Monday, 23 February 2015

Selamat Hari Lahir 19 Februari

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dianugerahkan kesihatan dan nikmat hidup di usia yang semakin menginjak dewasa (tua ^_^) ini. Bersyukur juga kerana pada usia ini saya mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab dan menyayangi saya serta 4 orang cahaya mata penyeri hidup saya dan keluarga. 

Apa hadiah hari lahir saya? Usah ditanya kerana saya tidak pernah berharap dapat sesuatu daripada sesiapa. Encik Suami? Hahaha... Dia bukanlah jenis suami romantik yang memberi hadiah suprise di setiap ulang tahun kelahiran isteri. Ingat pun kadang-kadang dah sipi-sipi. Syukurlah isterinya ini bukan jenis yang cepat merajuk apabila hari lahirnya tidak diingati oleh orang tersayang . Romantiknya suamiku di tempat lain. Syukur dengan apa yang ada. Hehehe.

Saya tidak berharap mendapat hadiah daripada sesiapa. Tetapi saya selalu cuba untuk memberi hadiah kepada diri sendiri. Bukan hadiah berbentuk material, tetapi hadiah berbentuk pahala untuk diri sendiri. Banyak cara yang boleh dibuat. Contohnya, bersedekah makanan pada rakan-rakan. InsyaAllah, ramai yang akan mendoakan kebaikan kita. Itu lebih afdal bagi saya. Daripada menerima hadiah berbentuk material, tetapi habis dipakai begitu sahaja tanpa ada manfaat lain. Tetapi tak salah pun kalau nak memberi hadiah berbentuk material kepada diri sendiri. 

Tahun ini alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada saya untuk bersedekah di majlis ilmu dan tahlil di surau berdekatan rumah di kampung. Semoga saya mendapat redha Allah dan selalu dibukakan pintu hati untuk selalu berbuat baik dan amal jariah. 

Ini cara saya menyambut hari lahir saya. Di samping berdoa semoga Allah panjangkan usia saya di tahun-tahun akan datang dan disertakan dengan kesihatan yang baik, supaya saya dapat melihat anak-anak saya membesar, supaya saya dapat mendidik anak-anak saya menjadi anak-anak soleh dan solehah, supaya saya dapat menjadi isteri yang baik kepada suami saya. 

Alhamdulillah ala kulli hal. Cukup dengan rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami sekeluarga ya Allah. Syukur Alhamdulillah.

Selamat Hari Ulang Tahun ke 34 untuk diri sendiri ^_^ 

Puding Roti Coklat Marble

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum. wbt.

Lama sudah saya tidak update ruang masakan saya ni. Hehehe. Masakan yang tidak seberapa tetapi menjadi sumber rujukan saya dan mungkin anak-anak saya juga pada masa akan datang. 

Sebenarnya resepi Puding Roti Coklat Marble ini sudah lama saya cuba. Alhamdulillah menjadi dan sangat sedap. Saya katakan ia sedap kerana mak saya sangat menggemari puding ini. Kebetulan, mak dan mokde datang ke rumah pada masa itu. Jadi, saya hidangkan dengan puding roti marble ini. Mak saya bukan jenis yang suka makan pencuci mulut ni. Jadi, bila pencuci mulut yang dihidangkan kena dengan citarasanya, berseleralah mak makan.

Inilah dia gambar puding roti marble yang saya buat tempoh hari. Tak berapa menjadi sangat marble nya tu. Sebab pembahagian antara adunan berwarna putih/krim dengan adunan coklat tidak sama banyak. Tambahan, acuan yang digunakan juga kurang sesuai. Lain kali tahulah saya, kalau nak buat corak marble, lebih sesuai menggunakan acuan loyang biasa berbetuk segi empat atau bulat.


Tangan Iman yang x sabar nak makan puding roti marble ^-^
Di sini saya kongsikan resepi puding roti coklat marble ini untuk rujukan. 

Puding Roti Coklat Marble

4 keping roti

2 biji telur

1/2 cawan susu pekat

170 ml susu cair

10 grm serbuk agar-agar (*saya guna agar-agar biasa separuh peket)

1/2 cawan gula

2 sudu besar butter @ marjerin (cairkan) 
(*saya tak cairkan tetapi blendkan sekali dengan roti)

3 1/2 cawan air

2 sudu besar serbuk koko @ coklat emulco

* saya campurkan sedikit esen vanilla.

