Teks:
Rahimah Bt Omar
Hari
ini saya mendapat perkhabaran sedih. Teman sepejabat telah kematian anak dalam
kandungan berusia 22 minggu dan telah disahkan oleh Pakar Fetus di Hospital
Kuala Lumpur semalam. Allahuakbar. Darinya kita datang, kepadaNya juga kita
kembali. Takziah buat Atiqah dan Al-Fatihah untuk arwah anak.
Berat
mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Inilah yang dialami oleh sahabat
saya ini. Sebenarnya, Atiqah telah dikhabarkan dengan berita yang tidak
dijangka mengenai kecacatan kandungannya semasa membuat pemeriksaan berkala. Doktor
yang melakukan pemeriksaan telah mengesan sesuatu yang abnormal kepada kandungannya dan telah merujuk perkara tersebut ke Pakar
O&G di Hospital Putrajaya. Hasilnya doktor mengesahkan abnormality tersebut dan telah merujuk kepada Pakar O&G di HUKM
yang boleh membuat keputusan seterusnya. Anak yang dikandung disahkan cacat
kromosom dan sekiranya dilahirkan sekalipun ia akan mengalami kecacatan yang
serius seperti tempurung kepala yang tidak sempurna, jantung yang tidak
berfungsi dengan baik, kecacatan fizikal dan lain-lain lagi. Peratusan untuk
anak yang dikandung survive juga adalah
sangat tipis kerana ujian yang dibuat menunjukkan bacaan degupan jantung yang irregular. Akhirnya, setelah ujian
disahkan, doktor pakar membuat keputusan supaya kandungan digugurkan atau
terminate. Tarikh yang diberikan adalah pada 20 November 2014 akan datang.
Luluh
hati seorang ibu yang sangat mengharap anak yang dikandung dapat dilahirkan
dengan sihat dan sempurna. Kami rakan-rakan sepejabat yang mendengar pun turut
merasai kesannya kerana kebanyakan dari kami adalah golongan ibu-ibu. Pelbagai kata-kata
semangat yang kami berikan. Tidak kurang juga yang mencadangkan supaya
mendapatkan pandangan kedua daripada mana-mana doktor pakar berkaitan.
Atiqah
seorang yang kuat. Saya tahu dia menangis, tapi dia sangat cekal dan tabah
menghadapi hari-hari di pejabat tanpa menunjukkan yang dia sedang bersedih
menghitung hari kematian anak dalam kandungan. Dalam pada itu, memandangkan
kami bekerja di Kementerian Kesihatan, ada juga doktor yang mencadangkan supaya Atiqah
membuat rujukan dengan Pakar Fetus di HKL untuk mendapatkan pandangan kedua.
Sebenarnya,
2 hari lepas Atiqah sudah tidak merasakan sebarang pergerakan anak dalam
kandungan. Namun temujanji tetap diteruskan. Apabila ujian imbasan dibuat, doktor
mengesahkan anak dalam kandungan telah meninggal dunia. Tiada lagi degupan jantung
anak. Innalillahi wainna ilaihirajiun… Bertabahlah wahai sahabat. Anakmu sudah
dijanjikan syurga oleh Allah Subhanahu Wataala.
Kami
rakan-rakan sepejabat yang mendengar perkhabaran sedih itu tidak mampu berkata
apa. Apatah lagi apabila dimaklumkan prosedur untuk melahirkan anak yang telah
mati hanya akan dibuat pada hari Isnin akan datang. Terpaksa menunggu 5 hari
lagi! Bayangkan bagaimana perasaan seorang ibu yang berjalan ke sana ke mari
dengan perut yang membuyut, tetapi sudah tahu anak itu tidak lagi bernyawa.
Allahu Akbar. Beratnya beban yang ditanggung olehmu sahabat.
Saya
mendoakan Atiqah kuatkan semangat. Jangan bersedih terlalu lama. Ingatlah
sahabat, kamu telah dipilih untuk menerima dugaan berat ini kerana Dia ingin
memberikan kamu ganjaran yang hebat dan kemanisan di Akhirat nanti. Bersyukurlah
kerana Atiqah masih ada Aqilah yang masih lagi memerlukan belaian manja dari
ibunya.
Al-Fatihah
buat anak suci kepada Puan Atiqah Binti Mohamed @ Mohamad Saim.
No comments:
Post a Comment