Tuesday 7 October 2014

Ayam Masak Susu Ibu Mertuaku

Teks: Rahimah binti Omar

Alhamdulillah! Menjadi juga saya menyediakan ayam masak susu resepi ibu mertua di hari raya aidiladha kali ini. Masakan kegemaran suami dan anak-anak. Khalis panggil ayam masak cheese. Biasanya saya hanya membantu mak mertua masak. Tetapi kali ini saya berpeluang masak sendiri. Alhamdulillah, suami kata sedap macam mak masak :)

Sebelum balik kampung hari itu, memang sudah maklumkan pada suami yang saya hendak memasak ayam masak susu ini. Suami suka. Masakan ini juga adalah kegemaran anak cucu mak mertua saya. Saya juga suka. Sebelum ini saya tidak pernah jumpa atau makan ayam masak susu ini. Sekali rasa, hmmmm... Memang lazat.

Saya kongsikan resepinya di sini. Manalah tahu, boleh jadi makanan kegemaran anda sekeluarga pula selepas ini.




AYAM MASAK SUSU


Daging ayam - gaulkan dengan serbuk kunyit sedikit dan goreng separuh masak

1 tin kecil minyak sapi atau ghee
Minyak masak
2 tin susu cair
5 biji tomato - kisar halus
3 biji bawang besar - potong bulat
2 batang lobak merah - potong bulat
2 sudu tomato puri atau sos tomato
6 ulas bawang putih - ditumbuk atau dikisar halus
3 sudu madu
3 sudu tomato puri atau sos tomato
Kismis
Kacang pis
Sedikit lada hitam
Garam

Cara-caranya:

1. Panaskan kuali. Masukkan sedikit minyak masak. Masukkan minyak sapi. Kacau sehingga sebati.
2. Masukkan bawang putih yang telah dikisar tadi. Kacau rata. Kemudian masukkan tomato, tomato puri atau tomato sos. Kacau rata.
3. Tuangkan susu cair. Sekiranya hendak kuah yang banyak, boleh tambah susu lagi. Masukkan madu.
4. Masukkan ayam. Kacau rata.
5. Masukkan bawang besar, lobak merah, kismis dan kacang pis. Kismis dan kacang pis adalah pilihan. Gaul rata. Jangan lupa garam ye.
6. Kalau suka pedas boleh tambah lada kering yang telah dikisar sedikit.
7. Biarkan sehingga kuah menjadi pekat. Siap dan bolehlah dihidangkan untuk santapan keluarga.

Mudah kan. Jadi, kalau dah bosan dengan resepi yang biasa di masak, bolehlah mencuba resepi ini pula.

Selamat mencuba :)

p/s: Gambar ayam masak susu dalam kuali tu sudah tinggal separuh. Yang dihidang dalam mangkuk tak sempat nak ambil gambar, dah selamat kena makan. Hehehe.










No comments:

Post a Comment