Cara-cara:

  1. Didihkan 3 cawan air, serbuk agar-agar dan gula dalam periuk.Kacau rata.
  2. Blend roti, telur, susu pekat, susu cair dan balance air tadi. Kemudian masukkan ke dalam periuk agar-agar yang telah dididihkan tadi. 
  3. Bahagikan adunan kepada 2. Satu adunan warna asal, satu adunan dicampurkan serbuk koko @ choc emulco. Bancuh dahulu serbuk koko supaya tidak bergentel atau berbiji-biji.
  4. Sediakan loyang atau acuan yang bersesuaian. Sendukkan satu adunan putih dan tuangkan di tengah-tengah loyang. Kemudian diikuti dengan sesenduk adunan warna coklat. Tuang di atas adunan putih tadi. Ulang sehingga habis adunan tadi. Tidak perlu ratakan atau kacau aduan. Biarkan adunan bergerak sendiri.Teknik ini akan menjadikan puding bercorak marble.
  5. Dah siap, bolehlah disimpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya sejam.

Resepi ini saya dapat dari facebook Cara Senang Buat Kek.. InsyaAllah, yang baru firts time buat pun akan menjadi sebab ia sangat mudah. 

Selamat mencuba ^_^




Cameron Highland


Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Dua minggu yang lalu tanpa dirancang, saya dan keluarga sebelah suami menghabiskan hujung minggu di Cameron Highland. Gara-gara anak-anak saya berebut makan strawberry yang dibeli oleh Opahnya di pasaraya, Pak Teh Emi terus memberi cadangan untuk ke Cameron Highland. Tak sangka, rupa-rupanya cadangan adhoc Emi terus dipersetujui oleh kami semua. Apalagi. Lepas sarapan kami terus bersiap-siap untuk mendaki ke Cameron Highland. Pukul 10.00 pagi bertolak dan sampai di sekitar jam 2.00 tengah hari selepas pit stop di beberapa hentian.

Sebenarnya, memang dah lama hendak ke Cameron Highland. Tapi bila dirancang seperti biasalah, ada saje aral melintang. Alhamdulillah, Sabtu tengah hari yang cerah, sampai juga kami ke Cameron Highland. Kami ikut laluan dari Simpang Pulai untuk elakkan jalan yang berlingkang lengkuk macam ular kena palu tu.

Agak risau dan seriau juga melalui jalan-jalan yang terlibat dengan tanah runtuh seperti yang dilaporkan dalam berita beberapa bulan lalu. Kerja-kerja pembinaan jalan masih sedang dijalankan. Syukur juga waktu kami sampai masih tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Kesan banjir di kawasan-kawasan terlibat juga masih kelihatan sedikit tetapi kebanyakan tempat sudah pun pulih sepenuhnya.

Star Regency Hotel & Apartment, Brinchang, Cameron Highland

Kami sekeluarga menginap di Star Regency Hotel & Apartment. Sebenarnya tak tahu nak bagi berapa bintang untuk Star Regency ni, tetapi memandangkan ia dekat dengan kemudahan seperti gerai makan, pasar malam, Cactus Valley dan lain-lain, maka kami menginap saje lah di situ. Lagipun hanya untuk semalam sahaja. Kami sewa apartmen 3 bilik berharga RM400 untuk satu malam. Apartment di Star Regency ini sangat luas. Ruang tamu dan ruang makannya yang luas boleh menempatkan 2 keluarga lagi. Tapi perlu membawa toto dan bantal tambahan. Tiada sarapan disediakan.

Secara keseluruhan, setakat untuk tempat tidur dan merehatkan badan bagi keluarga besar, bolehlah memilih Star Regency ini. Tetapi banyak juga hotel-hotel lain di sekitar kawasan ini. Jadi, jika datang pada hari bukan peak season, bolehlah walk in terus ke mana-mana hotel yang berdekatan dan buatlah pilihan yang dirasakan sesuai dengan bajet masing-masing.

Gerai-gerai sekitar Brinchang

Hari pertama sampai kami hanya berjalan-jalan di sekitar hotel sahaja. Memandangkan pergi pun tidak dirancang, dan cuaca pula agak sejuk, kami pergi berjalan-jalan di sekitar gerai-gerai di Brinchang untuk membeli baju sejuk, stoking dan sarung tangan untuk anak-anak. Boleh saya katakana harga baju sejuk di sini agak murah berbanding di Kuala Lumpur mahupun di Tangjung Malim. Coraknya juga pelbagai. Dengan RM25 saya boleh dapat sehelai sweater cantik dengan lambang superman dan kain yang berkualiti untuk Khalis dan Iman. Aleeya seperti biasa, karakter Frozen jadi pilihan. Baby Eicha hanya dapat sehelai sweater biasa sahaja memandangkan design untuk baby sangat terhad.

Mama dan Papanya tidak membeli baju sejuk atau stoking sebab bajet-bajet boleh tahan sejuk. Sekali tu, suhu pada malam itu mencecah 15° Celsius. Menggigil Mama dan Papa ^_^

Pada mulanya berhajat untuk ke ladang strawberry dan nak bagi anak-anak mengalami pengalaman memetik strawberry sendiri. Tetapi disebabkan entrance fee untuk memetik sendiri strawberry agak mahal iaitu RM50 untuk 4 orang dan untuk sekilo strawberry dan rata-rata ladang strawberry mengenakan charge yang lebih kurang sama, maka kami batalkan dulu rancangan tersebut. Mak kata ada tempat yang lagi murah. Memandangkan hari juga sudah semakin petang, kami sekadar bersiar-siar di sekitar kawasan Brinchang dan Tanah Rata sahaja.


Kampung Taman Sedia, Tanah Rata

Di Tanah Rata terdapat satu perkampungan melayu iaitu Kampung Taman Sedia. Kalau ke Cameron Highland, saya cadangkan singgahlah sebentar di kawasan kampung melayu ini untuk melihat keindahan dan ketenangan suasana kampung di kawasan tanah tinggi ini. Yang menarik perhatian saya, ada rumah-rumah yang mempunyai reka bentuk yang cantik seperti English Cottage. Banyak juga homestay di sekitar kawasan ini. Mungkin untuk trip yang akan datang kami akan cuba menginap di kampung ini pula.

Sambil bersiar-siar, ternampak pula signboard ke ladang strawberry yang boleh dipetik sendiri dengan harga yang berpatutan dan jauh lebih murah dari tempat yang kami pergi sebelum itu. Jadinya, kami merancang untuk ke sini semula pada hari esoknya.  

Pasar Malam

Di sebelah malam, kami ke Pasar Malam Cameron Highland tidak jauh dari hotel. Hanya berjalan kaki sahaja. Yang paling seronok di pasar malam ini adalah apabila melihat sayur-sayuran yang segar. Bagi sesiapa yang nak makan strawberry dan coklat, memang boleh makan sampai puas dan kenyanglah di sini. Harga strawberry juga lebih murah jika dibandingkan dengan harga jualan di kedai-kedai tepi jalan sepanjang jalan naik ke Brinchang. Cuma terpulang kepada pembeli untuk memilih yang segar-segar. Coklat juga dijual dengan harga RM5 sebekas kecil.

Di pasar malam ini, saya membeli sedikit sayur-sayuran, ubi keledek madu dan jagung. Ubi keledek ini sedap direbus. Rasanya lemak manis. Jagungnya juga segar dan besar-besar. Geram. Kalau ikutkan hati, macam-macam jenis sayur nak dibeli. Tetapi mengenangkan hanya saya seorang saje yang makan sayur di rumah, dan masak pun bukan selalu, maka saya beli sekadarnya sahajalah.

Beli juga sedikit makanan untuk makan malam. Makan malam hanya di bilik hotel sahaja memandangkan cuaca amat sejuk. Semua orang pun malas nak makan di luar.   

Opah Strawberries and Jam’s

Pagi Ahad, selepas sarapan pagi di Tanah Rata, kami sekeluarga menuju ke Kampung Taman Sedia untuk mencari ladang atau kebun strawberry yang boleh dipetik sendiri dengan harga yang berpatutan. Akhirnya kami berhenti di Opah Strawberries and Jam's ini. Jam baru pukul 8.30 pagi tapi kebun telahpun dibuka untuk lawatan. Harga di sini adalah RM35 sekilo tidak kira berapa orang yang masuk. Jika sekadar masuk untuk tengok-tengok sahaja tiada cahrge yang akan dikenakan. Jika bawa anak-anak, pastikan ada orang dewasa yang memantau aktiviti memetik strawberi bagi memastikan pokok-pokok strawberry terpelihara. Strawberry yang telah dipetik akan ditimbang apabila keluar dari kebun.

