Wednesday, 12 November 2014

ILKAP National Law Conference 2014.

Teks: Rahimah Bt Omar

Buat julung-julung kalinya pihak Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) telah menganjurkan seminar selama 2 hari di PICC. ILKAP National Law Conference 2014  pada 11 dan 12 November 2014 ini bertemakan Law and Social Order: Current Challenges In Malaysia. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk sama-sama menyertai seminar ini.

Sepanjang 2 hari ini, banyak topik-topik yang menarik yang dibincangkan oleh panel-panel yang dijemput khas dari pelbagai bidang. Yang paling menarik perhatian saya adalah forum di sesi terakhir seminar di mana salah seorang panel jemputan adalah YBhg Dato' Hajjah Freida Dato' Haji Mohd Pilus iaitu Pengasas Cempaka School Group. Seorang yang berperwatakan menarik dan sangat bersemangat ketika membicarakan mengenai kepentingan pendidikan awal dalam membentuk keharmonian sosial. Sangat opitimis dan cantik. Cemburu pula saya melihat semangat dan kecantikannya walaupun telah berusia.  

Antara yang dikongsikan oleh beliau adalah program-program yang dianjurkan dan dilaksanakan di sekolah beliau yang bersifat 'down to earth'. Contohnya seperti pelajar-pelajar dibawa ke hospital untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit-pesakit. Walaupun hanya setakat mengedarkan tuala kepada pesakit, namun objektif utama adalah untuk memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri suasana hospital dan membuat kebajikan kepada pesakit-pesakit di situ. Terdapat juga program community service yang dibuat di kampung-kampung. Pelajar-pelajar pelbagai kaum dan bangsa ini terlibat secara langsung dengan aktiviti-aktiviti bersama penduduk kampung seperti gotong-royong, kenduri-kendara dan lain-lain.

Walaupun pelajar-pelajar beliau terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun apa yang cuba beliau terapkan kepada anak-anak ini di peringkat awal persekolah adalah nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama, bertanggungjawab dan saling bekerjasama. Jika nilai-nilai murni ini dapat diterapkan kepada anak-anak seawal mungkin, barulah wujud keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Penguatkuasaan melalui undang-undang sahaja tidak mencukupi sekiranya anak-anak ini tidak diberi pendedahan dan pemahaman mengenai kepentingan mewujudkan satu masyarakat yang harmoni.  

Saya rasa sangat benar apa yang dikatakan oleh beliau. Kita sendiri sebagai ibu bapa boleh menerapkan nilai-nilai murni ini bermula dari rumah. Tidak perlu menunggu sehingga sekolah menganjurkan program-program sebegini. Mulakan dengan yang asas seperti kenali jiran tetangga, menziarahi ahli keluarga atau bergotong royong membersihkan kawasan rumah atau sekitar taman perumahan. Pada masa yang sama kita juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak untuk diteladani. Amalan ini juga adalah selaras dengan amalan Rasulullah SAW yang sentiasa mengingatkan umatnya untuk saling menghormati dan berbaik sangka antara satu sama lain. 

Kesimpulannya, kita perlukan satu masyarakat yang harmoni, yang boleh hidup bersama di atas satu bumi dan menongkat langit yang sama bagi mendapatkan satu kehidupan yang berkualiti dan selamat. Pokok pangkalnya, semua bermula dari diri sendiri juga. Jom kita amalkan!

        


Bijak Mengurus Wang (BMW) – Bahagian II


Teks: Rahimah Binti Omar

Langkah 2: Ketahui Kesilapan Biasa Dalam Menguruskan Wang

Sebenarnya, tanpa disedari kita melakukan beberapa kesilapan biasa, kesilapan yang memang kebanyakan orang lakukan tetapi tidak diketahui bahawa itu adalah kesilapan yang perlu dielakkan. Contohnya seperti gagal merancang kewangan atau dalam bahasa mudah, tidak membuat perancangan untuk berbelanja. Apabila tiada perancangan, kita akan berbelanja mengikut nafsu atau di luar kemampuan sehinggakan akhirnya terpaksa menggunakan kad kredit, Hasilnye duit gaji bulanan yang diterima habis hanya untuk membayar hutang yang tidak mendatangkan apa-apa manfaat pada masa akan datang. Mesti ada yang tertanya-tanya. Ada hutang yang mendatangkan manfaat ke? Jawapnya ada. Sila baca entri BMW Bahagian I untuk mengetahui mengenai hutang baik dan hutang tidak baik.

