Monday 23 February 2015

Selamat Hari Lahir 19 Februari

Teks: Rahimah Binti Omar

Alhamdulillah, Alhamdulillah, Alhamdulillah. Syukur ke hadrat Ilahi kerana masih dianugerahkan kesihatan dan nikmat hidup di usia yang semakin menginjak dewasa (tua ^_^) ini. Bersyukur juga kerana pada usia ini saya mempunyai seorang suami yang bertanggungjawab dan menyayangi saya serta 4 orang cahaya mata penyeri hidup saya dan keluarga. 

Apa hadiah hari lahir saya? Usah ditanya kerana saya tidak pernah berharap dapat sesuatu daripada sesiapa. Encik Suami? Hahaha... Dia bukanlah jenis suami romantik yang memberi hadiah suprise di setiap ulang tahun kelahiran isteri. Ingat pun kadang-kadang dah sipi-sipi. Syukurlah isterinya ini bukan jenis yang cepat merajuk apabila hari lahirnya tidak diingati oleh orang tersayang . Romantiknya suamiku di tempat lain. Syukur dengan apa yang ada. Hehehe.

Saya tidak berharap mendapat hadiah daripada sesiapa. Tetapi saya selalu cuba untuk memberi hadiah kepada diri sendiri. Bukan hadiah berbentuk material, tetapi hadiah berbentuk pahala untuk diri sendiri. Banyak cara yang boleh dibuat. Contohnya, bersedekah makanan pada rakan-rakan. InsyaAllah, ramai yang akan mendoakan kebaikan kita. Itu lebih afdal bagi saya. Daripada menerima hadiah berbentuk material, tetapi habis dipakai begitu sahaja tanpa ada manfaat lain. Tetapi tak salah pun kalau nak memberi hadiah berbentuk material kepada diri sendiri. 

Tahun ini alhamdulillah, Allah beri kesempatan kepada saya untuk bersedekah di majlis ilmu dan tahlil di surau berdekatan rumah di kampung. Semoga saya mendapat redha Allah dan selalu dibukakan pintu hati untuk selalu berbuat baik dan amal jariah. 

Ini cara saya menyambut hari lahir saya. Di samping berdoa semoga Allah panjangkan usia saya di tahun-tahun akan datang dan disertakan dengan kesihatan yang baik, supaya saya dapat melihat anak-anak saya membesar, supaya saya dapat mendidik anak-anak saya menjadi anak-anak soleh dan solehah, supaya saya dapat menjadi isteri yang baik kepada suami saya. 

Alhamdulillah ala kulli hal. Cukup dengan rezeki yang Engkau kurniakan kepada kami sekeluarga ya Allah. Syukur Alhamdulillah.

Selamat Hari Ulang Tahun ke 34 untuk diri sendiri ^_^ 

Puding Roti Coklat Marble

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum. wbt.

Lama sudah saya tidak update ruang masakan saya ni. Hehehe. Masakan yang tidak seberapa tetapi menjadi sumber rujukan saya dan mungkin anak-anak saya juga pada masa akan datang. 

Sebenarnya resepi Puding Roti Coklat Marble ini sudah lama saya cuba. Alhamdulillah menjadi dan sangat sedap. Saya katakan ia sedap kerana mak saya sangat menggemari puding ini. Kebetulan, mak dan mokde datang ke rumah pada masa itu. Jadi, saya hidangkan dengan puding roti marble ini. Mak saya bukan jenis yang suka makan pencuci mulut ni. Jadi, bila pencuci mulut yang dihidangkan kena dengan citarasanya, berseleralah mak makan.

Inilah dia gambar puding roti marble yang saya buat tempoh hari. Tak berapa menjadi sangat marble nya tu. Sebab pembahagian antara adunan berwarna putih/krim dengan adunan coklat tidak sama banyak. Tambahan, acuan yang digunakan juga kurang sesuai. Lain kali tahulah saya, kalau nak buat corak marble, lebih sesuai menggunakan acuan loyang biasa berbetuk segi empat atau bulat.


Tangan Iman yang x sabar nak makan puding roti marble ^-^
Di sini saya kongsikan resepi puding roti coklat marble ini untuk rujukan. 

Puding Roti Coklat Marble

4 keping roti

2 biji telur

1/2 cawan susu pekat

170 ml susu cair

10 grm serbuk agar-agar (*saya guna agar-agar biasa separuh peket)

1/2 cawan gula

2 sudu besar butter @ marjerin (cairkan) 
(*saya tak cairkan tetapi blendkan sekali dengan roti)

3 1/2 cawan air

2 sudu besar serbuk koko @ coklat emulco

* saya campurkan sedikit esen vanilla.

Cara-cara:

  1. Didihkan 3 cawan air, serbuk agar-agar dan gula dalam periuk.Kacau rata.
  2. Blend roti, telur, susu pekat, susu cair dan balance air tadi. Kemudian masukkan ke dalam periuk agar-agar yang telah dididihkan tadi. 
  3. Bahagikan adunan kepada 2. Satu adunan warna asal, satu adunan dicampurkan serbuk koko @ choc emulco. Bancuh dahulu serbuk koko supaya tidak bergentel atau berbiji-biji.
  4. Sediakan loyang atau acuan yang bersesuaian. Sendukkan satu adunan putih dan tuangkan di tengah-tengah loyang. Kemudian diikuti dengan sesenduk adunan warna coklat. Tuang di atas adunan putih tadi. Ulang sehingga habis adunan tadi. Tidak perlu ratakan atau kacau aduan. Biarkan adunan bergerak sendiri.Teknik ini akan menjadikan puding bercorak marble.
  5. Dah siap, bolehlah disimpan dalam peti sejuk sekurang-kurangnya sejam.

Resepi ini saya dapat dari facebook Cara Senang Buat Kek.. InsyaAllah, yang baru firts time buat pun akan menjadi sebab ia sangat mudah. 

Selamat mencuba ^_^




Cameron Highland


Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Dua minggu yang lalu tanpa dirancang, saya dan keluarga sebelah suami menghabiskan hujung minggu di Cameron Highland. Gara-gara anak-anak saya berebut makan strawberry yang dibeli oleh Opahnya di pasaraya, Pak Teh Emi terus memberi cadangan untuk ke Cameron Highland. Tak sangka, rupa-rupanya cadangan adhoc Emi terus dipersetujui oleh kami semua. Apalagi. Lepas sarapan kami terus bersiap-siap untuk mendaki ke Cameron Highland. Pukul 10.00 pagi bertolak dan sampai di sekitar jam 2.00 tengah hari selepas pit stop di beberapa hentian.

Sebenarnya, memang dah lama hendak ke Cameron Highland. Tapi bila dirancang seperti biasalah, ada saje aral melintang. Alhamdulillah, Sabtu tengah hari yang cerah, sampai juga kami ke Cameron Highland. Kami ikut laluan dari Simpang Pulai untuk elakkan jalan yang berlingkang lengkuk macam ular kena palu tu.

Agak risau dan seriau juga melalui jalan-jalan yang terlibat dengan tanah runtuh seperti yang dilaporkan dalam berita beberapa bulan lalu. Kerja-kerja pembinaan jalan masih sedang dijalankan. Syukur juga waktu kami sampai masih tidak banyak kenderaan yang lalu lalang. Kesan banjir di kawasan-kawasan terlibat juga masih kelihatan sedikit tetapi kebanyakan tempat sudah pun pulih sepenuhnya.

Star Regency Hotel & Apartment, Brinchang, Cameron Highland

Kami sekeluarga menginap di Star Regency Hotel & Apartment. Sebenarnya tak tahu nak bagi berapa bintang untuk Star Regency ni, tetapi memandangkan ia dekat dengan kemudahan seperti gerai makan, pasar malam, Cactus Valley dan lain-lain, maka kami menginap saje lah di situ. Lagipun hanya untuk semalam sahaja. Kami sewa apartmen 3 bilik berharga RM400 untuk satu malam. Apartment di Star Regency ini sangat luas. Ruang tamu dan ruang makannya yang luas boleh menempatkan 2 keluarga lagi. Tapi perlu membawa toto dan bantal tambahan. Tiada sarapan disediakan.