Seronok saya tengok anak-anak bergembira sambil memetik strawberry. Ini pengalaman pertama anak-anak melihat dan memetik sendiri buah strawberry dari pokoknya. Sebenarnya kebun ini adalah milik seorang makcik ataupun lebih dikenali sebagai Opah. Kebun yang dibuat sendiri di belakang dan sekitar rumahnya. Sangat cantik. 

Di sini, bukan sahaja ada kebun strawberry, tetapi ada juga kiosk kecik menjual produk-produk berasaskan strawberry seperti strawberry jam, strawberry lolly pop, teh strawberry, scon strawberry, aiskrim strawberry dan lain-lain lagi. Ha, jangan terkejut. Ada tau orang beli aiskrim tu walaupun cuaca sejuk. 
   


Starwberry yang menggiurkan :)

Opah Strawberries and Jam's.

Anak-anak yang gumbira ^_^


Menikmati loly pop and fresh strawberry.


Cameron Lavender

Selepas ke kebun Stawberry, kami ke Cameron Lavender pula. Tempat ini adalah antara tarikan baru di Cameron Highland. Tiket masuk berharga RM5 untuk dewasa. Kanak-kanak saya tidak pasti pula sebab ada orang belanja tiket masuk ^_^

Tempat ini sangat cantik. Kebun pelbagai jenis bunga-bungaan yang segar dan berwarna-warni. Lanskapnya juga sangat menarik. Tapi sayang, saya tak dapat nak menikmati keindahan kebun bunga ini sebab Iman meragam nak beli mainan. 

Cameron Lavender

Happy Family :)
Habis berjalan-jalan di Cameron Lavender, kami balik ke hotel dan bersiap-siap untuk pulang ke Tanjung Malim. Sebelum balik, sempat singgah di Restoran Ar-Raudhah, restoran nasi arab di Tanah Rata. Boleh tahan juga nasi arab di sini. Kebetulan memang tengah lapar. Semua pun sedap. 

Perjalanan pulang kami turun ikut laluan Tapah. Semua lena tidur dalam kekenyangan. Kasihan driver, terpaksa bersengkang mata menuruni jalan berbukit. Alhamdulillah selamat sampai di Tanjung Malim sekitar jam 4.00 petang.

Walaupun percutian singkat ini asalnya tidak dirancang, namun ia sangat bermakna lebih-lebih lagi apabila dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan orang tersayang. Bukan selalu pun. Apabila dirancang selalu tidak menjadi. Sesekali buat plan ad hoc macam memang pasti jadi. Keluarga 69, memang macam ini lah. Yang penting anak-anak gembira dan sihat.

Entah bila akan sampai ke sini lagi kami tidak tahu. Saya dan suami merancang untuk bawa emak ke Cameron Highland. Emak tidak pernah sampai ke sini lagi. Saja nak bagi emak seronok.

Jika ada kesempatan lagi, saya akan datang membuat lawatan ke tempat-tempat menarik yang lain pula. Plan akan datang, ke Hutan Lipur Mossy pula ye. Insyaallah.

Wednesday, 4 February 2015

Kutu

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Sudah hampir seminggu tidak menjenguk blog ini. Akhir-akhir ini agak sibuk. Ditambah cuti sakit selama 2 hari gara-gara allergik yang datang secara tiba-tiba. Tak tahu apa puncanya. Tergaru-garu je lah kerjanya. Hehehe.

Cuti panjang sempena Hari Wilayah dan Hari Thaipusam juga tidak ke mana. Encik Suami ada workshop di Gambang. Malas pula nak ikut sebab nanti kena hantar saya dan anak-anak balik ke rumah dahulu dan kemudian patah balik ke Kerteh. Kasihan pula. Tak sampai hati. Sudahnya memerap di rumah sahaja lah dengan anak-anak.

Sebab dah takde aktiviti nak buat, Mama layankan kehendak si tuan puteri Yaya untuk tocang rambut. Sedang menyikat, ternampak pula 3 ekor kutu sedang bermesyuarat di atas kulit kepala Yaya. Terkejut Mama dibuatnya. Tak pernah kena jangkit kutu, tetiba banyak kutu plak. Aduhai sayang. Dari manalah dapat kutu ni. 

