Thursday 13 November 2014

Fatwa mengenai pengguguran kandungan kerana bayi cacat



Teks: Rahimah Binti Omar

Sedikit perkongsian maklumat mengenai keputusan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia mengenai pengguguran kandungan kerana bayi cacat. Maklumat lanjut boleh diperoleh daripada laman web www.e-fatwa.gov.my .

Ringkasan fatwa mengenai isu ini adalah seperti berikut:

Pendapat Fuqaha’ membahagikan peringkat pembesaran janin dalam kandungan untuk digugurkan berdasarkan kepada tiga peringkat selaras dengan Kaedah Fiqhiyah (memilih yang lebih ringan di antara dua kemudharatan) bagi mengelakkan bahaya yang berat:

1.     Peringkat 1 hingga 40 hari (nutfah - alaqah).
2.     Peringkat 40 hari hingga 4 bulan (Mudghah - Berbentuk).
3.     Peringkat 4 bulan ke atas (sesudah ditiup roh).

Keputusan diambil kira dengan mengikut peringkat umur serta berdasarkan syarat berikut:


  • Menurut ijmak Fuqaha’, HARAM menggugurkan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu atas sebab kecacatan yang teruk.



  • MAKRUH menggugurkan janin yang berumur antara satu hari hingga 40 hari sekiranya tidak mendatangkan bahaya kepada ibu dan mendapat persetujuan kedua-dua suami isteri.



  • Ijma’ Fuqaha’ berpendapat pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari HARUS sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang boleh membahayakan nyawa ibu.


Menurut para doktor, peringkat sebelum berbentuk ialah peringkat dari hari pertama hingga 40 hari seseorang itu mengandung. Majoriti para fuqaha’ berpendapat pengguguran yang dilakukan diperingkat ini adalah makruh dan disyaratkan dengan tiga syarat iaitu persetujuan daripada kedua suami isteri, tidak mendatangkan bahaya dan kenyataan daripada dua orang doktor pakar yang adil.

Peringkat mudhghah pula bermula pada hari 40 hingga 4 bulan (120 hari) seseorang itu mengandung dan pada peringkat ini sudah nyata bentuk awal anggota janin tersebut. Pengguguran yang dilakukan pada peringkat ini hukumnya makruh yang amat dilarang. Walaubagaimanapun sekiranya disahkan oleh doktor bahawa pengguguran perlu dilakukan bagi mengelakkan bahaya yang akan mengancam keselamatan dan nyawa si ibu, maka dalam keadaan ini hukumnya adalah harus.

Melakukan pengguguran selepas kandungan berumur 120 hari adalah haram kerana pengguguran pada peringkat ini telah dianggap sebagai satu jenayah terhadap bayi atau janin yang telah sempurna hidup. Walaubagaimanapun harus menggugurkannya bagi menyelamatkan nyawa ibu dan di atas nasihat doktor yang pakar dan adil bahawa tidak ada jalan lain kecuali menggugurkan kandungan. Ini berdasarkan kaedah fiqh iaitu “Memilih mana yang lebih ringan kemudharatan bagi mengelak mudharat yang lebih berat”.

Bagi ibubapa yang mempunyai dilema ini, bolehlah merujuk kepada Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sekiranya masih tidak jelas dengan penjelasan yang diberikan dalam laman web yang disebutkan di atas tadi. Ada beberapa cara untuk menghubungi Felo Fatwa iaitu melalui Facebook iaitu Fatwa Malaysia, twitter Felofatwa Malaysia, blog Fatwa Malaysia dan juga talian hotline Fatwa yang dibuka setiap hari Rabu dari jam 4.00 petang hingga 5.00 petang.

Sekian :)

No comments:

Post a Comment