Secara keseluruhan, setakat untuk tempat tidur dan merehatkan badan bagi keluarga besar, bolehlah memilih Star Regency ini. Tetapi banyak juga hotel-hotel lain di sekitar kawasan ini. Jadi, jika datang pada hari bukan peak season, bolehlah walk in terus ke mana-mana hotel yang berdekatan dan buatlah pilihan yang dirasakan sesuai dengan bajet masing-masing.

Gerai-gerai sekitar Brinchang

Hari pertama sampai kami hanya berjalan-jalan di sekitar hotel sahaja. Memandangkan pergi pun tidak dirancang, dan cuaca pula agak sejuk, kami pergi berjalan-jalan di sekitar gerai-gerai di Brinchang untuk membeli baju sejuk, stoking dan sarung tangan untuk anak-anak. Boleh saya katakana harga baju sejuk di sini agak murah berbanding di Kuala Lumpur mahupun di Tangjung Malim. Coraknya juga pelbagai. Dengan RM25 saya boleh dapat sehelai sweater cantik dengan lambang superman dan kain yang berkualiti untuk Khalis dan Iman. Aleeya seperti biasa, karakter Frozen jadi pilihan. Baby Eicha hanya dapat sehelai sweater biasa sahaja memandangkan design untuk baby sangat terhad.

Mama dan Papanya tidak membeli baju sejuk atau stoking sebab bajet-bajet boleh tahan sejuk. Sekali tu, suhu pada malam itu mencecah 15° Celsius. Menggigil Mama dan Papa ^_^

Pada mulanya berhajat untuk ke ladang strawberry dan nak bagi anak-anak mengalami pengalaman memetik strawberry sendiri. Tetapi disebabkan entrance fee untuk memetik sendiri strawberry agak mahal iaitu RM50 untuk 4 orang dan untuk sekilo strawberry dan rata-rata ladang strawberry mengenakan charge yang lebih kurang sama, maka kami batalkan dulu rancangan tersebut. Mak kata ada tempat yang lagi murah. Memandangkan hari juga sudah semakin petang, kami sekadar bersiar-siar di sekitar kawasan Brinchang dan Tanah Rata sahaja.


Kampung Taman Sedia, Tanah Rata

Di Tanah Rata terdapat satu perkampungan melayu iaitu Kampung Taman Sedia. Kalau ke Cameron Highland, saya cadangkan singgahlah sebentar di kawasan kampung melayu ini untuk melihat keindahan dan ketenangan suasana kampung di kawasan tanah tinggi ini. Yang menarik perhatian saya, ada rumah-rumah yang mempunyai reka bentuk yang cantik seperti English Cottage. Banyak juga homestay di sekitar kawasan ini. Mungkin untuk trip yang akan datang kami akan cuba menginap di kampung ini pula.

Sambil bersiar-siar, ternampak pula signboard ke ladang strawberry yang boleh dipetik sendiri dengan harga yang berpatutan dan jauh lebih murah dari tempat yang kami pergi sebelum itu. Jadinya, kami merancang untuk ke sini semula pada hari esoknya.  

Pasar Malam

Di sebelah malam, kami ke Pasar Malam Cameron Highland tidak jauh dari hotel. Hanya berjalan kaki sahaja. Yang paling seronok di pasar malam ini adalah apabila melihat sayur-sayuran yang segar. Bagi sesiapa yang nak makan strawberry dan coklat, memang boleh makan sampai puas dan kenyanglah di sini. Harga strawberry juga lebih murah jika dibandingkan dengan harga jualan di kedai-kedai tepi jalan sepanjang jalan naik ke Brinchang. Cuma terpulang kepada pembeli untuk memilih yang segar-segar. Coklat juga dijual dengan harga RM5 sebekas kecil.

Di pasar malam ini, saya membeli sedikit sayur-sayuran, ubi keledek madu dan jagung. Ubi keledek ini sedap direbus. Rasanya lemak manis. Jagungnya juga segar dan besar-besar. Geram. Kalau ikutkan hati, macam-macam jenis sayur nak dibeli. Tetapi mengenangkan hanya saya seorang saje yang makan sayur di rumah, dan masak pun bukan selalu, maka saya beli sekadarnya sahajalah.