Pada masa ini, ramai yang mempunyai kad kredit tetapi telah disalahgunakan. Ramai juga telah menggunakan kad kredit untuk berbelanja secara berlebihan. Saya juga pernah berbelanja menggunakan kad kredit kerana ingin membeli sesuatu barang yang tiada dalam perancangan. Kadang-kadang susah untuk mengawal diri apabila sudah memegang kad kredit ni. Lagi-lagi jika ada sales di mana-mana shopping complex =)

Jika anda selalu berbelanja menggunakan kad kredit, anda perlu ingat dan amalkan satu perkara iaitu BAYAR BERAPA YANG ANDA BELANJA. Biasakan diri untuk membayar apa yang anda guna secara konsisten dan tepat pada masanya untuk mengelakkan caj-caj tambahan yang akhirnya akan menambahkan lagi hutang anda.  

Dalam sibuk berbelanja, ramai juga yang lupa untuk menabung dan hanya bergantung kepada pendapatan bulanan semata-mata. Gaji masuk, berbelanja, duit habis dan tunggu gaji akan datang pula. Akibatnya, tiada simpanan untuk kecemasan. Simpanan untuk kecemasan adalah sangat penting terutama untuk digunakan di waktu kecemasan seperti kos rawatan hospital dan lain-lain. Secara asasnya, seseorang perlu ada simpanan untuk kecemasan sekurang-kurangnya 3 bulan perbelanjaan. Banyak? Memang banyak kerana kecemasan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk sehingga ke satu tahap yang serius yang memerlukan perbelanjaan yang sangat besar.

Menabung tidak semestinya dalam suatu jumlah yang besar. Yang penting konsisten dan disiplin. Jangan gunakan wang yang ditabung kecuali jika benar-benar terdesak terutama simpanan untuk kecemasan. Jika berkemampuan, buat dua simpanan yang berasingan. Satu untuk kecemasan, satu untuk tabungan semasa. Boleh juga buat perancangan atau matlamat untuk sesuatu tabungan. Sekiranya tabungan telah dikhususkan untuk tujuan tertentu, bolehlah digunakan apabila jumlah yang disasar tercapai. Nanti saya akan kongsikan bagaimana untuk membuat matlamat kewangan pula entri akan datang ye.

Cukuplah untuk hari ini. Kita bersambung di entri akan datang pula.


Wassalam =)

Monday, 10 November 2014

Hari Persembahan Taska Cahaya Tiara

Teks: Rahimah Omar

Hari Sabtu, 8hb OKTOBER 2014 merupakan Hari Persembahan Taska Cahaya Tiara di Bangi Golf Resort. Dan hari ini juga merupakan hari yang penting untuk Yaya. Yaya telah ditugaskan untuk membuat persembahan Fashion Show. Kena pakai baju gaun dan bunga di kepala. Excited mama dan papa nak tengok persembahan Yaya. Maklumlah, bukan senang nak tengok Yaya pakai gaun ni. Pada masa yang sama, mama agak risau juga. Risau kalau-kalau Yaya menangis.

Seawal pagi lagi kami sekeluarga telah bersiap-siap. Yaya agak liat untuk bangun. Sepatutnya Yaya bersiap memakai gaun dari rumah. Tetapi seperti biasa seluar jeans dan t-shirt jadi pilihan. Gaun dan eksesori mama bawa untuk teacher pakaikan. Kalau mama yang pakaikan, mesti Yaya tak mau.

Hari ini bukan sahaja Yaya yang buat persembahan. Sepupu-sepupu yang lain pun turut membuat persembahan. Naufal juga terlibat untuk fashion show. Naufal pakai jubah. Iman Mikhail pula membuat persembahan Snow White sebagai orang kerdil. Umar dan Umayrah pula bernasyid lagu Doa Dhuha. Meriah rasanya. Memandangkan ramai sepupu-sepupu yang bersekolah sama dengan Yaya, jadi terasa macam majlis keluarga la pula. Termasuk Yaya dan baby Aneesa, 7 orang semuanya.



Seperti yang dijangka, Yaya menangis ketika di atas pentas. Alahai puteri mama ni. Sudah cantik-cantik, menangis pula.



Sayangnya, mama tak dapat nak ambil gambar full Yaya berbaju gaun. Hanya beberapa keping gambar sahaja yang dapat diambil sebagai kenangan.






Apapun mama dan papa seronok melihat persembahan Yaya.  Semoga Yaya terus sihat dan ceria, membesar jadi anak yang solehah dan cerdik.

Tak sabar nak tengok persembahan baby Aneesa pula tahun depan. InsyaAllah.

Wednesday, 5 November 2014

Bijak Mengurus Wang - Bahagian I

Teks: Rahimah Binti Omar

Ramai orang mempunyai wang yang banyak tetapi tidak pandai menguruskannya. Sehinggalah tanpa disedari wang yang ada akhirnya tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan habis begitu sahaja. Wang yang ada digunakan pada tempat yang salah dan tidak mendatangkan hasil. Rugikan.

Saya tidak mempunyai wang yang banyak. Tetapi saya belajar bagaimana untuk menguruskan wang saya yang tidak seberapa itu dengan sebaik mungkin. Dan sebenarnya saya masih lagi belajar dan belajar.

Hari ini saya ingin berkongsi ilmu yang saya pelajari ketika menghadiri seminar Bijak Mengurus Wang (BMW), sebuah program celik kewangan anjuran Securities Industry Development Corporation (SIDC). Program ini saya hadiri kira-kira 2 tahun yang lalu. Tetapi saya masih simpan nota-nota yang saya ambil ketika itu. Rugi jika tidak dikongsikan dengan rakan-rakan yang lain.

Secara amnya, terdapat 5 langkah asas yang mudah untuk menguruskan wang iaitu –

1. Membandingkan jumlah harta dan jumlah hutang.
2. Mengetahui kesilapan yang biasanya dibuat dalam menguruskan wang.
3. Membuat matlamat kewangan.
4. Memastikan matlamat kewangan anda – S.M.A.R.T.
5. Membuat bajet.

Langkah 1: Membandingkan jumlah harta dan jumlah hutang

Jumlah harta dan jumlah hutang perlu dibandingkan untuk mendapatkan nilai aset bersih yang kita ada. Ini bertujuan untuk memastikan bahawa kita tidak menanggung hutang semata-mata. Bagaimana untuk mengira nilai bersih aset yang kita ada?

Aset

Senaraikan aset yang kita ada seperti berikut:

  • Aset Tunai (RM) seperti simpanan dalam akaun (simpanan, semasa dan tetap), insuran dan lain-lain.
  • Aset Pelaburan seperti saham, unit amanah, bon dan lain-lain bentuk pelaburan.
  • Aset Jangka Panjang (RM) seperti akaun KWSP, hartanah/rumah, kereta, barang kemas, barang antic dan lain-lain.


Nilai bersih aset hendaklah dikira berdasarkan nilai semasa aset berkenaan

Liabiliti/ Hutang

Kemudian, senaraikan pula liabiliti atau hutang yang kita ada seperti berikut:

  • Liabiliti jangka pendek (RM) seperti kad kredit dan pinjaman jangka pendek (jika ada).
  • Liabiliti jangka panjang (RM) seperti pinjaman perumahan/hartanah, baki sewa beli (kereta), pinjaman peribadi, pinjaman pelajaran dan lain-lain.


Sebarang pinjaman hendaklah dikira berdasarkan baki yang belum dilangsaikan.

Untuk mendapatkan nilai bersih aset, JUMLAH ASET hendaklah ditolak dengan JUMLAH LIABILITI. Sekiranya nilai bersih yang diperolehi adalah positif iaitu jumlah aset melebihi jumlah liabiliti, maka kedudukan kewangan anda adalah stabil. Sekiranya nilai bersih adalah negatif atau jumlah liabiliti melebihi jumlah aset yang ada, maka kedudukan kewangan anda adalah tidak stabil. Sekiranya jumlah aset dan liabiliti sama banyak, kedudukan kewangan anda stabil tetapi masih perlu berhati-hati dalam pengurusan kewangan.

Sudah kira berapa nilai aset yang anda ada? Hutang atau aset yang lebih banyak? Walaupun hutang lebih banyak, jangan risau kerana hutang juga ada hutang baik dan hutang tidak baik. Hutang baik adalah hutang yang boleh mendatangkan pulangan contohnya hutang pinjaman membeli rumah atau hartanah kerana rumah atau hartanah ini merupakan aset untuk jangka masa panjang dan nilainya juga akan meningkat. Manakala hutang tidak baik pula adalah hutang yang tidak mendatangkan apa-apa pulangan dan tidak meningkatkan nilai aset contohnya seperti hutang kereta.

OK. Selepas ni bolehlah mula membuat kira-kira untuk menilai berapa banyak aset dan liabiliti yang kita ada. Saya akan sambung langkah seterusnya di entri akan datang.


TQ =)

Tuesday, 4 November 2014

Urusniaga Tanah

Teks: Rahimah Omar

Lebih kurang 3 bulan yang lepas, emak mertua ada merujuk kepada saya mengenai masalah pewarisan tanah daripada arwah ayah dan ibunya. Disebabkan terlupa, satu bahagian tanah yang sepatutnya menjadi miliknya telah dibahagikan dan diwarisi oleh adik-beradik yang lain. Perintah pembahagian harta pusaka juga telah dikeluarkan. Menurut emak, bahagian tanah tersebut telah dibeli daripada salah seorang ahli keluarga. Atas sebab-sebab tertentu, tanah tersebut didaftarkan di atas nama arwah ayahnya. Walau bagaimanapun, perkara ini diketahui oleh adik-beradik yang lain dan tiada sesiapa yang membantah akan hak emak terhadap bahagian tanah tersebut. 
Perkara ini hanya disedari setelah geran tanah yang baru dikeluarkan. Emak pernah bertanya kepada Pejabat Tanah yang berkaitan, tetapi dimaklumkan ia hanya boleh dibetulkan dengan cara pembatalan Perintah Pembahagian Harta Pusaka berkenaan melalui satu perintah mahkamah.

Pembatalan Perintah Pembahagian Harta Pusaka melalui satu perintah mahkamah sememangnya boleh dibuat. Tetapi perlu difikirkan kos untuk melantik peguam dan sebagainya. Pada pandangan saya, selain pembatalan perintah berkenaan, ia juga boleh dibetulkan melalui pindahmilik biasa iaitu daripada adik-beradik kepada emak atas dasar kasih sayang memandangkan semua adik-beradik emak tahu mengenai perkara ini. Walau bagaimanapun, ia bukanlah semudah seperti pindahmilik tanah biasa kerana ia melibatkan bahagian tanah yang tidak dipecah bahagi. Tambahan, tidak dapat dipastikan ahli keluarga atau waris bahagian tanah yang lain masih hidup atau telah meninggal dunia. Complicated? Memang agak complicated.

Apabila bercerita bab urusniaga tanah, saya bukanlah seorang pakar. Tetapi pengalaman saya yang sedikit semasa berkhidmat di Pejabat Tanah serta di pejabat lama khusus dalam bidang tanah menjadikan saya sedikit ‘celik tanah’. Kalau tidak pandai pun, saya tahu di mana boleh saya rujuk untuk mendapatkan jawapan.

Berbalik kepada masalah emak, tanah yang dipegang adalah tanah pertanian yang tidak dipecah bahagi. Maknanya, sekeping tanah mempunyai ramai pemilik berdaftar. Walau bagaimanapun, bahagian tanah telah ditentukan. Sebagai contoh, sekeping tanah mempunyai 10 orang pemilik di mana setiap seorang memegang 1/10 bahagian.

Dalam hal ini, menurut seksyen 214 Kanun Tanah Negara, hanya keseluruhan bahagian tanah sahaja yang boleh dipindahmilik. Dari segi konsepnya, bahagian milik A iaitu 1/10 tadi boleh dipindahmilik kepada Encik Z. Tetapi dari segi undang-undang ia tidak boleh dipindahmilik secara terus daripada A kepada Encik Z kerana hanya keseluruhan tanah sahaja yang boleh dipindahmilik. Bagaimana nak bagi ia boleh dipindahmilik kepada Encik Z? Dalam hal ini, kesemua 10 orang pemilik tanah berkenaan dikehendaki mengisi satu Borang 14A (borang pindahmilik tanah) dan memindahmilik 1/10 bahagian milik A kepada Encik Z. Maknanya di ruang pemindahmilik perlu dituliskan kesemua 10 nama pemilik berdaftar tanah berkenaan, manakala di ruang penerima pindah milik perlu ditulis 9 nama pemilik berdaftar asal beserta dengan nama pemilik baru iaitu Encik Z. A tiada lagi dalam senarai penerima pindahmilik. Nampak tak? Secara tidak langsung pindahmilik berkenaan menepati kehendak undang-undang kerana keseluruhan tanah dipindahmilik dan bukannya sebahagian tanah sahaja.