Apalagi, baki 2 hari cuti mama gunakan sebaik-baiknya untuk merawat kepala Yaya supaya bebas kutu. Buat juga sport check di kepala Abang Khalis, Iman dan Baby Eecha. Hasilnya, memang semua berkutu. Cuma tidak sebanyak di kepala Yaya. 

Mama beli syampu berubat untuk menyahkan kutu di farmasi. Beli yang ada free gift sikat kutu and cermin kanta pembesar. Selain syampu, sikat kutu ni agak berguna juga. Sesuai untuk rambut pendek macam Abang Khalis, Iman dan Baby. Sekali sikat, terkeluar semua kutu, baik ibu kutu, bapak kutu, anak kutu hingga ke telur kutu. Tapi untuk Yaya agak tidak sesuai sebab rambut Yaya dah panjang. 

2 hari di rumah mama operasi kepala Abang Khalis, Iman, Yaya dan Baby. Alhamdulillah, kepala yang 3 orang kecuali Yaya hampir 95% bebas kutu. Yaya agak susah sebab dia tak mahu disikat guna sikat kutu tu. Menangis-nangis. Siap berkejar-kejar lagi dengan dia. Mama ni dok geram tengok kutu atas kepala dia tu. Dia plak dok sibuk lari nak nyorok dari mama. Alahai Yaya. 

Sudahnya, 2 hari operasi, kepala Yaya masih dihantui kutu-kutu rayau. Mama masih ternampak-nampak mak-mak kutu bersidang di atas kepala tu. Semalam nekad potong rambut Yaya walaupun ada sedikit rasa sayang untuk potong rambut Yaya yang cantik tu. Sebenarnya Mama tak pandai potong rambut pun. Tapi sebab rambut Yaya ni agak banyak dan tebal, maka kalau tak sama rata tu takde la nampak sangat. Hehehe..

Malam ni pakat dengan Papa nak operasi rambut Yaya. Sebab dah pendek bolehlah guna sikat kutu tu secara efektif. Jagalah kau kutu. Selamat lah engkau nanti. 

Dulu kawan sepejabat pernah bagitau, terdapat satu saloon khas untuk kutu di sekitar Bangsar yang memang membuat rawatan kutu. Yang bestnya, kena buat appointment dulu sebab customernya terlalu ramai dan sentiasa penuh setiap hari. Ye la. Sekali rawatan mahu satu jam masa yang diambil paling kurang pun. 

Mama buat sendiri je lah nak oi. Selagi Mama mampu.

Tapi syampu mama beli tu macam takde kesan pulak kat kepala Yaya ni. Hmm... Kalau tak ok juga, kena survey ubat kutu atau kaedah lain pula.

Tetiba terasa gatal-gatal plak kepala Mama ni....macam ada benda merayap pun ada jugak... Adeh...

    

Sunday, 25 January 2015

Tamatnya tempoh berpantang 44 entry...

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah...Tanpa saya sedari sudah lebih 44 entry yang saya post kan di dalam blog ini. Sepatutnya, awal-awal lagi saya buat ulasan ini yang merupakan sebahagian daripada tugasan saya sebagai ahli baru ABDR. Tetapi disebabkan kesibukan dan menulis pun sekadar mencuri-curi masa yang ada, maka terlupalah saya nak membuat ulasan ini ^_^ Minta maaf ye sifu Anys Idayu.

Saya menyertai Akademi Bekerja Dari Rumah (ABDR) pada bulan September 2014 dan entry pertama saya adalah pada 23 September 2014. Niat asal menyertai ABDR adalah untuk belajar berniaga secara online sebagai sebahagian daripada persediaan untuk saya berhenti kerja (suatu hari nanti). Untuk melihat keupayaan, komitmen dan disiplin diri sendiri dalam melakukan sesuatu tugasan. Walaupun hajat berhenti kerja itu tak tahu bila akan tercapai, tetapi persediaan untuk ke arah itu pun penting juga kan. 