Beli juga sedikit makanan untuk makan malam. Makan malam hanya di bilik hotel sahaja memandangkan cuaca amat sejuk. Semua orang pun malas nak makan di luar.   

Opah Strawberries and Jam’s

Pagi Ahad, selepas sarapan pagi di Tanah Rata, kami sekeluarga menuju ke Kampung Taman Sedia untuk mencari ladang atau kebun strawberry yang boleh dipetik sendiri dengan harga yang berpatutan. Akhirnya kami berhenti di Opah Strawberries and Jam's ini. Jam baru pukul 8.30 pagi tapi kebun telahpun dibuka untuk lawatan. Harga di sini adalah RM35 sekilo tidak kira berapa orang yang masuk. Jika sekadar masuk untuk tengok-tengok sahaja tiada cahrge yang akan dikenakan. Jika bawa anak-anak, pastikan ada orang dewasa yang memantau aktiviti memetik strawberi bagi memastikan pokok-pokok strawberry terpelihara. Strawberry yang telah dipetik akan ditimbang apabila keluar dari kebun.

Seronok saya tengok anak-anak bergembira sambil memetik strawberry. Ini pengalaman pertama anak-anak melihat dan memetik sendiri buah strawberry dari pokoknya. Sebenarnya kebun ini adalah milik seorang makcik ataupun lebih dikenali sebagai Opah. Kebun yang dibuat sendiri di belakang dan sekitar rumahnya. Sangat cantik. 

Di sini, bukan sahaja ada kebun strawberry, tetapi ada juga kiosk kecik menjual produk-produk berasaskan strawberry seperti strawberry jam, strawberry lolly pop, teh strawberry, scon strawberry, aiskrim strawberry dan lain-lain lagi. Ha, jangan terkejut. Ada tau orang beli aiskrim tu walaupun cuaca sejuk. 
   


Starwberry yang menggiurkan :)

Opah Strawberries and Jam's.

Anak-anak yang gumbira ^_^


Menikmati loly pop and fresh strawberry.


Cameron Lavender

Selepas ke kebun Stawberry, kami ke Cameron Lavender pula. Tempat ini adalah antara tarikan baru di Cameron Highland. Tiket masuk berharga RM5 untuk dewasa. Kanak-kanak saya tidak pasti pula sebab ada orang belanja tiket masuk ^_^

Tempat ini sangat cantik. Kebun pelbagai jenis bunga-bungaan yang segar dan berwarna-warni. Lanskapnya juga sangat menarik. Tapi sayang, saya tak dapat nak menikmati keindahan kebun bunga ini sebab Iman meragam nak beli mainan. 

Cameron Lavender

Happy Family :)
Habis berjalan-jalan di Cameron Lavender, kami balik ke hotel dan bersiap-siap untuk pulang ke Tanjung Malim. Sebelum balik, sempat singgah di Restoran Ar-Raudhah, restoran nasi arab di Tanah Rata. Boleh tahan juga nasi arab di sini. Kebetulan memang tengah lapar. Semua pun sedap. 

Perjalanan pulang kami turun ikut laluan Tapah. Semua lena tidur dalam kekenyangan. Kasihan driver, terpaksa bersengkang mata menuruni jalan berbukit. Alhamdulillah selamat sampai di Tanjung Malim sekitar jam 4.00 petang.

Walaupun percutian singkat ini asalnya tidak dirancang, namun ia sangat bermakna lebih-lebih lagi apabila dapat meluangkan masa dengan anak-anak dan orang tersayang. Bukan selalu pun. Apabila dirancang selalu tidak menjadi. Sesekali buat plan ad hoc macam memang pasti jadi. Keluarga 69, memang macam ini lah. Yang penting anak-anak gembira dan sihat.

Entah bila akan sampai ke sini lagi kami tidak tahu. Saya dan suami merancang untuk bawa emak ke Cameron Highland. Emak tidak pernah sampai ke sini lagi. Saja nak bagi emak seronok.

