Tuesday 30 September 2014

Kek Batik

Teks: Rahimah binti Omar

Kek batik adalah antara kek yang paling mudah untuk disediakan. Kek batik jugalah merupakan kek pertama yang saya belajar buat semasa zaman persekolahan lagi. Mungkin bagi yang pakar, apalah sangat untuk membuat kek batik ini. Kacang sahaja. Tetapi untuk saya, ada kisah di sebalik kek batik ini.

Semasa saya bercuti panjang selepas SPM, saya bekerja di kilang sarung tangan berdekatan dengan rumah. Supervisor saya adalah orang kampung saya juga. Kalau tidak silap, kak Mas namanya. Kisah sudah lama, nama pun sudah lupa :)

Suatu hari ketika bersembang-sembang dengan kak Mas, dia menyuarakan keinginan untuk belajar membuat kek kerana selama ini memang tidak pernah menjadi kek-kek yang dibuatnya. Hinggakan suaminya pun tidak menggalakkan dia membuat apa-apa kek atau biskut lagi kerana pastinya tidak menjadi. Jadi, saya cadangkan padanya untuk membuat kek batik kerana kek ini sangat mudah disediakan dan bahan-bahannya juga senang diperoleh. Tidak perlu mesin pengadun, spatula, ketuhar atau lain-lain peralatan memasak kek.

Bersemangat, kak Mas terus menyalin resepi dan cara-cara penyediaannya. Saya layan sahajalah. Tidak pula menyangka yang dia benar-benar serius untuk menyediakan kek tersebut.

Keesokan harinya, pagi-pagi lagi kak Mas memanggil saya. Ingatkan kenapa. Rupa-rupanya ditunjukkan pada saya sebekas kek batik yang telah dipotong kecil hasil air tangannya sendiri. Lebar sungguh senyumannya. Akhirnya menjadi.

Panjang lebar kak Mas bercerita mengenai kisah dia menyediakan kek batik itu. Betapa kelam kabut dapur dibuatnya. Bersepah sana sini dengan bahan-bahan yang tidak seberapa itu. Suaminya juga tidak menyangka yang akhirnya kek tersebut menjadi. Dan yang paling penting suaminya memuji sedap. Mungkin suaminya tidak pernah makan kek batik sebelum ini :)

Yang seronoknya, kak Mas terus bersemangat untuk mencuba memasak kek lain pula. Siap sudah ada rancangan hendak buat lagi kek batik untuk dibawa ke rumah adiknya di Kuala Lumpur. Saya juga tumpang seronok kerana dapat berkongsi sedikit ilmu dengan kak Mas walaupun hanya kek batik sahaja.

Walaupun ringkas, namun tidak semua orang boleh berjaya membuat kek ini jika tiada kesungguhan. Yang penting berani mencuba dan keikhlasan untuk memasak itu yang akan menjadikan masakan kita sedap dan menyelerakan.

Jom saya kongsikan resepi kek batik versi saya sendiri. Ringkas, mudah dan sedap. Boleh disediakan untuk ahli keluarga atau jamuan minum petang.

Kek Batik

Milo (1 paket kecil)
Serbuk koko (anggaran 2 sudu untuk menambah rasa coklat)
Susu pekat (1 tin)
Mentega (1 buku) atau planta
Biskut Merrie

Cara-caranya:

1-Panaskan kuali. Pastikan kuali yang digunakan adalah sederhana besar untuk memudahkan proses mengacau bahan-bahan nanti.

2- Cairkan mentega, masukkan milo, serbuk koko dan susu. Gaul rata sehingga sebati.

3- Masukkan biskut merrie yang telah dipatah empat. Gaul sehingga rata.

4- Masukkan biskut yang telah digaul rata tadi dalam bekas seperti loyang atau bekas kek. Jika boleh, alaskan dengan kertas minyak untuk memudahkan proses mengeluarkan kek dari loyang nanti. Tekan secara rata untuk memastikan ia membentuk seperti sebiji kek.

5- Kek batik sudah siap. Sejukkan sebentar di dalam peti sejuk. Kemudian bolehlah dipotong dan dihidangkan untuk ahli keluarga.

Maaflah tiada gambar untuk menunjukkan kelazatan kek batik ini. Tetapi mudah sahajakan cara penyediaannya. Bagi mereka yang baru berjinak-jinak dalam dunia masakan kek, bolehlah mencuba resepi ini sebagai langkah permulaan.

Selamat mencuba!




No comments:

Post a Comment