Wednesday, 2 December 2015

Rumah Kecil Di Jabal Uhud

Teks: Rahimah Binti Omar

Assalamualaikum wbt.

RUMAH KECIL DI JABAL UHUD
Buku Rumah Kecil di Jabal Uhud (RKDJU) ini Kak Tam beli pada Jun 2014. Sudah setahun setengah. Baru dapat baca dari kulit ke kulit. Memang selalunya macam itulah. Bila jumpa buku yang menarik, Kak Tam akan beli dulu. Nak baca bila kemudian cerita. Yang penting dah ada dalam simpanan ^_^

Alhamdulillah. Waktu luang semasa menjaga Echa di hospital Kak Tam gunakan untuk membaca dan menghayati buku RKDJU ini. Syukur sebab membeli buku ini. Tak rasa rugi langsung. 

Penulis, Puan Roza Roslan yang merupakan isteri kepada Professor Muhd Kamil yang juga merupakan penulis terkenal, sangat bijak menyusun kata-kata. Pesanan dan nasihat dalam kisah yang dicoretkan oleh beliau sepanjang menetap di RKDJU sangat-sangat memberi kesan. Pesanan dan nasihat yang merangkumi semua aspek kehidupan... sebagai wanita, isteri dan ibu dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai seorang Islam. 

Kisah-kisah tetamu jemputan penulis yang hadir ke RKDJU ... hadir mereka dengan seribu kisah yang boleh dijadikan tauladan. Tetamu jemputannya merupakan tetamu jemputan Allah yang hadir ke bumi Madinah sama ada untuk menunaikan ibadah umrah atau haji.

Kak Tam sangat sukakan gaya penulisan penulis ini. Pada Kak Tam kisah tetamu-tetamunya yang dicoretkan sebenarnya kisah-kisah yang selalu kita dengar. Tetapi penulis mengaitkan segalanya dengan firman Allah Subhanahu Wataala dan hadith Nabi SAW yang sering kita lupakan. 

Kata penulis "kehidupan merupakan ujian". Betapa terkesan dengan ayat ringkas ini. Sememangnya apa yang Kak Tam sedang lalui sekarang ini - anak sakit dan menjaganya di hospital- merupakan ujian yang agak berat sebenarnya. Hanya Allah sebaik-baik tempat mengadu dan meminta. 

"Dia mengetahui segala yang ada di langit dan di bumi dan Dia mengetahui segala yang kamu rahsiakan serta yang kamu zahirkan dan Allah sentiasa mengetahui segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada" At-Taghabun: 4.

Pesan penulis lagi "manusia itu tabiatnya berasa resah gelisah dan sering berasa gundah gelana. Apa yang ada ditangan tidak disyukuri dan apa yang bukan miliknya sering dipersoalkan."

"Dan bahawa sesungguhnya Dialah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis. Dan bahawa sesungguhnya Dialah mematikan dan menghidupkan; dan bahawa sesungguhnya, Dialah yang menciptakan pasangan lelaki dan perempuan" An-Najm: 43-45. 

Suami - salah  satu perkara yang sering disentuh oleh penulis dalam bukunya ini. Bagaimana seorang suami sewajarnya dihormati dan dihargai tidak kira bagaimana teruk sekalipun dirinya. "Suami adalah anugerah Allah SWT kepada kita. Dirinya merupakan harta berharga. Rezeki seorang isteri disalurkan melalui lelaki yang bernama suami, dengan izin Allah. Ada kalanya kita berharta tetapi mempunyai kekangan untuk menguruskannya. Ada kalanya juga kita berpelajaran tinggi, tetapi belum cukup bijak untuk memikirkan sesuatu di luar bidang sendiri. Ada kalanya kita berjawatan besar tetapi belum begitu berkeyakinan untuk membuat keputusan muktamad. Di situlah kita memerlukan buah fikiran di luar kotak seorang rakan karib yang boleh dipercayai, iaitu suami sendiri."

Rumusan jika diuji - bersabar dan bersolat. Mengadu padaNya. Dia Maha Mengetahui apa yang tidak kita ketahui.

Allahu Akbar!!! Banyak sungguh ilmu yang dikongsi. Rasa sangat beruntung diberi peluang untuk membaca buku ini. 

Alhamdulillah. Syukur... inilah hikmah menjaga anak sakit di hospital. Nikmat waktu lapang yang biasanya sukar diperolehi.

Kesimpulannya, buku ini sangat berbaloi untuk dijadikan koleksi peribadi. Untuk makanan rohani diri sendiri dan keluarga. InsyaAllah.

No comments:

Post a Comment