Monday, 2 March 2015

Segalanya mungkin....

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Februari telah berlalu. Mac sudahpun mengambil tempat. Begitu cepat masa berlalu... Belum pun sempat merancang untuk bulan-bulan akan datang, tiba-tiba telah berlalu sebulan demi sebulan. Hinggalah akhir tahun menjelma.

Apalah yang dikeluhkan ni ye? Macam serius saja.

Sememangnya keputusan yang akan saya buat pada masa akan datang ini adalah sesuatu yang serius. Cuma saya perlu merancang masa depan saya dengan lebih bijak dan teratur supaya ia tidak membebankan mana-mana pihak terutama suami dan ahli keluarga yang lain.

Baru-baru ini saya telah berbincang dengan suami. Berbincang secara serius mengenai impian saya nan satu itu. Tahun depan Abang Khalis akan memasuki darjah satu. Bermakna lebih kurang 9 bulan sahaja lagi. Bukan masalah persiapan sekolah yang dibimbangkan, tetapi lebih kepada pengurusan anak-anak dan rumah tangga. 

Memang antara impian saya, apabila Khalis mula bersekolah saya berhajat untuk berhenti kerja. Supaya senang saya hantar dan ambil sendiri Khalis pergi dan balik sekolah. Supaya saya dapat memantau sendiri perkembangan pelajarannya. Supaya saya dapat menyediakan sarapan pagi yang halal dan baik untuk dia dan anak-anak lain. Itu impian saya yang sehingga kini masih belum dilaksanakan.

Sepatutnya rancangan untuk berhenti kerja ini sudah lama saya laksanakan. Tetapi lantaran tiada perbincangan secara serius dengan En. Suami, rancangan hanya tinggal angan-angan. Tetapi memandangkan Abang Khalis akan mula bersekolah tahun hadapan dan ditambah pula saya menguruskan anak-anak sendirian lantaran suami bertugas jauh, maka rancangan tersebut perlu difikirkan secara serius semula supaya kali ini ia betul-betul boleh dilaksanakan.

Tetapi, bukan senang untuk membuat keputusan. Kerana boleh dikatakan kami sekeluarga berada dalam zone selesa sekarang di mana serba serbi InsyaAllah cukup. Tidak mewah dan tidak pula kurang. Tetapi cukup untuk membeli apa-apa yang dihajati. Alhamdulillah, syukur atas semua nikmat.

Apabila merancang untuk berhenti, banyak benda perlu difikirkan. Komitmen saya sendiri juga banyak. Apabila berhenti, semua perlu ditanggung oleh En. Suami. Adakah cukup perbelanjaan kami sekeluarga nanti. Perancangan rapi perlu dibuat supaya kami tidak terkejut dengan perubahan mendadak terutama dari aspek perbelanjaan keluarga. 

Syukur juga kami bukanlah jenis ibubapa yang berbelanja besar untuk anak-anak. Bukan juga jenis mengikut kemahuan anak-anak. Beli apa yang perlu. Tetapi kalau setakat makanan yang diinginkan, kami tidak kisah asalkan ia makanan yang baik dan menyihatkan.

Sebelum berhenti kerja, saya dan juga suami perlu juga mencari dan menimba ilmu sebagai persediaan menghadapi bersama ujian-ujian yang bakal ditempuhi selepas ini. Walaupun saya seorang yang berhenti kerja, namun suami juga perlu mempunyai ilmu supaya boleh sentiasa memberi sokongan dan dorongan kepada saya yang bakal menjadi suri rumah sepenuh masa. 

Apa pun, rancangan rapi perlu dibuat. Tidak boleh membuat keputusan mendadak. Semuanya perlu disusun elok supaya kami tidak cepat melatah apabila menghadapi sebarang ujian pada masa akan datang.

Ya Allah, permudahkanlah urusan kami. Kuatkanlah semangat kami. Tetapkan lah pendirian kami. Luruskanlah jalan kami.

Semoga rancangan kami berjalan lancar dan berjaya. InsyAllah. Amin. 

No comments:

Post a Comment