Monday, 23 February 2015

Cameron Highland


Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Dua minggu yang lalu tanpa dirancang, saya dan keluarga sebelah suami menghabiskan hujung minggu di Cameron Highland. Gara-gara anak-anak saya berebut makan strawberry yang dibeli oleh Opahnya di pasaraya, Pak Teh Emi terus memberi cadangan untuk ke Cameron Highland. Tak sangka, rupa-rupanya cadangan adhoc Emi terus dipersetujui oleh kami semua. Apalagi. Lepas sarapan kami terus bersiap-siap untuk mendaki ke Cameron Highland. Pukul 10.00 pagi bertolak dan sampai di sekitar jam 2.00 tengah hari selepas pit stop di beberapa hentian.

Sebenarnya, memang dah lama hendak ke Cameron Highland. Tapi bila dirancang seperti biasalah, ada saje aral melintang. Alhamdulillah, Sabtu tengah hari yang cerah, sampai juga kami ke Cameron Highland. Kami ikut laluan dari Simpang Pulai untuk elakkan jalan yang berlingkang lengkuk macam ular kena palu tu.

Agak risau dan seriau juga melalui jalan-jalan yang terlibat dengan tanah runtuh seperti yang dilaporkan dalam berita beberapa bulan lalu. Kerja-kerja pembinaan jalan masih sedang dijalankan. Syukur juga waktu kami sampai masih tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Kesan banjir di kawasan-kawasan terlibat juga masih kelihatan sedikit tetapi kebanyakan tempat sudah pun pulih sepenuhnya.

Star Regency Hotel & Apartment, Brinchang, Cameron Highland

Kami sekeluarga menginap di Star Regency Hotel & Apartment. Sebenarnya tak tahu nak bagi berapa bintang untuk Star Regency ni, tetapi memandangkan ia dekat dengan kemudahan seperti gerai makan, pasar malam, Cactus Valley dan lain-lain, maka kami menginap saje lah di situ. Lagipun hanya untuk semalam sahaja. Kami sewa apartmen 3 bilik berharga RM400 untuk satu malam. Apartment di Star Regency ini sangat luas. Ruang tamu dan ruang makannya yang luas boleh menempatkan 2 keluarga lagi. Tapi perlu membawa toto dan bantal tambahan. Tiada sarapan disediakan.

Secara keseluruhan, setakat untuk tempat tidur dan merehatkan badan bagi keluarga besar, bolehlah memilih Star Regency ini. Tetapi banyak juga hotel-hotel lain di sekitar kawasan ini. Jadi, jika datang pada hari bukan peak season, bolehlah walk in terus ke mana-mana hotel yang berdekatan dan buatlah pilihan yang dirasakan sesuai dengan bajet masing-masing.

Gerai-gerai sekitar Brinchang

Hari pertama sampai kami hanya berjalan-jalan di sekitar hotel sahaja. Memandangkan pergi pun tidak dirancang, dan cuaca pula agak sejuk, kami pergi berjalan-jalan di sekitar gerai-gerai di Brinchang untuk membeli baju sejuk, stoking dan sarung tangan untuk anak-anak. Boleh saya katakana harga baju sejuk di sini agak murah berbanding di Kuala Lumpur mahupun di Tangjung Malim. Coraknya juga pelbagai. Dengan RM25 saya boleh dapat sehelai sweater cantik dengan lambang superman dan kain yang berkualiti untuk Khalis dan Iman. Aleeya seperti biasa, karakter Frozen jadi pilihan. Baby Eicha hanya dapat sehelai sweater biasa sahaja memandangkan design untuk baby sangat terhad.

Mama dan Papanya tidak membeli baju sejuk atau stoking sebab bajet-bajet boleh tahan sejuk. Sekali tu, suhu pada malam itu mencecah 15° Celsius. Menggigil Mama dan Papa ^_^

Pada mulanya berhajat untuk ke ladang strawberry dan nak bagi anak-anak mengalami pengalaman memetik strawberry sendiri. Tetapi disebabkan entrance fee untuk memetik sendiri strawberry agak mahal iaitu RM50 untuk 4 orang dan untuk sekilo strawberry dan rata-rata ladang strawberry mengenakan charge yang lebih kurang sama, maka kami batalkan dulu rancangan tersebut. Mak kata ada tempat yang lagi murah. Memandangkan hari juga sudah semakin petang, kami sekadar bersiar-siar di sekitar kawasan Brinchang dan Tanah Rata sahaja.


Kampung Taman Sedia, Tanah Rata

Di Tanah Rata terdapat satu perkampungan melayu iaitu Kampung Taman Sedia. Kalau ke Cameron Highland, saya cadangkan singgahlah sebentar di kawasan kampung melayu ini untuk melihat keindahan dan ketenangan suasana kampung di kawasan tanah tinggi ini. Yang menarik perhatian saya, ada rumah-rumah yang mempunyai reka bentuk yang cantik seperti English Cottage. Banyak juga homestay di sekitar kawasan ini. Mungkin untuk trip yang akan datang kami akan cuba menginap di kampung ini pula.

Sambil bersiar-siar, ternampak pula signboard ke ladang strawberry yang boleh dipetik sendiri dengan harga yang berpatutan dan jauh lebih murah dari tempat yang kami pergi sebelum itu. Jadinya, kami merancang untuk ke sini semula pada hari esoknya.  

