Saturday, 22 November 2014

Teacher-Parent's Meeting Lil' Caliph Putrajaya

Teks: Rahimah Binti Omar

Semalam buat pertama kali saya dan suami menghadiri Teacher-Parent's Meeting untuk mengetahui perkembangan dan kemajuan Khalis dan Iman sepanjang belajar di Little Caliph, Presint11, Putrajaya. Mula-mula tu rasa macam malas nak pergi, tetapi bila difikirkan balik tidak wajar pula rasanya jika tak pergi. 

Walaupun hanya tadika sahaja, namun sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, kami sedar di peringkat awal pendidikan inilah yang akan menentukan kehidupan masa depan anak-anak. Bagaimana ia dimulakan, begitu jugalah ia akan berakhir. Jadi, kami perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan para guru di sekolah. Mereka pun hanya dibayar untuk mengajar pada waktu-waktu tertentu sahaja. Selebihnya ibubapa lah yang memainkan peranan. 

Secara keseluruhan, saya amat berbangga dengan anak-anak saya terutama Khalis. Dalam tempoh yang singkat, Khalis dapat mengejar rakan-rakan lain dalam subjek bacaan dan Bahasa Inggeris. Subjek yang lain seperti Jawi, Hafazan, Pendidikan Agama dan Matematik walaupun markah tidak setinggi 2 subjek berkenaan, namun masih boleh dibanggakan kerana Khalis masuk ke tadika tersebut bermula pada bulan September iaitu lebih kurang 3 bulan yang lalu. Asalnya Khalis bersekolah di Tadika Little Caliph di Tanjung Malim. Itupun bermula lambat iaitu pada bulan April. Sepanjang saya cuti bersalin, anak-anak pun turut sama bercuti. Apabila saya dipindahkan tempat kerja dan kembali menginap di Bangi semula, barulah Khalis dan Iman menyambung pelajaran di Tadika Little Caliph di Putrajaya. 

Iman juga secara keseluruhan pencapaiannya memuaskan. Iman baru 4 tahun, Jadi, peringkat ini lebih memberi pendedahan kepada perkara-perkara asas sahaja. Oleh sebab itu, Iman tiada ujian atau markah khusus untuk subjek-subjek yang diikuti. Konsepnya lebih kepada playschool.

Alhamdulilah, saya dan suami gembira dan bersyukur dengan pencapaian anak-anak. Ini baru permulaan. Sebenarnya kami tidak kisah berapa markah yang anak dapat asalkan mereka gembira belajar. Mereka akan menghadapi banyak lagi peringkat kehidupan, jadi tidak perlulah memberi tekanan kepada perkara-perkara kecil seperti ini. Yang penting, selalu bagi kata-kata semangat kepada anak-anak dan dorong mereka. Supaya mereka tahu yang kita selalu bersama mereka dalam apa jua keadaan, sentiasa menyokong dan mendoakan mereka serta sayangkan mereka. Inilah yang perlu kita pamerkan pada anak-anak.

Untuk anak-anak mama, Khalis dan Iman, mama dan papa doakan semoga anak-anak mama ini sihat dan ceria selalu, jadi anak yang soleh dan bijak. Semoga masa depan anak-anak mama akan lebih cemerlang dan gemilang. Semoga jadi anak-anak yang sentiasa mendoakan mama dan papa di kemudian hari nanti. Amin.


Friday, 21 November 2014

Kain Cotton Belleboo sudah sampai

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah. Kain cotton jenama Belleboo yang ditempah dari rakan yang tinggal di Bangkok telah selamat sampai. 2 minggu juga baru sampai. Terima kasih sahabatku, Puan Nadiah Misman kerana sudi membelikan stok kain cotton Belleboo untuk saya.

Sebenarnya, ini adalah kali kedua saya menempah kain cotton Belleboo ini. Tempahan kali pertama, saya hanya membeli sebanyak 40 pasang sahaja sebagai permulaan. Nak test market kononnya. Walaupun saya tahu kain cotton ini banyak peminatnya, tapi risau juga kerana modal saya sendiri yang keluarkan. Sahabat saya ini tidak membuat dropship atau consignment. Jadi saya terpaksa mendahulukan duit saya dahulu sebagai modal.

