Friday 24 October 2014

Cucu Opah Sayang

Teks: Rahimah binti Omar

Cuti Hari Deepavali yang lalu kami merancang untuk pergi membeli-belah di sekitar Kuala Lumpur. Lama rasanya tidak ke sana. Jadi kami bersiap-siap untuk ke sana. Temujanji dengan adik yang tinggal di sana pun telah dibuat. Sambil-sambil dapatlah tolong kami melihat anak-anak. Seperti biasa keperluan anak-anak dibawa lebih. Manalah tahu hendak tumpang berehat-rehat di mana-mana.

Namun nasib tidak menyebelahi kami. Adik terpaksa membatalkan janji di saat akhir atas sebab tertentu. Rasa frust juga. Tetapi tidak mengapalah. Anggap sahaja tiada rezeki. Jadi, kami teruskan plan B yang dibuat secara tiba-tiba, iaitu teruskan perjalanan ke rumah mak mertua di Tanjung Malim.

Seronok mak dan abah dapat jumpa cucu-cucu terutama si kecil Aneesa. Hampir 2 minggu juga tidak berjumpa. Mak dan abah sangat teruja melihat Aneesa yang sudah boleh berdiri dan berjalan selangkah dua. Bergilir-gilir mak dan abah melayan si kecil. Nampak sangat rindunya pada cucunya nan satu ini. Bukan tidak rindu yang lain, tapi yang kecil inilah yang diulit dikelek ke sana ke mari semasa kami sekeluarga menumpang kasih di rumah mereka untuk beberapa bulan yang lalu. Terpancar cahaya gembira di wajah mereka terutama emak.

Memang betul telahan saya. Emak rindukan anak-anak. Semasa duduk bersembang dengan emak di depan tv sambil melayan si kecil bertatih jalan, emak bercerita bahawa telah beberapa kali dia menyebut rindukan budak-budak kecil ini. Abah kata bersabarlah kerana akan berjumpa juga pada hujung minggu di rumah adik ipar di Temerloh nanti. Rupanya rezeki emak dan abah untuk jumpa anak-anak. Memang telah ditetapkan olehNya, saya tidak dapat pergi membeli belah kerana hendak memberi peluang kepada emak berjumpa anak-anak dan melepaskan rindunya. Allahuakbar. Hanya Dia yang Maha Mengetahui.

Walaupun kami balik hanya sehari, namun cukup untuk membuat mak dan abah gembira. Alhamdulillah. Insyaallah, kami sekeluarga akan ke Temerloh pada hujung minggu ini. Dapatlah mak dan abah melayan cucu-cucunya lagi. Saya cuma berharap anak-anak sihat sahaja. Jika tidak nak ke mana-mana pub susah. Semoga perjalanan dan hujung minggu kami sekeluarga berjalan lancar hendaknya. Amin.

No comments:

Post a Comment