Monday, 23 February 2015

Selamat Hari Lahir 19 Februari

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dianugerahkan kesihatan dan nikmat hidup di usia yang semakin menginjak dewasa (tua ^_^) ini. Bersyukur juga kerana pada usia ini saya mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab dan menyayangi saya serta 4 orang cahaya mata penyeri hidup saya dan keluarga. 

Apa hadiah hari lahir saya? Usah ditanya kerana saya tidak pernah berharap dapat sesuatu daripada sesiapa. Encik Suami? Hahaha... Dia bukanlah jenis suami romantik yang memberi hadiah suprise di setiap ulang tahun kelahiran isteri. Ingat pun kadang-kadang dah sipi-sipi. Syukurlah isterinya ini bukan jenis yang cepat merajuk apabila hari lahirnya tidak diingati oleh orang tersayang . Romantiknya suamiku di tempat lain. Syukur dengan apa yang ada. Hehehe.

Saya tidak berharap mendapat hadiah daripada sesiapa. Tetapi saya selalu cuba untuk memberi hadiah kepada diri sendiri. Bukan hadiah berbentuk material, tetapi hadiah berbentuk pahala untuk diri sendiri. Banyak cara yang boleh dibuat. Contohnya, bersedekah makanan pada rakan-rakan. InsyaAllah, ramai yang akan mendoakan kebaikan kita. Itu lebih afdal bagi saya. Daripada menerima hadiah berbentuk material, tetapi habis dipakai begitu sahaja tanpa ada manfaat lain. Tetapi tak salah pun kalau nak memberi hadiah berbentuk material kepada diri sendiri. 

Tahun ini alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada saya untuk bersedekah di majlis ilmu dan tahlil di surau berdekatan rumah di kampung. Semoga saya mendapat redha Allah dan selalu dibukakan pintu hati untuk selalu berbuat baik dan amal jariah. 

Ini cara saya menyambut hari lahir saya. Di samping berdoa semoga Allah panjangkan usia saya di tahun-tahun akan datang dan disertakan dengan kesihatan yang baik, supaya saya dapat melihat anak-anak saya membesar, supaya saya dapat mendidik anak-anak saya menjadi anak-anak soleh dan solehah, supaya saya dapat menjadi isteri yang baik kepada suami saya. 

Alhamdulillah ala kulli hal. Cukup dengan rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami sekeluarga ya Allah. Syukur Alhamdulillah.

Selamat Hari Ulang Tahun ke 34 untuk diri sendiri ^_^ 

No comments:

Post a Comment