Saya memang minat berniaga. Cuma masa untuk berniaga secara serius itu tiada dek kesibukan menguruskan anak-anak kerana suami bertugas jauh. Keutamaan saya adalah pada anak-anak dan urusan rumah tangga. Jadi, peluang mendapatkan bekalan kain cotton yang berkualiti tinggi daripada rakan yang mengikut suami bertugas di Bangkok saya gunakan sebaik mungkin untuk memulakan perniagaan secara kecil-kecilan. Ini juga merupakan kali pertama saya menggunakan bajet sendiri sebagai modal.

Alhamdulillah, jualan kali pertama mendapat sambutan. Ternyata ramai yang berpuas hati dengan kualiti dan corak terkini kain cotton tersebut. Untung juga dapat. Syukur. Percubaan kali pertama berjaya. Kali ini saya membeli stok lebih sedikit. Keuntungan yang saya dapat semasa menjual kali pertama saya simpan. Ditambah pula dengan hasil jualan dropship cadar cotton milik Puan Nurul Fauzana Kapi (www.nurulfauzana.com) sepanjang tempoh berpantang. Cukuplah untuk dijadikan modal untuk belian kali kedua ini.

InsyaAllah, minggu depan jualan akan dijalankan. Dengan rakan-rakan sepejabat telah saya war-war awal-awal lagi. Mereka ini sememangnya peminat kain cotton pun. Syukurlah. Tidak perlu bersusah payah mencari pelanggan baru.

Saya berharap jualan kali ini akan berjaya sama seperti kali pertama dahulu. Terdetik juga ingin menjual secara online. Tetapi bila difikirkan saya perlu menguruskan penghantaran dan sebagainya, saya tangguhkan dahulu niat saya itu kerana kekangan masa. InsyaAllah, bila saya sudah bersedia, saya akan cuba berbiaga di atas talian pula. Masih banyak ilmu yang perlu saya timba dari guru online saya di ABDR.


Ok. Tidak sabar menunggu minggu hadapan. Semoga semuanya berjalan lancar dan dimurahkan rezeki saya dan anak-anak. Semoga usaha saya untuk menjadi WAHM juga akan tercapai secepat mungkin. Amin Ya Rabbal Alamin :) 

Wednesday, 19 November 2014

Grand Lexis, Port Dickson

Teks: Rahimah Binti Omar

Setelah sekian lama merancang untuk bercuti dan jalan-jalan makan angin, akhirnya menjadi juga. Itu pun menumpang program office suami sebenarnya. Kalau tak, tak tahulah bila plan percutian keluarga kami ni akan tercapai.

Pada 16hb November 2014, kami sekeluarga serta emak dan abah mertua pergi ke Port Dickson. Kami sekeluarga menetap di hotel Grand Lexis, Port Dickson selama 3 hari 2 malam. 'Grand' ke hotelnya? Secara umum saya boleh kategorikan sebagai grand jugalah hotel ni. Terutama dari segi harga bilik penginapan. Tersangat lah "grand". Secara khusus, ada service yang grand, ada service yang tak berapa nak grand.

Hari pertama kami sampai lebih kurang pukul 2.00 petang. Tetapi kami terpaksa menunggu sehingga pukul 4.30 petang baru dapat masuk ke bilik. Ini kerana ramai pengunjung yang baru nak check out dari hotel. Ruang lobi agak sesak memandangkan ramai yang datang secara berkumpulan untuk mengadakan program di situ. Asalnya kami dijanjikan untuk mendapat bilik sebelum pukul 4.00 petang namun sehingga jam 4.00 petang kami masih tidak menerima sebarang panggilan telefon dari pihak hotel. Setelah beberapa kali bertanya barulah kami dapat bilik. Bising juga mak mertua. Ingatkan bila sampai awal, dapatlah kami berehat-rehat di bilik dulu sebelum berjalan-jalan di tepi pantai pada sebelah petangnya. Sudahnya,  kami berehat di dalam bilik sahaja sehingga keesokan hari.