Saya tahu. Mesti pening. Kerana undang-undang tanah bukanlah semudah yang disangka. Kalau tidak ada keperluan untuk mengetahui mengenai urusniaga tanah, tidak perlulah memahami apa yang saya tulis. Cukuplah sekadar membaca. Manalah tahu, suatu hari nanti anda memerlukan maklumat ini untuk membantu anda menyelesaikan masalah keluarga. Sekurang-kurangnya adalah sedikit maklumat asas.

Setakat ini dahulu perkongsian saya hari ini. Cerita banyak-banyak pasal undang-undang tanah ni buat pembaca pening nanti. Heheh.


Wassalam J

Hari ini aku menangis - Part 2

Teks: Rahimah binti Omar

Hari ini saya terkedu lagi. Kali ini terkedu setelah melihat bil air pula. Pembaziran apa pula lah kali ini. Agaknya selepas ini banyaklah lagi entri saya dalam blog ini yang berkisar tentang tangisan tanpa air mata kerana melihat bil-bil utiliti rumah yang naik mendadak :(

Tetapi kenaikan bil air bulan ini memang sudah dijangka. Ini kerana kesilapan saya sendiri. Tidak boleh salahkan sesiapa lagi. Iyelah. Hanya saya dan anak-anak sahaja yang ada di rumah. Kalaupun silap anak-anak, saya juga yang perlu bertanggungjawab.

Awal bulan lalu saya menerima notis gangguan bekalan air selama sehari iaitu dari pukul 9.00 pagi sehingga 9.00. Saya ingat hari itu hari Khamis. Bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan sehari telahpun saya sediakan. Tetapi sehingga tengah malam air masih lagi tiada. Bekalan yang disimpan sudah hampir habis. Menurut maklumat daripada group wassap jiran tetangga, air akan dibuka secara berperingkat. Inilah yang dimaklumkan pihak Syabas. Namun, sehingga keesokan pagi pun air masih tiada. Bagi saya yang mempunyai anak-anak kecil, agak sukar bila air tiada. Macam-macam urusan terpaksa ditangguhkan. Walaupun baru masuk hari kedua, baju kotor sudah setimbun.

Urusan harian yang menggunakan air terpaksa dilakukan di tingkat atas kerana air tangki di tingkat atas masih lagi belum digunakan.  Terpaksalah saya turun naik tangga menguruskan anak-anak mandi, buang air dan sebagainya. Hendak mengangkat air dari tingkat atas turun ke bawah tidak larat pula rasanya. Inilah akibatnya bila tiada saliran air tangki untuk kegunaan paip di tingkat bawah. Susahnya.

Air masih lagi tiada sehinggalah malam Jumaat. Sudahnya kami sekeluarga bersiap-siap untuk balik ke kampung suami di Tanjung Malim. Semua baju kotor kami bungkus untuk dibasuh di sana. Dan di sinilah silap saya. Saya lupa untuk memastikan semua paip telah ditutup. Iya. Saya telah cek satu persatu. Tetapi hanya paip di tingkat bawah sahaja. Sedangkan paip di tingkat atas tempat saya dan anak-anak mandi-manda saya tidak cek.

Saya dimaklumkan oleh jiran air telah keluar pada pagi Sabtu tetapi kecil dan sekejap ada, sekejap tiada. Hinggalah pada hari kami balik semula ke rumah pada hari Isnin, bekalan air telah kembali normal seperti biasa.

Memandangkan suami bertugas di Terengganu dan hanya saya seorang orang dewasa dalam rumah untuk menguruskan anak-anak, maka saya jarang naik ke tingkat atas. Hanya jika ada keperluan sahaja baru saya akan naik. Tetapi memandangkan kebanyakan keperluan harian telahpun saya tempatkan di tingkat bawah, maka hanya sekali seminggu sahajalah saya naik dan itupun pada hari minggu.