Mungkin ramai ahli baru ABDR yang berjaya menyiapkan tugasan 44 entry ini dalam masa yang singkat. Tetapi bagi saya yang merupakan seorang suri bekerjaya, ditambah lagi dengan tanggungjawab menjaga 4 orang anak yang masih kecil berseorangan lantaran suami bekerja jauh di perantauan, maka ruang yang ada untuk menulis sekali-sekala itupun sudah cukup baik bagi saya.

Ajaran Puan Sifu, menulislah secara berkala dan santai. Cukuplah walau sebaris ayat sahaja sehari. Tetapi bagi saya agak susah juga untuk konsisten menulis setiap hari. Hampir-hampir kecundang di tengah jalan. Tetapi saya bangkit semula. Saya jadikan kisah yang saya alami setiap hari sebagai bahan penulisan. Nama pun Diari Suri Bekerjaya kan. Sesuailah tu ^_^

Sebenarnya, menulis bukanlah satu bidang baru bagi saya. Kerja saya sekarang ini pun banyak melibatkan kerja-kerja menulis seperti menulis pandangan undang-undang, menyemak perjanjian dan dokumen perundangan serta lain-lain lagi. Tetapi pada saya penulisan di blog dan penulisan untuk kerjaya saya adalah dua perkara yang berbeza. Walaupun asasnya adalah sama, namun menulis di blog adalah lebih santai dan terpulang kepada penulis itu sendiri bagaimana untuk menjadikan ia menarik. Penulisan bagi kerjaya saya pula lebih bersifat rigid di mana semua yang ditulis hendaklah berasaskan undang-undang, penulisan hendaklah tepat dan bersifat serius. Berbeza bukan.   

Tanpa saya sedari, saya menggunakan ruang untuk menulis ini bukan sekadar untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman, tetapi juga sebagai satu medium untuk saya menukar rasa stress saya ke dalam bentuk tulisan yang akhirnya boleh menukar mood saya menjadi gembira semula. Paling tidak pun, mengurangkan stress saya pada ketika itu. Contohnya, kalau saya sedang rasa sedih, saya tulis sesuatu yang boleh menggembirakan saya seperti kisah anak-anak, kisah masakan saya yang tidak seberapa, kisah percutian keluarga dan lain-lain lagi. 

Sedikit demi sedikit, akhirnya selesai juga tugasan 44 entry. Banyak ilmu yang saya pelajari daripada Kelas Online ABDR. Banyak juga ilmu yang saya kongsi dengan rakan-rakan ABDR yang lain. Rasa tidak menyesal membayar yuran penyertaan. Bukan sahaja dapat kawan dan ilmu pengetahuan, dapat juga bonus 4 e-book untuk rujukan. Idea-idea dan tips-tips yang boleh dijadikan rujukan pada bila-bila masa sahaja. Berbaloi-baloi.

Walaupun setelah 4 bulan lebih ini saya tidaklah menjana kewangan sangat dengan blog ini tetapi saya rasa sangat gembira. Bukanlah matlamat utama saya pun untuk menjadi kaya melalui blog ini. Tetapi sekiranya saya hendak memulakan bisnes online, tapaknya sudahpun ada.

Apa pun, terima kasih kepada Pn. Sifu Anys Idayu. Walaupun saya ni bukanlah pelajar contoh Cikgu Anys, namun saya banyak membaca apa jua ajaran dan perkongsian beliau di dalam kelas online. Banyak yang saya boleh gunakan pada masa sekarang dan juga pada masa akan datang.

Kepada surirumah yang sedang mencari-cari bagaimana nak memanfaatkan masa terluang yang ada atau ingin menjana wang dari rumah, bolehlah menyertai ABDR. InsyaAllah, jika kita berusaha untuk menimba ilmu, satu hari nanti ilmu itu akan memberi manfaat yang banyak kepada diri kita.

Wassalam ^_^       
    

   

Thursday, 22 January 2015

Kuman apakah itu?

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah... Tiada kata-kata syukur lain yang mampu diucapkan apabila menerima khabar Abang Wan telah stabil setelah menjalani pembedahan petang semalam. Kaki yang sama terpaksa dipotong untuk kali kedua dan kali ini pada paras atas lutut pula. Sebenarnya Along mahupun Abang Wan sendiri sudah tidak kisah. Redha dengan ketentuan Ilahi hilang sebelah kaki. Yang penting dia kembali sihat.