Kami menginap di bilik Executive Pool Villa. Bilik di atas air. Bilik ini sesuai untuk kami sekeluarga dan mak abah mertua kerana ada 2 katil queen size yang disediakan. Yang menarik, bilik ini terletak di atas air laut, ada private swimming pool di dalam bilik, ruang dapur dengan peralatan dapur yang asas seperti cerek air elektrik dan microwave dan ruang bilik air yang selesa. Ruang bilik sebenarnya tidaklah berapa luas sangat tetapi just nice untuk anak-anak kami bermain-main. Ada kotak kaca di tengah-tengah bilik yang boleh nampak air laut di bawah bilik. 
  

Executive Pool Villa



Gambar atas ni saya copy paste dari laman web Grand Lexis, PD sebab by the time saya nak ambil gambar bilik dah pun bersepah-sepah dengan barang-barang dan anak-anak :)

Satu perkara yang menarik di bilik hotel ini adalah tandasnya. Apa yang menariknya? Toilet bowl di dalam tandas di seal dengan kertas untuk menandakan yang anda adalah tetamu yang pertama menggunakan tandas tersebut setelah dibersihkan. Bila nak guna, hanya koyakkan sahaja kertas tersebut. Ini pertama kali saya jumpa sepanjang saya berkecimpung dalam bidang penginapan di hotel ni =) Tapi, setelah digunakan, tiada apa yang menarik lagi dah. Hehehe.



Pemandangan di sekitar hotel sangat cantik. Saya sukakan laut, jadi pada saya cantiklah suasana hotel di tepi laut ni. Angin sepoi-sepoi bahasa. 




Kolam mandi dewasa dan kanak-kanak untuk kegunaan pengunjung juga disediakan. Memandangkan kolam dalam bilik mempunyai kedalaman 4 kaki, maka anak-anak saya bawa mandi di kolam kanak-kanak sahajalah. Seronok dan bebas sikit anak-anak bermain air. 3 hari berturut-turut mandi kolam pagi petang sampai kecut kaki tangan. Saya, suami dan mak mandi manda dalam kolam di bilik sahaja. Bebas dan tak perlu tutup aurat. Maksud saya cover mane yang patut sahaja lah.







Ada juga taman permainan mini untuk kanak-kanak.


Pihak hotel juga ada menyediakan aktiviti rekriasi seperti basikal, KMX dan segway obstacle. Tapi semua ni tidak sempat untuk saya buat.

KMX
Segway Obstacle


Banyak juga gambar yang saya ambil sebagai kenangan. Tapi gambar guna telefon saja lah. Jom kita cuci mata. 




Its a bird! Its a frog! No. Its an aeroplane.







Bila menginap di hotel ni mesti ramai nak tahu pasal makanan kan. Memandangkan mak dan abah ada bersama jadi kebanyakan waktu makan kami beli di luar sahaja. Makanan di hotel tidak berapa menepati selera orang tua. Di sekitar Grand Lexis ni terdapat banyak kedai-kedai makanan. Bandar Port Dickson juga dekat. Jadi bolehlah membeli barang-barang makanan dengan mudah. Tapi berdasarkan makanan yang saya makan semasa majlis makan malam bersama suami, menu breakfast dan makan tengah hari, secara amnya, makanan yang disediakan adalah biasa-biasa sahaja. Tidak se 'grand' nama hotelnya :(

Sekitar hotel ini banyak kawasan berpantai. Jadi aktiviti kami sekeluarga untuk tiga hari ini adalah berjalan-jalan di tepi pantai sambil mengenalkan kepada anak-anak binatang-binatang laut yang saya jumpa di tepi pantai. Sambil makan angin, kita boleh belajar. Anak-anak pun agak jakun sikit dapat main air laut ni. Maklumlah, kalau mandi kolam, tiada ombak yang mengejar, tiada pasir yang melekat di kaki, tiada kapal nun di tengah laut. Seronok melihat anak-anak bebas berlari di tepi pantai. 

Kepada sesiapa yang merancang nak bercuti ke PD, bolehlah pertimbangkan untuk ke hotel Grand Lexis ni, tertakluk kepada bajet semasa anda. Sesekali pergilah bercuti untuk merehatkan minda dan badan. Tidak perlu pergi bercuti jauh-jauh, yang dekat pun sudah memadai. 

