Tuesday 4 November 2014

Hari ini aku menangis - Part 2

Teks: Rahimah binti Omar

Hari ini saya terkedu lagi. Kali ini terkedu setelah melihat bil air pula. Pembaziran apa pula lah kali ini. Agaknya selepas ini banyaklah lagi entri saya dalam blog ini yang berkisar tentang tangisan tanpa air mata kerana melihat bil-bil utiliti rumah yang naik mendadak :(

Tetapi kenaikan bil air bulan ini memang sudah dijangka. Ini kerana kesilapan saya sendiri. Tidak boleh salahkan sesiapa lagi. Iyelah. Hanya saya dan anak-anak sahaja yang ada di rumah. Kalaupun silap anak-anak, saya juga yang perlu bertanggungjawab.

Awal bulan lalu saya menerima notis gangguan bekalan air selama sehari iaitu dari pukul 9.00 pagi sehingga 9.00. Saya ingat hari itu hari Khamis. Bekalan air yang mencukupi untuk kegunaan sehari telahpun saya sediakan. Tetapi sehingga tengah malam air masih lagi tiada. Bekalan yang disimpan sudah hampir habis. Menurut maklumat daripada group wassap jiran tetangga, air akan dibuka secara berperingkat. Inilah yang dimaklumkan pihak Syabas. Namun, sehingga keesokan pagi pun air masih tiada. Bagi saya yang mempunyai anak-anak kecil, agak sukar bila air tiada. Macam-macam urusan terpaksa ditangguhkan. Walaupun baru masuk hari kedua, baju kotor sudah setimbun.

Urusan harian yang menggunakan air terpaksa dilakukan di tingkat atas kerana air tangki di tingkat atas masih lagi belum digunakan.  Terpaksalah saya turun naik tangga menguruskan anak-anak mandi, buang air dan sebagainya. Hendak mengangkat air dari tingkat atas turun ke bawah tidak larat pula rasanya. Inilah akibatnya bila tiada saliran air tangki untuk kegunaan paip di tingkat bawah. Susahnya.

Air masih lagi tiada sehinggalah malam Jumaat. Sudahnya kami sekeluarga bersiap-siap untuk balik ke kampung suami di Tanjung Malim. Semua baju kotor kami bungkus untuk dibasuh di sana. Dan di sinilah silap saya. Saya lupa untuk memastikan semua paip telah ditutup. Iya. Saya telah cek satu persatu. Tetapi hanya paip di tingkat bawah sahaja. Sedangkan paip di tingkat atas tempat saya dan anak-anak mandi-manda saya tidak cek.

Saya dimaklumkan oleh jiran air telah keluar pada pagi Sabtu tetapi kecil dan sekejap ada, sekejap tiada. Hinggalah pada hari kami balik semula ke rumah pada hari Isnin, bekalan air telah kembali normal seperti biasa.

Memandangkan suami bertugas di Terengganu dan hanya saya seorang orang dewasa dalam rumah untuk menguruskan anak-anak, maka saya jarang naik ke tingkat atas. Hanya jika ada keperluan sahaja baru saya akan naik. Tetapi memandangkan kebanyakan keperluan harian telahpun saya tempatkan di tingkat bawah, maka hanya sekali seminggu sahajalah saya naik dan itupun pada hari minggu.

Dan seminggu jugalah air di sinki tingkat atas mengalir tanpa disedari oleh sesiapa. Seminggu! Bukan sehari dua. Terkejut saya bila suami naik ke atas pada hujung minggu dan maklumkan paip di sinki tidak ditutup. Air mengalir deras. Nasib la tidak banjir bilik-bilik di tingkat atas.

Masa itu saya memang sudah agak, bil air bulan ini pasti naik mendadak. Dan hasilnya, nah! Bil air bulan ini berjumlah RM106.32 sen! Sepanjang saya duduk di rumah ini tidak pernah lagi bil air sebanyak ini. Sebenarnya kami jarang bayar bil air kerana penggunaan air di rumah saya masih dalam lingkungan subsisidi yang diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor. Dan kali ini bila kena bayar dalam jumlah yang berlipat kali ganda, memang terkejut juga lah dibuatnya. Terkejut yang sudah dijangka. Hehehe

Allahuakbar. Apa lagi lah yang saya boleh buat. Nasi sudah menjadi bubur. Cuma saya perlu lebih beringat di lain kali. Jangan sampai berulang lagi. Pembaziran yang memang sia-sia. Jadi, untuk bulan November ini saya perlu lebih berjimat cermat dalam banyak perkara. Jimatkan elektrik, jimat air, jangan membazir makanan dan lain-lain lagi. Ingat Rahimah, jangan ulangi lagi kesilapan itu ye (peringatan untuk diri sendiri). :)

No comments:

Post a Comment