Saturday 22 November 2014

Teacher-Parent's Meeting Lil' Caliph Putrajaya

Teks: Rahimah Binti Omar

Semalam buat pertama kali saya dan suami menghadiri Teacher-Parent's Meeting untuk mengetahui perkembangan dan kemajuan Khalis dan Iman sepanjang belajar di Little Caliph, Presint11, Putrajaya. Mula-mula tu rasa macam malas nak pergi, tetapi bila difikirkan balik tidak wajar pula rasanya jika tak pergi. 

Walaupun hanya tadika sahaja, namun sebagai ibubapa yang bertanggungjawab, kami sedar di peringkat awal pendidikan inilah yang akan menentukan kehidupan masa depan anak-anak. Bagaimana ia dimulakan, begitu jugalah ia akan berakhir. Jadi, kami perlu bersama-sama memikul tanggungjawab untuk mendidik anak-anak dengan para guru di sekolah. Mereka pun hanya dibayar untuk mengajar pada waktu-waktu tertentu sahaja. Selebihnya ibubapa lah yang memainkan peranan. 

Secara keseluruhan, saya amat berbangga dengan anak-anak saya terutama Khalis. Dalam tempoh yang singkat, Khalis dapat mengejar rakan-rakan lain dalam subjek bacaan dan Bahasa Inggeris. Subjek yang lain seperti Jawi, Hafazan, Pendidikan Agama dan Matematik walaupun markah tidak setinggi 2 subjek berkenaan, namun masih boleh dibanggakan kerana Khalis masuk ke tadika tersebut bermula pada bulan September iaitu lebih kurang 3 bulan yang lalu. Asalnya Khalis bersekolah di Tadika Little Caliph di Tanjung Malim. Itupun bermula lambat iaitu pada bulan April. Sepanjang saya cuti bersalin, anak-anak pun turut sama bercuti. Apabila saya dipindahkan tempat kerja dan kembali menginap di Bangi semula, barulah Khalis dan Iman menyambung pelajaran di Tadika Little Caliph di Putrajaya. 

Iman juga secara keseluruhan pencapaiannya memuaskan. Iman baru 4 tahun, Jadi, peringkat ini lebih memberi pendedahan kepada perkara-perkara asas sahaja. Oleh sebab itu, Iman tiada ujian atau markah khusus untuk subjek-subjek yang diikuti. Konsepnya lebih kepada playschool.

Alhamdulilah, saya dan suami gembira dan bersyukur dengan pencapaian anak-anak. Ini baru permulaan. Sebenarnya kami tidak kisah berapa markah yang anak dapat asalkan mereka gembira belajar. Mereka akan menghadapi banyak lagi peringkat kehidupan, jadi tidak perlulah memberi tekanan kepada perkara-perkara kecil seperti ini. Yang penting, selalu bagi kata-kata semangat kepada anak-anak dan dorong mereka. Supaya mereka tahu yang kita selalu bersama mereka dalam apa jua keadaan, sentiasa menyokong dan mendoakan mereka serta sayangkan mereka. Inilah yang perlu kita pamerkan pada anak-anak.

Untuk anak-anak mama, Khalis dan Iman, mama dan papa doakan semoga anak-anak mama ini sihat dan ceria selalu, jadi anak yang soleh dan bijak. Semoga masa depan anak-anak mama akan lebih cemerlang dan gemilang. Semoga jadi anak-anak yang sentiasa mendoakan mama dan papa di kemudian hari nanti. Amin.


No comments:

Post a Comment