Kami merancang, jika ada kesempatan, kelapangan dan kesihatan, teringin lagi untuk bercuti-cuti Malaysia. Ke mana, masih lagi tiada dalam perancangan. Tapi kami akan usaha. InsyaAllah. Semoga dipermudahkan Nya. Amin.










Monday, 17 November 2014

Cuti-cuti Malaysia

Teks: Rahimah binti  Omar

Alhamdulillah. Hari ini hari ketiga saya dan keluarga bercuti di Port Dickson. Segar rasanya pagi-pagi dapat menghirup udara laut yang sedar, melihat ombak kecil bermain-main di gigi pantai. Seronoknya kalau ada rumah di tepi pantaikan.

Sebenarnya cuti ini adalah tidak dirancang. Pejabat suami menganjurkan team building di sini. Kami sekeluarga hanya menumpang tuah sahaja. Kami menginap di Grand Lexis Hotel, Port Dickson. Nanti saya akan buat satu entri khusus untuk review hotel ini.

Anak-anaklah yang paling seronok. Hari-hari mandi kolam. Pagi dan petang. Sampai kecut kaki tangan.

Mak dan abah mertua ikut sekali. Memang kami ajak. Jika tidak alamatnya tak ke mana lah saya ni. Hanya duduk di bilik sahaja.

Hari ini tak berniat nak menulis panjang. Sebab banyak benda nak diceritakan dalam entri khusus untuk percutin kami ini nanti.

Ok. Cukuplah untuk hari ini. Jumpa lagi :)

Wassalam.

Sunday, 16 November 2014

Tips memasak: Gas dah habis?

Teks: Rahimah binti Omar

Gas memasak dah habis? Servis penghantaran gas tidak buka malam? Nak keluar rumah pun tak boleh sebab hujan lebat di luar. Bahan-bahan untuk memasak juga sudah tersedia. Macam mana nak masak?

Jangan risau, saya juga pernah mengalami situasi ini. Apa yang saya buat, sila perhatikan sekeliling dapur dan gunakan apa-apa peralatan elektrik yang ada dan sesuai untuk memasak makanan yang ringkas. Antara peralatan elektrik yang boleh digunakan untuk memasak adalah seperti rice cooker, micro wave, oven dan induction cooker. Induction cooker adalah yang terbaik sekiranya ada kerana ia memang dikhususkan untuk memasak makanan. Jika tiada, rice cooker juga boleh digunakan.

Jika memilih rice cooker untuk memasak, sila pastikan bahan-bahan telah tersedia untuk memasak. Masakan yang nak dimasak juga haruslah ringkas dan mudah. Dalam keadaan terdesak ini tidak perlulah beria sangat memasak pelbagai jenis lauk-pauk. Cukuplah sekadar satu jenis lauk sahaja. Atau satu jenis resepi ringkas seperti spageti atau mi sup.

Ketika memasak, pastikan ruang memasak sentiasa kering. Ini kerana semasa memasak menggunakan rice cooker, aliran elektrik masih berjalan. Jangan ingat perut lapar sahaja, keselamatan juga perlu diutamakan.

Jika memasak makanan yang tidak berkuah, sila tekan mode cooking dan letakkan sesuatu sebagai sendal di ruang tersebut bagi memastikan ia sentiasa dalam mode cooking. Jika tidak disendal ia akan cepat beralih ke mode warming dan periuk tidak lagi cukup panas untuk memasak.

Memasak menggunakan rice cooker ini perlulah banyak bersabar. Ini kerana fungsi utama rice cooker adalah untuk memasak nasi sahaja dan bukan untuk yang lain. Oleh itu, ia mengambil masa sedikit untuk betul-betul panas terutama jika digunakan untuk menggoreng dengan minyak yang banyak.

Baru-baru ini saya menggunakan rice cooker untuk memasak spageti. Ringkas sahaja. Ala kadar, tapi berasa.


     Keju cheddar kat atas tu saya tambah untuk bagi menarik sikit.

