Teks: Rahimah Binti Omar
Ramai orang mempunyai wang
yang banyak tetapi tidak pandai menguruskannya. Sehinggalah tanpa disedari wang
yang ada akhirnya tidak dapat dimanfaatkan sebaik mungkin dan habis begitu
sahaja. Wang yang ada digunakan pada tempat yang salah dan tidak mendatangkan
hasil. Rugikan.
Saya tidak mempunyai wang
yang banyak. Tetapi saya belajar bagaimana untuk menguruskan wang saya yang
tidak seberapa itu dengan sebaik mungkin. Dan sebenarnya saya masih lagi
belajar dan belajar.
Hari ini saya ingin
berkongsi ilmu yang saya pelajari ketika menghadiri seminar Bijak Mengurus Wang
(BMW), sebuah program celik kewangan anjuran Securities Industry Development
Corporation (SIDC). Program ini saya hadiri kira-kira 2 tahun yang lalu. Tetapi
saya masih simpan nota-nota yang saya ambil ketika itu. Rugi jika tidak
dikongsikan dengan rakan-rakan yang lain.
Secara amnya, terdapat 5
langkah asas yang mudah untuk menguruskan wang iaitu –
1. Membandingkan jumlah harta dan jumlah hutang.
2. Mengetahui kesilapan yang biasanya dibuat
dalam menguruskan wang.
3. Membuat matlamat kewangan.
4. Memastikan matlamat kewangan anda –
S.M.A.R.T.
5. Membuat bajet.
Langkah
1: Membandingkan jumlah harta dan jumlah hutang
Jumlah harta dan jumlah
hutang perlu dibandingkan untuk mendapatkan nilai aset bersih yang kita ada.
Ini bertujuan untuk memastikan bahawa kita tidak menanggung hutang semata-mata.
Bagaimana untuk mengira nilai bersih aset yang kita ada?
Aset
Senaraikan aset yang kita
ada seperti berikut:
- Aset Tunai (RM) seperti simpanan dalam akaun (simpanan, semasa dan tetap), insuran dan lain-lain.
- Aset Pelaburan seperti saham, unit amanah, bon dan lain-lain bentuk pelaburan.
- Aset Jangka Panjang (RM) seperti akaun KWSP, hartanah/rumah, kereta, barang kemas, barang antic dan lain-lain.
Nilai bersih aset hendaklah
dikira berdasarkan nilai semasa aset berkenaan
Liabiliti/ Hutang
Kemudian, senaraikan pula liabiliti
atau hutang yang kita ada seperti berikut:
- Liabiliti jangka pendek (RM) seperti kad kredit dan pinjaman jangka pendek (jika ada).
- Liabiliti jangka panjang (RM) seperti pinjaman perumahan/hartanah, baki sewa beli (kereta), pinjaman peribadi, pinjaman pelajaran dan lain-lain.
Sebarang pinjaman hendaklah
dikira berdasarkan baki yang belum dilangsaikan.
Untuk mendapatkan nilai
bersih aset, JUMLAH ASET hendaklah ditolak dengan JUMLAH LIABILITI. Sekiranya
nilai bersih yang diperolehi adalah positif iaitu jumlah aset melebihi jumlah
liabiliti, maka kedudukan kewangan anda adalah stabil. Sekiranya nilai bersih
adalah negatif atau jumlah liabiliti melebihi jumlah aset yang ada, maka kedudukan
kewangan anda adalah tidak stabil. Sekiranya jumlah aset dan liabiliti sama
banyak, kedudukan kewangan anda stabil tetapi masih perlu berhati-hati dalam
pengurusan kewangan.
Sudah kira berapa nilai aset
yang anda ada? Hutang atau aset yang lebih banyak? Walaupun hutang lebih
banyak, jangan risau kerana hutang juga ada hutang baik dan hutang tidak baik.
Hutang baik adalah hutang yang boleh mendatangkan pulangan contohnya hutang
pinjaman membeli rumah atau hartanah kerana rumah atau hartanah ini merupakan
aset untuk jangka masa panjang dan nilainya juga akan meningkat. Manakala hutang
tidak baik pula adalah hutang yang tidak mendatangkan apa-apa pulangan dan
tidak meningkatkan nilai aset contohnya seperti hutang kereta.
OK. Selepas ni bolehlah mula
membuat kira-kira untuk menilai berapa banyak aset dan liabiliti yang kita ada.
Saya akan sambung langkah seterusnya di entri akan datang.
TQ =)
No comments:
Post a Comment