Monday 20 October 2014

Perubahan Bermula Dengan Saya: Jom Jimat Elektrik!

Teks: Rahimah binti Omar

'Perubahan bermula dengan saya'. Inilah tajuk pamplet yang saya jumpa ketika membuat carian dengan Mr Google berkaitan langkah-langkah penjimatan elektrik di rumah. Hmm.. Betullah. Jika diri sendiri tidak memulakan usaha untuk berjimat cermat dalam penggunaan elektrik di rumah atau di tempat kerja, siapa lagi yang hendak diharapkan. Bukan mudah untuk mengajak orang lain jika tiada kesedaran dalam diri masing-masing.

Antara yang dikongsi dalam pamplet ini adalah berkenaan dengan bagaimana untuk kita berjimat terutama bagi surirumah seperti saya. Secara amnya, elektrik boleh dijimatkan dengan mematikan suis dan menanggalkan plag apabila peralatan elektrik tersebut tidak lagi digunakan. Dengan cara ini sudah pasti aliran elektrik tidak akan berjalan. Jom kita tengok langkah-langkah lain berkaitan dengan peralatan dalam rumah yang boleh kita amalkan.

Peti sejuk

1. Simpan stok barang dalam peti sejuk sehingga  dua pertiga penuh. Jangan melebihi had muatan yang dibenarkan.

2. Tutup bekas bahan bercecair dan bungkus makanan yang disimpan dalam peti sejuk.

3. Elakkan daripada selalu membuka peti sejuk kerana 30% udara sejuk akan keluar setiap kali pintu dibuka.

4. Periksa jalur magnet pada pintu peti sejuk. Caranya, letakkan RM1 pada pintu dan tutup pintu peti sejuk. Jika duit kertas tersebut boleh ditarik keluar dengan mudah, maka jalur magnet peti sejuk tersebut perlu ditukar.

5. Lakukan penyahbekuan sekiranya ketebalan fros melebihi 6mm.

6. Elakkan dari menyimpan makanan yang panas atau suam.

7. Letakkan peti sejuk jauh dari tempat atau bahan yang panas. Jarakkan sebanyak lebih kurang 15cm daripada dinding untuk mewujudkan pengaliran udara yang baik.

8. Jika bercuti panjang, kosongkan peti sejuk, tutup suis dan cabut plag.

Penghawa dingin

1. Gunakan kipas. :)

2. Tetapkan suhu kepada 23 - 26°C.

3. Letakkan pelindung pada penghawa dingin kerana ia akan meniimatkan 10% bekalan elektrik berbanding dengan penghawa dingin yang terdedah kepada cahaya matahari.

4. Tetapkan kipas pendingin udara anda kepada "ON" daripada "AUTO" kerana aliran udara yang stabil akan membantu menstabilkan suhu bilik dan seterusnya menjimatkan elektrik.

4. Beli pendingin hawa yang sesuai saiznya.

Mesin basuh

1. Jika kerap menggunakan mesin basuh, dicadangkan membeli mesin basuh jenis muatan hadapan. (Sebenarnya yang ini saya tidak tahu apa rasionalnya :) )

2. Isi penuh dengan pakaian bagi setiap cucian.

Seterika

1. Gosok pakaian dalam jumlah yang banyak.

2. Tinggalkan pakaian yang mudah untuk digosok akhir sekali kerana pakaian ini boleh digosok dengan menggunakan haba yang sedia ada apabila suis seterika dimatikan.

Pencahayaan/lampu

1. Matikan suis lampu dan kipas jika tiada sesiapa di dalam bilik atau di ruang tersebut.

2. Bertukar kepada lampu jenis fluorosen kompan untuk pencahayaan dalaman.

3. Gunakan cahaya matahari untuk pencahayaan pada waktu siang.

4. Gunakan cat warna cerah untuk pembalikan cahaya yang baik.

Komputer

1. Gunakan komputer riba atau komputer yang mempunyai skrin leper.

2. Elakkan penggunaan 'screen saver' dan matikan suis monitor jika tidak digunakan.

Televisyen

1. Tonton pada waktu yang sesuai.

2.  Tutup suis dan cabut plag jika tidak digunakan. Jangan gunakan mode standby kerana aliran elektrik masih berjalan.

Sebanyak mana elektrik boleh dijimatkan? Cuba lihat jadual ini.



Sebenarnya banyak yang kita boleh lakukan untuk menjimatkan elektrik. Apabila elektrik dapat dijimatkan, wang pun dapat dijimatkan. Alam sekitar juga turut terpelihara dan haba juga dapat dikurangkan.

Mulakan hari ini dan mulakan dengan diri sendiri. InsyaAllah,  bulan ini saya akan kurangkan bil elektrik saya. Jom jimat elektrik!

Sumber rujukan: www.kkk.org.my

1 comment:

  1. Wah, perkongsian yg bagus. Kadang2 kita selalu terlooopa ;)

    Salam kenal,
    Natrah,
    www.matrahmohamed.com

    ReplyDelete