Jika ada kesempatan lagi, saya akan datang membuat lawatan ke tempat-tempat menarik yang lain pula. Plan akan datang, ke Hutan Lipur Mossy pula ye. Insyaallah.

Wednesday 4 February 2015

Kutu

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Sudah hampir seminggu tidak menjenguk blog ini. Akhir-akhir ini agak sibuk. Ditambah cuti sakit selama 2 hari gara-gara allergik yang datang secara tiba-tiba. Tak tahu apa puncanya. Tergaru-garu je lah kerjanya. Hehehe.

Cuti panjang sempena Hari Wilayah dan Hari Thaipusam juga tidak ke mana. Encik Suami ada workshop di Gambang. Malas pula nak ikut sebab nanti kena hantar saya dan anak-anak balik ke rumah dahulu dan kemudian patah balik ke Kerteh. Kasihan pula. Tak sampai hati. Sudahnya memerap di rumah sahaja lah dengan anak-anak.

Sebab dah takde aktiviti nak buat, Mama layankan kehendak si tuan puteri Yaya untuk tocang rambut. Sedang menyikat, ternampak pula 3 ekor kutu sedang bermesyuarat di atas kulit kepala Yaya. Terkejut Mama dibuatnya. Tak pernah kena jangkit kutu, tetiba banyak kutu plak. Aduhai sayang. Dari manalah dapat kutu ni. 

Apalagi, baki 2 hari cuti mama gunakan sebaik-baiknya untuk merawat kepala Yaya supaya bebas kutu. Buat juga sport check di kepala Abang Khalis, Iman dan Baby Eecha. Hasilnya, memang semua berkutu. Cuma tidak sebanyak di kepala Yaya. 

Mama beli syampu berubat untuk menyahkan kutu di farmasi. Beli yang ada free gift sikat kutu and cermin kanta pembesar. Selain syampu, sikat kutu ni agak berguna juga. Sesuai untuk rambut pendek macam Abang Khalis, Iman dan Baby. Sekali sikat, terkeluar semua kutu, baik ibu kutu, bapak kutu, anak kutu hingga ke telur kutu. Tapi untuk Yaya agak tidak sesuai sebab rambut Yaya dah panjang. 

2 hari di rumah mama operasi kepala Abang Khalis, Iman, Yaya dan Baby. Alhamdulillah, kepala yang 3 orang kecuali Yaya hampir 95% bebas kutu. Yaya agak susah sebab dia tak mahu disikat guna sikat kutu tu. Menangis-nangis. Siap berkejar-kejar lagi dengan dia. Mama ni dok geram tengok kutu atas kepala dia tu. Dia plak dok sibuk lari nak nyorok dari mama. Alahai Yaya. 

Sudahnya, 2 hari operasi, kepala Yaya masih dihantui kutu-kutu rayau. Mama masih ternampak-nampak mak-mak kutu bersidang di atas kepala tu. Semalam nekad potong rambut Yaya walaupun ada sedikit rasa sayang untuk potong rambut Yaya yang cantik tu. Sebenarnya Mama tak pandai potong rambut pun. Tapi sebab rambut Yaya ni agak banyak dan tebal, maka kalau tak sama rata tu takde la nampak sangat. Hehehe..

Malam ni pakat dengan Papa nak operasi rambut Yaya. Sebab dah pendek bolehlah guna sikat kutu tu secara efektif. Jagalah kau kutu. Selamat lah engkau nanti. 

Dulu kawan sepejabat pernah bagitau, terdapat satu saloon khas untuk kutu di sekitar Bangsar yang memang membuat rawatan kutu. Yang bestnya, kena buat appointment dulu sebab customernya terlalu ramai dan sentiasa penuh setiap hari. Ye la. Sekali rawatan mahu satu jam masa yang diambil paling kurang pun. 

Mama buat sendiri je lah nak oi. Selagi Mama mampu.

Tapi syampu mama beli tu macam takde kesan pulak kat kepala Yaya ni. Hmm... Kalau tak ok juga, kena survey ubat kutu atau kaedah lain pula.

Tetiba terasa gatal-gatal plak kepala Mama ni....macam ada benda merayap pun ada jugak... Adeh...