Sebenarnya hanya kuasa Allah sahaja yang mampu menyihatkan Abang Wan kembali setelah mengalami saat-saat nazak dua hari lepas. Kami sekeluarga telah bersedia untuk menerima apa jua khabar berita. Tetapi, Alhamdulillah syukur tidak terkira apabila Along maklumkan Abang Wan dah sedar setalah seharian di ICU. Selepas itulah baru keputusan untuk memotong kaki separas atas lutut itu dibuat.

Along cerita, doktor maklumkan Abang Wan dijangkiti kuman yang sangat merbahaya. Kuman ini katanya boleh memakan daging dan memusnahkan sel-sel dalam tempoh satu jam sahaja. Sebab itulah keadaan Abang Wan sangat teruk dan kesannya juga sangat cepat. Ialah. Tidak sampai pun sebulan, sudah 4 operation dilakukan, 3 kali masuk ICU, 1 kali diserang stroke dan berada dalam keadaan nazak. Semua pun tidak menyangka ini semua akan terjadi.

Saya sebenarnya tidak tahu kuman apa yang dikatakan oleh doktor itu. Tapi, bila bercerita dengan kawan perkembangan Abang Wan, kawan kata dia pernah terbaca mengenai kuman yang sangat merbahaya tu. mmm... Lepas ni nak buat research sket kalau ada masa. Boleh post kan di sini untuk dikongsikan dengan yang lain.

Apa pun, berhati-hatilah. Kita hidup di persekitaran yang kurang bersih. Kuman berada di mana-mana. Jaga kesihatan. Amalkan pemakanan dan gaya hidup yang sihat. Jika semua terpelihara, kesihatan juga akan lebih baik. InsyaAllah...


 

Tuesday, 20 January 2015

Seandainya dia pergi...

Teks: Rahimah Binti Omar

Pagi semalam Along khabarkan keadaan Abang Wan semakin teruk. Sesak nafas dan separa sedar. Along mohon kami adik beradik mendoakan kesejahteraan Abang Wan. Kata Along, dia redha sekiranya Abang Wan bertemu Penciptanya. Sudah tidak sanggup dia melihat Abang Wan kesakitan. Yang penting Along mohon didoakan semoga pemergiannya dalam husnul khatimah.

Pagi semalam saya melangkah ke pejabat dengan hati yang berat. Terasa ingin menziarah Abang Wan. Manalah tahu, ini kali terakhir saya berjumpa dengannya. Sepanjang dia sakit, hanya sekali saja saya sempat menziarah. Itu pun selepas pembedahan kali pertama. Kata emak, wajahnya sudah cengkung, susuk tubuhnya sudah nampak tulang. Sedangkan dulunya semasa dia sihat, Abang Wan segak gagah dan tegap orangnya. Apa yang saya boleh buat, hanya mendoakan yang terbaik untuknya.

Tengah hari, sedang saya berkira-kira hendak makan, saya terima panggilan dari emak. Sudah terfikir perkara buruk. Ya Allah, kuatlah semangatku untuk menerima apa jua berita. Mak beritahu, Abang Wan nazak dan telah dibawa ke Hospital Pusrawi. Bergegas naik ke pejabat dan minta kebenaran daripada bos untuk pulang awal kerana ada kecemasan keluarga. Maklumkan juga pada bos, sekiranya ada kematian, saya mungkin akan mengambil cuti 2 atau 3 hari. Hati sudah terbayang wajah Along. Ya Allah, kuatkanlah semangat kakakku.

Sebenarnya saya tidak tahu hendak ke mana. Ke hospital atau ke rumah Along. Akhirnya saya memutuskan untuk ke rumah Along sebab Mak dan Mokde masih di sana. Jika ke hospital pun tiada apa yang boleh dilakukan selain berdoa kerana Abang Wan terus dimasukkan ke ICU.

Sampai di rumah saya lihat wajah Mak dan Mokde sugul dan sedih. Mak dan Mokde berselang-seli bercerita mengenai Abang Wan. Kebetulan malam sebelumnya Mak dan Mokde menemani Along menjaga Abang Wan yang sedang mendapatkan rawatan alternative di sebuah pusat rawatan Islam. Kisah-kisah yang menyayat hati. Sukar untuk diterjemahkan dalam tulisan.

