoran & Makanan

Makanan yang disediakan di The Zon ini juga sedap dan menepati citarasa Kak Tam. Ini setakat pengalaman Kak Tam makan  sarapan yang disediakan. Pelbagai jenis makanan yang disajikan. Daripada western food hinggalah ke makanan tempatan.

Ruang makan juga agak luas dan family friendly. Kak Tam kategorikan sebagai family friendly sebab set meja dan kerusi yang digunakan restoran ini adalah set yang sesuai untuk kegunaan sekeluarga termasuk anak-anak. Walaupun tak nampak glamour, tetapi sedap mata memandang. Kalau anak-anak makan bising dan ketuk-ketuk meja pun takde la risau meja pecah. Hehehe.

Kemudahan lain

Di The Zon ini ada kolam renang yang juga sesuai untuk anak-anak mandi-manda. Sememangnya ini adalah agenda wajib anak-anak sekiranya Kak Tam ke sini. 

Lokasinya yang berdekatan (walking distance) dengan KLCC menjadikan The Zon antara tempat penginapan yang selalu menjadi pilihan pelancong tidak kira orang tempatan atau pelancong dari luar negara. Ia juga dikelilingi bangunan-bangunan perniagaan. Kemudahan pengangkutan awam seperti teksi, bas dan LRT juga mudah didapati di kawasan ini. 

Harga

Bab harga Kak Tam tak boleh nak komen banyak sangat sebab Kak Tam duduk free. Encik Husband yang bayar pada kadar korporat (corporate rate). Biasanya tak sama dengan harga yang ditawarkan oleh pihak hotel bagi lain-lain kategori. 

Tetapi, berdasarkan www.agoda.com, harga 1 room apartment di The Zon ini adalah antara RM190 hingga RM300 (++) manakala 2 rooms apartment antara RM350 hingga RM450, tertakluk kepada sebarang promosi, tawaran atau pakej istimewa yang dibuat oleh pihak hotel dari semasa ke semasa (macam iklan la pulak ^_^).

Personally, Kak Tam rasa harga yang ditawarkan adalah berbaloi dengan perkhidmatan yang diberikan. Untuk Kak Tam dan keluarga, The Zon antara hotel pilihan yang selesa untuk menginap jika ke Kuala Lumpur. Hotel lain memang banyak, tetapi untuk mencari yang selesa, terutama bagi Kak Tam yang mempunyai anak kecik berderet ini, The Zon adalah yang terbaik.

*** Hotel Review yang dibuat ini adalah berdasarkan pengalaman peribadi Kak Tam. Tiada hidden agenda atau komisyen yang diterima daripada pihak hotel. Sekian terima kasih ^_^.***