Rice cooker juga sesuai digunakan untuk memasak secara rebusan atau berkuah seperti sup. Boleh juga gunakan oven atau microwave untuk memasak bahan-bahan yang boleh dipanggang atau bakar.

Sebagai ibu, saya perlu kreatif untuk memasak. Tidak perlu memasak lauk-pauk yang complicated sangat. Yang simple juga sedap sekiranya dimasak dengan penuh kasih sayang dan ikhlas. Jika tiada gas memasak, ia bukanlah satu alasan untuk tidak boleh memasak langsung. Hanya perlu kreatif dan gunakan apa yang ada di dapur sendiri.

Tapi, kalau susah sangat dan malas nak fikir panjang, beli sahajalah. Senang dan sedia untuk dimakan. Lagi senangkan :)

Selamat memasak!

Thursday, 13 November 2014

Fatwa mengenai pengguguran kandungan kerana bayi cacat



Teks: Rahimah Binti Omar

Sedikit perkongsian maklumat mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai pengguguran kandungan kerana bayi cacat. Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada laman web www.e-fatwa.gov.my .

Ringkasan fatwa mengenai isu ini adalah seperti berikut:

Pendapat Fuqaha’ membahagikan peringkat pembesaran janin dalam kandungan untuk digugurkan berdasarkan kepada tiga peringkat selaras dengan Kaedah Fiqhiyah (memilih yang lebih ringan di antara dua kemudharatan) bagi mengelakkan bahaya yang berat:

1.     Peringkat 1 hingga 40 hari (nutfah - alaqah).
2.     Peringkat 40 hari hingga 4 bulan (Mudghah - Berbentuk).
3.     Peringkat 4 bulan ke atas (sesudah ditiup roh).

Keputusan diambil kira dengan mengikut peringkat umur serta berdasarkan syarat berikut:


  • Menurut ijmak Fuqaha’, HARAM menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.



  • MAKRUH menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.



  • Ijma’ Fuqaha’ berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari HARUS sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.


Menurut para doktor, peringkat sebelum berbentuk ialah peringkat dari hari pertama hingga 40 hari seseorang itu mengandung. Majoriti para fuqaha’ berpendapat pengguguran yang dilakukan diperingkat ini adalah makruh dan disyaratkan dengan tiga syarat iaitu persetujuan daripada kedua suami isteri, tidak mendatangkan bahaya dan kenyataan daripada dua orang doktor pakar yang adil.

Peringkat mudhghah pula bermula pada hari 40 hingga 4 bulan (120 hari) seseorang itu mengandung dan pada peringkat ini sudah nyata bentuk awal anggota janin tersebut. Pengguguran yang dilakukan pada peringkat ini hukumnya makruh yang amat dilarang. Walaubagaimanapun sekiranya disahkan oleh doktor bahawa pengguguran perlu dilakukan bagi mengelakkan bahaya yang akan mengancam keselamatan dan nyawa si ibu, maka dalam keadaan ini hukumnya adalah harus.

Melakukan pengguguran selepas kandungan berumur 120 hari adalah haram kerana pengguguran pada peringkat ini telah dianggap sebagai satu jenayah terhadap bayi atau janin yang telah sempurna hidup. Walaubagaimanapun harus menggugurkannya bagi menyelamatkan nyawa ibu dan di atas nasihat doktor yang pakar dan adil bahawa tidak ada jalan lain kecuali menggugurkan kandungan. Ini berdasarkan kaedah fiqh iaitu “Memilih mana yang lebih ringan kemudharatan bagi mengelak mudharat yang lebih berat”.

Bagi ibubapa yang mempunyai dilema ini, bolehlah merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sekiranya masih tidak jelas dengan penjelasan yang diberikan dalam laman web yang disebutkan di atas tadi. Ada beberapa cara untuk menghubungi Felo Fatwa iaitu melalui Facebook iaitu Fatwa Malaysia, twitter Felofatwa Malaysia, blog Fatwa Malaysia dan juga talian hotline Fatwa yang dibuka setiap hari Rabu dari jam 4.00 petang hingga 5.00 petang.

