Sunday 19 October 2014

Hari ini aku menangis...

Teks: Rahimah bt Omar

Hari ini saya menangis... menangis dan meraung dalam hati setelah melihat bil elektrik yang melambung lebih 2 kali ganda daripada biasa. RM336.80 untuk sebulan dikira dari 11 sept sehingga 10 Oktober. Allahu Akbar! Di manalah silapnya ye. Apa yang kami sekeluarga buat sehingga bil naik mencanak-canak. Termenung sekejap memikirkan apa yang menyumbang kepada kenaikan bil elektrik bulan lepas.

Seingat saya, kami sekeluarga balik berpindah semula ke rumah pada 1 September 2014. Walaupun sudah balik semula ke rumah, namun tidak semua ruang kami gunakan. Kebanyakan masa kami sekeluarga duduk di ruang bawah. Baik siang mahupun malam. Tidak larat hendak turun naik selalu. Lebih-lebih lagi ada anak kecil ni, risau pula kalau mereka main di tangga. Sudahnya berkampung di ruang bawah sahaja lah.

Tiada kenduri-kendara yang kami anjurkan. Tetapi dalam tempoh sebulan yang lalu, keluarga sebelah saya dan suami kerap datang. Untuk tolong saya menjaga anak sementara saya mencari tempat yang sesuai. Memandangkan emak dan abah sudah berusia, mereka juga lebih gemar duduk di bawah. Hanya waktu tidur sahaja kadang-kadang abah akan naik tidur di bilik atas. Sakit badan katanya tidur beralaskan toto sahaja.

Pada waktu malam, hanya lampu luar dan satu lampu dapur sahaja yang dibuka. Sistem penggera keselamatan dibuka sepanjang masa seperti biasa. Sebelum ini begitu juga, tetapi tidaklah sebanyak ini bil elektriknya.

Rasanya jika dinisbahkan penggunaan ruang dan elektrik, sepatutnya dah boleh jimat elektrik. Tetapi manalah silapnya ye. Saya rasa ini berpunca dari penggunaan aircond yang berlebihan. Aircond yang kerap digunakan adalah aircond di ruang tamu. Horsepower 2.0. Aircond buka, kipas pun dibuka juga. Sudahnya kesejukan bila menjelang pagi.

Waktu siang juga aircond di ruang tamu di pasang sekiranya hari panas. Lebih-lebih lagi kalau suami ada di rumah. Berkuap katanya. Makin keraplah aircond dipasang.

Televisyen juga menyumpang kepada kenaikan bil elektrik bulan lepas. Mana tidaknya. Anak-anak menonton cerita kegemaran berulang-ulang kali sehinggakan tiada ruang untuk menonton berita semasa. Aleeya juga ketika itu masih belum dihantar ke taska. Kasihan atuk dan opah. Terpaksa menonton cerita Frozen, Monster University, Finding Nemo dan lain-lain berkali-kali. Dan ini jugalah yang menyumbang kepada kenaikan bil elektrik.

Hari ini sudah 20 haribulan. Tapi tidak mengapa. Masih sempat untuk mengamalkan langkah-langkah penjimatan untuk memastikan bil elektrik bulan ini tidak seperti bulan lepas. Tidak boleh tidak, penjimatan perlu dilakukan.

Langkah pertama telah diambil pagi tadi. Walaupun terlambat, sebelum keluar saya pastikan semua suis termasuk suis tv yang kebiasaannya dibiar dalam mode standby, ditutup.

InsyaAllah, kalau sentiasa beringat, saya pasti bil elektrik boleh dikurangkan walaupun tinggal berapa hari sahaja lagi bil baru akan dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment