Wednesday 7 January 2015

Misi Bantuan Banjir Terengganu/Kelantan

Teks: Rahimah Binti Omar

Masih dalam mood menyumbang untuk bantuan mangsa-mangsa banjir :)

Alhamdulillah, tahun 2014 yang baru melabuhkan tirai beberapa hari yang lalu banyak memberi keinsafan kepada kami sekeluarga. Suami yang kuat semangat berjaya melancarkan misi bantuan banjir tanpa bantuan saya. Saya hanya memberi sokongan dan membantu seadanya sahaja kerana kekangan masa dan kesibukan menguruskan kerja-kerja pejabat di akhir-akhir tahun.

Kali ini, walaupun pada asalnya tiada perancangan awal, sebanyak 2 trip misi bantuan banjir berjaya dilaksanakan. Pertama, trip ke sekitar Negeri Terengganu yang terlibat dengan banjir seperti Kemaman dan Dungun. Kedua adalah trip ke Negeri Kelantan seperti ke daerah Manik Urai, Dabong dan lain-lain kawasan yang terjejas teruk akibat musibah banjir yang tidak diduga.

Syukur kerana kali ini ramai yang menyumbang tenaga, wang dan barang-barang keperluan untuk diberikan kepada mangsa banjir. Tidak kurang juga yang memberi kebenaran menggunakan kenderan 4 wheel drive untuk mengangkut barang-barang sumbangan. Dengar-dengar warga ABDR juga mengutip sumbangan. Alhamdulillah. Masih ramai masyarakat yang prihatin dan penyayang.

Paling tidak disangka, ada beberapa orang yang tidak dikenali memberi sumbangan. Antaranya, seorang "Datin" memberi sumbangan RM1000, seorang bernama "Brandon" memberi sumbangan 100 helai baju tshirt baru dan 100 helai selimut baru, satu trip "Pak Haji" dari Segamat, Johor juga menyumbang tenaga dengan menyertai kumpulan suami sebagai sukarelawan. Along Lina juga berusaha keras mengumpul dana untuk menyediakan barang keperluan khusus untuk bayi.

Dalam pada itu, masih ada juga yang ingin menyumbang tenaga dan menyatakan dirinya sukarelawan, tetapi meminta ditaja kos pergi balik, makan serta penginapan. Allahuakbar, suami saya dan rakan-rakannya bukanlah mengikut mana-mana NGO. Usaha sendiri-sendiri sahaja. Manalah ada bajet untuk itu semua. Maaflah, golongan "sukarelawan" ini tidak diperlukan.

Rumah saya secara tiba-tiba menjadi 'bilik operasi' kerana kami tidak menyangka akan menerima banyak sumbangan. Sudahnya penuh rumah dengan barang-barang yang telah dikumpulkan. Anak-anak lah yang paling seronok berlari ke sana ke mari.

Terima kasih kepada para penyumbang tidak kira apa jua sumbangan yang diberikan. Along Lina, Mak Teh, Pak Teh, Mak Yang sekeluarga, adalah antara ahli keluarga yang turut sama membantu packing barang-barang sumbangan. Kerja yang nampak remeh, tetapi jika tidak diurus dengan betul, kelam kabut juga jadinya. Kalau buat seorang pun tidak berkesudahan juga.

Alhamdulillah, pemergian suami dan rakan-rakan diiringi doa-doa kami yang tidak dapat turut serta ke Kelantan. Perjalanan membawa sebuah amanah besar sumbangan orang ramai untuk disampaikan kepada yang memerlukan di sana.

Banyak pengalaman dan kisah sedih yang diceritakan kepada saya. Tidak mampu untuk diceritakan di sini. Lagipun suami yang pergi, bukan saya. Jadi, hanya dia sahaja yang layak menceritakan kisah-kisah sedih mangsa-mangsa banjir yang disaksikan sendiri olehnya.

Buat suami dan rakan-rakan sukarelawan serta mereka yang memberi sumbangan, hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa baik dan penat lelah kalian.Semoga usaha ini juga akan diteruskan pada masa akan datang. Amin.




No comments:

Post a Comment