Sekian :)

Dari Allah Kita Datang, KepadaNya Jua Kita Kembali…



Teks: Rahimah Bt Omar

Hari ini saya mendapat perkhabaran sedih. Teman sepejabat telah kematian anak dalam kandungan berusia 22 minggu dan telah disahkan oleh Pakar Fetus di Hospital Kuala Lumpur semalam. Allahuakbar. Darinya kita datang, kepadaNya juga kita kembali. Takziah buat Atiqah dan Al-Fatihah untuk arwah anak.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Inilah yang dialami oleh sahabat saya ini. Sebenarnya, Atiqah telah dikhabarkan dengan berita yang tidak dijangka mengenai kecacatan kandungannya semasa membuat pemeriksaan berkala. Doktor yang melakukan pemeriksaan telah mengesan sesuatu yang abnormal kepada kandungannya dan telah merujuk perkara tersebut ke Pakar O&G di Hospital Putrajaya. Hasilnya doktor mengesahkan abnormality tersebut dan telah merujuk kepada Pakar O&G di HUKM yang boleh membuat keputusan seterusnya. Anak yang dikandung disahkan cacat kromosom dan sekiranya dilahirkan sekalipun ia akan mengalami kecacatan yang serius seperti tempurung kepala yang tidak sempurna, jantung yang tidak berfungsi dengan baik, kecacatan fizikal dan lain-lain lagi. Peratusan untuk anak yang dikandung survive juga adalah sangat tipis kerana ujian yang dibuat menunjukkan bacaan degupan jantung yang irregular. Akhirnya, setelah ujian disahkan, doktor pakar membuat keputusan supaya kandungan digugurkan atau terminate. Tarikh yang diberikan adalah pada 20 November 2014 akan datang.

Luluh hati seorang ibu yang sangat mengharap anak yang dikandung dapat dilahirkan dengan sihat dan sempurna. Kami rakan-rakan sepejabat yang mendengar pun turut merasai kesannya kerana kebanyakan dari kami adalah golongan ibu-ibu. Pelbagai kata-kata semangat yang kami berikan. Tidak kurang juga yang mencadangkan supaya mendapatkan pandangan kedua daripada mana-mana doktor pakar berkaitan.

Atiqah seorang yang kuat. Saya tahu dia menangis, tapi dia sangat cekal dan tabah menghadapi hari-hari di pejabat tanpa menunjukkan yang dia sedang bersedih menghitung hari kematian anak dalam kandungan. Dalam pada itu, memandangkan kami bekerja di Kementerian Kesihatan, ada juga doktor yang mencadangkan supaya Atiqah membuat rujukan dengan Pakar Fetus di HKL untuk mendapatkan pandangan kedua.

Sebenarnya, 2 hari lepas Atiqah sudah tidak merasakan sebarang pergerakan anak dalam kandungan. Namun temujanji tetap diteruskan. Apabila ujian imbasan dibuat, doktor mengesahkan anak dalam kandungan telah meninggal dunia. Tiada lagi degupan jantung anak. Innalillahi wainna ilaihirajiun… Bertabahlah wahai sahabat. Anakmu sudah dijanjikan syurga oleh Allah Subhanahu Wataala.

Kami rakan-rakan sepejabat yang mendengar perkhabaran sedih itu tidak mampu berkata apa. Apatah lagi apabila dimaklumkan prosedur untuk melahirkan anak yang telah mati hanya akan dibuat pada hari Isnin akan datang. Terpaksa menunggu 5 hari lagi! Bayangkan bagaimana perasaan seorang ibu yang berjalan ke sana ke mari dengan perut yang membuyut, tetapi sudah tahu anak itu tidak lagi bernyawa. Allahu Akbar. Beratnya beban yang ditanggung olehmu sahabat.

Saya mendoakan Atiqah kuatkan semangat. Jangan bersedih terlalu lama. Ingatlah sahabat, kamu telah dipilih untuk menerima dugaan berat ini kerana Dia ingin memberikan kamu ganjaran yang hebat dan kemanisan di Akhirat nanti. Bersyukurlah kerana Atiqah masih ada Aqilah yang masih lagi memerlukan belaian manja dari ibunya.  

Al-Fatihah buat anak suci kepada Puan Atiqah Binti Mohamed @ Mohamad Saim.