Dan seminggu jugalah air di sinki tingkat atas mengalir tanpa disedari oleh sesiapa. Seminggu! Bukan sehari dua. Terkejut saya bila suami naik ke atas pada hujung minggu dan maklumkan paip di sinki tidak ditutup. Air mengalir deras. Nasib la tidak banjir bilik-bilik di tingkat atas.

Masa itu saya memang sudah agak, bil air bulan ini pasti naik mendadak. Dan hasilnya, nah! Bil air bulan ini berjumlah RM106.32 sen! Sepanjang saya duduk di rumah ini tidak pernah lagi bil air sebanyak ini. Sebenarnya kami jarang bayar bil air kerana penggunaan air di rumah saya masih dalam lingkungan subsisidi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Dan kali ini bila kena bayar dalam jumlah yang berlipat kali ganda, memang terkejut juga lah dibuatnya. Terkejut yang sudah dijangka. Hehehe

Allahuakbar. Apa lagi lah yang saya boleh buat. Nasi sudah menjadi bubur. Cuma saya perlu lebih beringat di lain kali. Jangan sampai berulang lagi. Pembaziran yang memang sia-sia. Jadi, untuk bulan November ini saya perlu lebih berjimat cermat dalam banyak perkara. Jimatkan elektrik, jimat air, jangan membazir makanan dan lain-lain lagi. Ingat Rahimah, jangan ulangi lagi kesilapan itu ye (peringatan untuk diri sendiri). :)

Friday, 24 October 2014

Cucu Opah Sayang

Teks: Rahimah binti Omar

Cuti Hari Deepavali yang lalu kami merancang untuk pergi membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur. Lama rasanya tidak ke sana. Jadi kami bersiap-siap untuk ke sana. Temujanji dengan adik yang tinggal di sana pun telah dibuat. Sambil-sambil dapatlah tolong kami melihat anak-anak. Seperti biasa keperluan anak-anak dibawa lebih. Manalah tahu hendak tumpang berehat-rehat di mana-mana.

Namun nasib tidak menyebelahi kami. Adik terpaksa membatalkan janji di saat akhir atas sebab tertentu. Rasa frust juga. Tetapi tidak mengapalah. Anggap sahaja tiada rezeki. Jadi, kami teruskan plan B yang dibuat secara tiba-tiba, iaitu teruskan perjalanan ke rumah mak mertua di Tanjung Malim.

Seronok mak dan abah dapat jumpa cucu-cucu terutama si kecil Aneesa. Hampir 2 minggu juga tidak berjumpa. Mak dan abah sangat teruja melihat Aneesa yang sudah boleh berdiri dan berjalan selangkah dua. Bergilir-gilir mak dan abah melayan si kecil. Nampak sangat rindunya pada cucunya nan satu ini. Bukan tidak rindu yang lain, tapi yang kecil inilah yang diulit dikelek ke sana ke mari semasa kami sekeluarga menumpang kasih di rumah mereka untuk beberapa bulan yang lalu. Terpancar cahaya gembira di wajah mereka terutama emak.

Memang betul telahan saya. Emak rindukan anak-anak. Semasa duduk bersembang dengan emak di depan tv sambil melayan si kecil bertatih jalan, emak bercerita bahawa telah beberapa kali dia menyebut rindukan budak-budak kecil ini. Abah kata bersabarlah kerana akan berjumpa juga pada hujung minggu di rumah adik ipar di Temerloh nanti. Rupanya rezeki emak dan abah untuk jumpa anak-anak. Memang telah ditetapkan olehNya, saya tidak dapat pergi membeli belah kerana hendak memberi peluang kepada emak berjumpa anak-anak dan melepaskan rindunya. Allahuakbar. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Walaupun kami balik hanya sehari, namun cukup untuk membuat mak dan abah gembira. Alhamdulillah. Insyaallah, kami sekeluarga akan ke Temerloh pada hujung minggu ini. Dapatlah mak dan abah melayan cucu-cucunya lagi. Saya cuma berharap anak-anak sihat sahaja. Jika tidak nak ke mana-mana pub susah. Semoga perjalanan dan hujung minggu kami sekeluarga berjalan lancar hendaknya. Amin.