Mak kata Alang sekeluarga dari Johor akan turun ke KL untuk menziarah Abang Wan. Sama seperti saya, dia risau dan terkilan jika tidak dapat berjumpa Abang Wan. Sejak Abang Wan sakit, Alang belum lagi berjumpa dengannya.

Sekitar jam 4.00 petang, Along maklumkan keadaan Abang Wan yang kritikal tetapi telah dipantau rapi oleh doktor. Saudara-mara dibenarkan untuk menziarah di Unit Rawatan Rapi. Saya, Mak dan Mokde bergegas ke sana.

Sampai di hospital, ramai ahli keluarga Abang Wan telah tiba. Semua menunggu giliran untuk masuk melawat Abang Wan. Maklumlah, di Wad ICU hanya 2 pelawat sahaja dibenarkan untuk masuk dalam satu-satu masa.

Ketika kami sampai, Along sedang solat Asar di surau. Usai solat, bergegas semula ke wad untuk melihat suami tercinta. Saya faham, kalau boleh Along tidak mahu meninggalkan Abang Wan walau sesaat. Sebelum masuk, sempat saya berjumpa sebentar dengan Along. Sedihnya hanya Tuhan yang tahu. Saya peluk erat Along, beri kata-kata semangat padanya. Along kata, dia redha. Biarlah dia pergi…

Berjujuran air mata saya. Tidak segan silu saya menangis berpelukan dengan Along. Ya Allah. Tabahkanlah dia Ya Allah. Semoga dia dapat menghadapi apa jua ketentuanMu Ya Allah.

Sampai giliran saya untuk masuk melihat keadaan Abang Wan. Ya Allah. Benar kata Mak. Sedih melihat keadaan Abang Wan. Sekali lagi saya menitiskan air mata. Wayar bertampal di sana sini di tubuh Abang Wan. Abang Wan bernafas dengan bantuan oksigen. Sesak sekali bunyi pernafasannya. Wajahnya sudah tidak berisi lagi. Tubuhnya sudah menampakkan tulang. Lain benar keadaannya ketika kali pertama saya melawat lebih kurang 3 minggu yang lalu.

Along tidak berhenti membisikkan kalimah “Allah” di telinganya. Tidak berhenti usapan kasih sayang Along di kepalanya. Along nampak sedih. Tetapi nampak dia menahan air mata dari menitis di depan Abang Wan. Mungkin dia tidak mahu Abang Wan bersedih melihat dia menangis.

Saya dengar Along bisikkan pada Abang Wan. “Abang, ikut dalam hati. Lailahaillallah…. Allah.. Allah.. sebut dalam hati sayang. Allah… Allah… Abang jangan takut… Abang jangan sedih…”

Saya tidak tahan mendengar bisikan Along. Perlahan…tetapi masih kedengaran walau saya duduk di hujung katil. Pantas saya berikan signal kepada Along untuk keluar. Saya rapatkan diri ke kepala Abang Wan. Hajat di hati ingin bisikkan padanya yang kami sekeluarga tidak berhenti mendoakan kesihatannya. Kami mahu dia cepat pulih. Tetapi saya hanya mampu berkata “saya doakan abang” sahaja… Itupun dalam suara yang terputus-putus. Tidak terluah kata-kata lain lantaran terlalu sedih. Saya salam Along dan terus keluar tanpa menoleh ke belakang lagi… Air mata berjujuran laju…

Saya khabarkan kepada adik-beradik yang lain di dalam group wassap mengenai keadaan Abang Wan. Mohon semua mendoakan yang terbaik untuknya. Sekiranya telah ditentukan usianya masih panjang, mohon semoga dia cepat pulih dan sihat seperti sedia kala. Sekiranya telah sampai ajalnya, mohon dipermudahkan urusannya dan diambil nyawanya dalam husnul khatimah. Mohon juga supaya semua mendoakan semoga Along kuat dan tabah menhadapi ujian Yang Maha Esa ini.

Tiada yang lebih baik untuknya di saat ini. Segala usaha telah dibuat. Hanya padaNya kami berdoa. Ya Allah, ampunkanlah dosanya. Permudahkanlah urusannya Ya Allah. Engkaulah sebaik-baik perancang, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMu. Sesungguhnya kami redha dengan ujian Mu ini.


Buat Along dan Abang Wan. Bertabahlah. InsyaAllah. Besar ganjaran yang menanti.