Friday 26 June 2015

Tips Jimat Belanja Menjelang Hari Raya

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah, pejam celik, pejam celik... dah pun 9 Ramadhan hari ini. Syukur kerana masih berada dalam bulan yang mulia ini.

Semalam, kakitangan Kerajaan semua dah masuk gaji kan. Amboi! Senyum sampai ke telinga masing-masing. Hari ini office kosong tengah hari gara-gara semua pakat keluar shopping raya. Hujung minggu ni pula mesti penuh pusat membeli belah.

Sebelum keluar bershopping sakan tu, Kak Tam nak tanya. Dah bayar ke segala benda yang wajib bayar? Hutang piutang dan komitmen bulanan? Jangan nanti duit dah habis dibelanja baru terfikir nak bayar hutang. Walaupun bulan Julai nanti gaji masuk awal bulan, jimat cermat perlu diamalkan sebagai persediaan menghadapi tempoh lebih kurang 56 hari untuk gaji yang seterusnya.  

Hari ini Kak Tam nak kongsi tips-tips perbelanjaan berhemah di bulan perayaan ini. Kebetulan hari Isnin yang lalu Kak Tam berkesempatan menonton rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3. Topik yang dibincangkan memang sangat sesuai. Berkisar mengenai apa yang sepatutnya dibeli dan apa yang tak patut dibeli bagi tujuan menyambut sesuatu perayaan. Tapi Kak Tam minta maaf dulu sebab tak ingat nama tetamu jemputan MHI tersebut. Individu ini merupakan seorang pakar kewangan.

Kuih Raya

Kak Tam highlight kan kuih raya ni dulu sebab ini antara cerita paling menarik yang dikongsikan oleh tetamu MHI itu. Kata beliau, kuih raya tidak penting untuk hari raya. Sudah beberapa tahun rumahnya tidak menyediakan atau menghidangkan kuih raya kepada tetamu. Kalau ada pun, ia adalah saki baki kuih yang dibeli untuk dimakan sepanjang bulan Ramadhan kerana teringin. 

Apabila tetamu masuk ke rumah, beliau awal-awal lagi telah maklumkan pada tetamu bahawa rumahnya tidak menyediakan kuih raya. Respon yang diterima setiap kali memberitahu perkara tersebut kepada tetamu - hampir semua mengucapkan syukur Alhamdulillah. Kenapa? Kerana di hari raya masing-masing telah jemu makan kuih raya. Malah, tetamu juga merasa cukup sekadar di hidangkan dengan air biasa sahaja.

Tetapi, jika dah tahu awal-awal ada tetamu nak datang bertandang, tak salah untuk sediakan sedikit makanan untuk menjamu tetamu yang hadir.

Bab kuih raya ini Kak Tam bersetuju dengan pandangan beliau. Lebih-lebih lagi sekarang ini kuih raya sangat mahal. Paling murah RM25 untuk 50 keping, tertakluk kepada jenis-jenis kuih/biskut. Banyaknya sudah berharga RM35 ke atas sebalang. Ada rakan Kak Tam menawarkan installment kuih raya seawal bulan Februari lagi. Kalau dikira-kira RM200 pun tak cukup untuk membeli kuih raya yang pelbagai.

Budaya hari raya kita sudah terbiasa dengan menghidangkan kuih raya untuk menjamu tetamu yang bertandang. Sehinggakan kita rasa janggal kalau tak ada kuih raya di atas meja di hari raya. 

Jadi, bagi yang masih berkira-kira nak tambah bilangan jenis kuih raya tu, cukup-cukup lah tu (pesanan untuk diri sendir ^_^). Kalau dah order dua atau tiga balang, itu pun sudah memadai. Kak Tam percaya, kalau kita cuba menahan diri daripada membeli pelbagai jenis kuih raya ni, sudah pasti sekurang-kurangnya RM100 dapat dijimatkan.

Balang kuih raya

Kuih raya dah ada, mesti la nak beli balang atau tempat simpannya pulak kan. Pesan pakar kewangan , sebelum beli balang atau bekas kuih raya, cuba fikir sebentar. Adakah balang-balang itu akan digunakan lagi secara terus menerus atau adakah ia hanya digunakan ketika hari raya? Jika jawapannya adalah guna untuk hari raya sahaja, disarankan supaya tidak perlu untuk membeli balang atau bekas kuih tersebut. Asasnya, kalau tidak digunakan dalam tempoh 6 bulan, maka tiada keperluan untuk membeli barang tersebut. Jadi, timbang-timbangkan lah ye.

Baju Raya

Sudah menjadi budaya kita juga untuk memastikan kita dan anak-anak mempunyai sekurang-kurangnya sepasang baju raya baru untuk dipakai di pagi hari raya. Ada tu, memang pakai setakat untuk bergambar di hari raya sahaja. Lepas itu, bergantung cantik di dalam almari. Sekiranya ini yang terjadi pada baju-baju anda tahun-tahun sebelumnya, maka tiada keperluan untuk membeli baju raya baru sebenarnya. Baju yang ada boleh diulang pakai semula. Banyak RM boleh dijimatkan dengan tidak membeli baju raya. 

Duit Raya

Hari raya juga memakan belanja yang banyak apabila kita perlu mengeluarkan sejumlah duit yang besar semata-mata untuk memastikan kita adalah pemberi duit raya yang paling banyak sekali. 

Dikongsikan cerita mengenai seorang pakcik yang bijak. Untuk mengelakkan dicemuh kerana memberi duit raya yang bernilai sen sahaja, apa yang pak cik ni buat? Disediakan satu balang, dalamnya diisikan dengan sampul duit raya. Apabila kanak-kanak datang berhari raya, dia akan beritahu bahawa dalam balang itu ada sampul duit raya yang berisi RM0.50 sehinggalah RM50. Jadi, siapa yang bernasib baik, dapatlah nilai yang banyak. Jika tidak dapatlah sedikit. Sedangkan dalam balang itu, semua sampul raya diisi dengan RM0.50 sen sahaja. Mudah kan modus operandinya. Tapi bagi yang berkemampuan nak bagi lebih duit raya, tak ada salahnya. Ini juga merupakan satu sedekah. Cuma jangan jadikan ia sebagai satu adat yang perlu dipatuhi dan akhirnya menjadi beban pada diri sendiri.   

Jadi, bagi yang nak keluar bershopping di hujung minggu ni, timbang-timbangkanlah apa yang patut dibeli dan papa yang tak perlu dibeli. Ingat ye, lepas raya pun nak pakai duit juga tau. Selamat membeli belah :)

  

3 comments:

  1. Ni kawan nak share kalkulator khas nak kira bajet Raya

    Klik sini http://www.bajetfitri.weebly.com

    ReplyDelete
  2. biskut raya - ada lah beli sejenis dua tp yang memang nak makan start dari bulan puasa lagi..
    balang raya - tips: kami beli 'tupperware'/elianware/macam2warelah yang corak dia comey2 sikit.. so, lepas raya boleh guna bawa bekal pegi school ke pegi opis ke @ buat simpan mknan lebih2 dalam peti sejuk ke..
    baju raya - beli yang biasa xyah 'vouge da bass' so boleh pakai pegi kenduri kawen @ pakai gi keje
    duit raya - ni kena muhasabah diri.. xnak bagi rm1 sbb takut orang mengata @ sbb apa?

    eh panjangnya komen, cam blog sendiri pulak.. haha

    ReplyDelete