Pasar Malam

Di sebelah malam, kami ke Pasar Malam Cameron Highland tidak jauh dari hotel. Hanya berjalan kaki sahaja. Yang paling seronok di pasar malam ini adalah apabila melihat sayur-sayuran yang segar. Bagi sesiapa yang nak makan strawberry dan coklat, memang boleh makan sampai puas dan kenyanglah di sini. Harga strawberry juga lebih murah jika dibandingkan dengan harga jualan di kedai-kedai tepi jalan sepanjang jalan naik ke Brinchang. Cuma terpulang kepada pembeli untuk memilih yang segar-segar. Coklat juga dijual dengan harga RM5 sebekas kecil.

Di pasar malam ini, saya membeli sedikit sayur-sayuran, ubi keledek madu dan jagung. Ubi keledek ini sedap direbus. Rasanya lemak manis. Jagungnya juga segar dan besar-besar. Geram. Kalau ikutkan hati, macam-macam jenis sayur nak dibeli. Tetapi mengenangkan hanya saya seorang saje yang makan sayur di rumah, dan masak pun bukan selalu, maka saya beli sekadarnya sahajalah.

Beli juga sedikit makanan untuk makan malam. Makan malam hanya di bilik hotel sahaja memandangkan cuaca amat sejuk. Semua orang pun malas nak makan di luar.   

Opah Strawberries and Jam’s

Pagi Ahad, selepas sarapan pagi di Tanah Rata, kami sekeluarga menuju ke Kampung Taman Sedia untuk mencari ladang atau kebun strawberry yang boleh dipetik sendiri dengan harga yang berpatutan. Akhirnya kami berhenti di Opah Strawberries and Jam's ini. Jam baru pukul 8.30 pagi tapi kebun telahpun dibuka untuk lawatan. Harga di sini adalah RM35 sekilo tidak kira berapa orang yang masuk. Jika sekadar masuk untuk tengok-tengok sahaja tiada cahrge yang akan dikenakan. Jika bawa anak-anak, pastikan ada orang dewasa yang memantau aktiviti memetik strawberi bagi memastikan pokok-pokok strawberry terpelihara. Strawberry yang telah dipetik akan ditimbang apabila keluar dari kebun.

Seronok saya tengok anak-anak bergembira sambil memetik strawberry. Ini pengalaman pertama anak-anak melihat dan memetik sendiri buah strawberry dari pokoknya. Sebenarnya kebun ini adalah milik seorang makcik ataupun lebih dikenali sebagai Opah. Kebun yang dibuat sendiri di belakang dan sekitar rumahnya. Sangat cantik. 

Di sini, bukan sahaja ada kebun strawberry, tetapi ada juga kiosk kecik menjual produk-produk berasaskan strawberry seperti strawberry jam, strawberry lolly pop, teh strawberry, scon strawberry, aiskrim strawberry dan lain-lain lagi. Ha, jangan terkejut. Ada tau orang beli aiskrim tu walaupun cuaca sejuk. 
   


Starwberry yang menggiurkan :)

Opah Strawberries and Jam's.

Anak-anak yang gumbira ^_^


Menikmati loly pop and fresh strawberry.


Cameron Lavender

Selepas ke kebun Stawberry, kami ke Cameron Lavender pula. Tempat ini adalah antara tarikan baru di Cameron Highland. Tiket masuk berharga RM5 untuk dewasa. Kanak-kanak saya tidak pasti pula sebab ada orang belanja tiket masuk ^_^

Tempat ini sangat cantik. Kebun pelbagai jenis bunga-bungaan yang segar dan berwarna-warni. Lanskapnya juga sangat menarik. Tapi sayang, saya tak dapat nak menikmati keindahan kebun bunga ini sebab Iman meragam nak beli mainan. 

Cameron Lavender

Happy Family :)
Habis berjalan-jalan di Cameron Lavender, kami balik ke hotel dan bersiap-siap untuk pulang ke Tanjung Malim. Sebelum balik, sempat singgah di Restoran Ar-Raudhah, restoran nasi arab di Tanah Rata. Boleh tahan juga nasi arab di sini. Kebetulan memang tengah lapar. Semua pun sedap. 

Perjalanan pulang kami turun ikut laluan Tapah. Semua lena tidur dalam kekenyangan. Kasihan driver, terpaksa bersengkang mata menuruni jalan berbukit. Alhamdulillah selamat sampai di Tanjung Malim sekitar jam 4.00 petang.

Walaupun percutian singkat ini asalnya tidak dirancang, namun ia sangat bermakna lebih-lebih lagi apabila dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan orang tersayang. Bukan selalu pun. Apabila dirancang selalu tidak menjadi. Sesekali buat plan ad hoc macam memang pasti jadi. Keluarga 69, memang macam ini lah. Yang penting anak-anak gembira dan sihat.

Entah bila akan sampai ke sini lagi kami tidak tahu. Saya dan suami merancang untuk bawa emak ke Cameron Highland. Emak tidak pernah sampai ke sini lagi. Saja nak bagi emak seronok.

Jika ada kesempatan lagi, saya akan datang membuat lawatan ke tempat-tempat menarik yang lain pula. Plan akan datang, ke Hutan Lipur Mossy pula ye. Insyaallah.

1 comment: