Wednesday, 12 November 2014

ILKAP National Law Conference 2014.

Teks: Rahimah Bt Omar

Buat julung-julung kalinya pihak Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) telah menganjurkan seminar selama 2 hari di PICC. ILKAP National Law Conference 2014  pada 11 dan 12 November 2014 ini bertemakan Law and Social Order: Current Challenges In Malaysia. Alhamdulillah, saya diberi peluang untuk sama-sama menyertai seminar ini.

Sepanjang 2 hari ini, banyak topik-topik yang menarik yang dibincangkan oleh panel-panel yang dijemput khas dari pelbagai bidang. Yang paling menarik perhatian saya adalah forum di sesi terakhir seminar di mana salah seorang panel jemputan adalah YBhg Dato' Hajjah Freida Dato' Haji Mohd Pilus iaitu Pengasas Cempaka School Group. Seorang yang berperwatakan menarik dan sangat bersemangat ketika membicarakan mengenai kepentingan pendidikan awal dalam membentuk keharmonian sosial. Sangat opitimis dan cantik. Cemburu pula saya melihat semangat dan kecantikannya walaupun telah berusia.  

Antara yang dikongsikan oleh beliau adalah program-program yang dianjurkan dan dilaksanakan di sekolah beliau yang bersifat 'down to earth'. Contohnya seperti pelajar-pelajar dibawa ke hospital untuk memberi perkhidmatan kepada pesakit-pesakit. Walaupun hanya setakat mengedarkan tuala kepada pesakit, namun objektif utama adalah untuk memberi peluang kepada pelajar merasai sendiri suasana hospital dan membuat kebajikan kepada pesakit-pesakit di situ. Terdapat juga program community service yang dibuat di kampung-kampung. Pelajar-pelajar pelbagai kaum dan bangsa ini terlibat secara langsung dengan aktiviti-aktiviti bersama penduduk kampung seperti gotong-royong, kenduri-kendara dan lain-lain.

Walaupun pelajar-pelajar beliau terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun apa yang cuba beliau terapkan kepada anak-anak ini di peringkat awal persekolah adalah nilai-nilai murni seperti hormat-menghormati antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama, bertanggungjawab dan saling bekerjasama. Jika nilai-nilai murni ini dapat diterapkan kepada anak-anak seawal mungkin, barulah wujud keharmonian dalam masyarakat berbilang kaum dan agama. Penguatkuasaan melalui undang-undang sahaja tidak mencukupi sekiranya anak-anak ini tidak diberi pendedahan dan pemahaman mengenai kepentingan mewujudkan satu masyarakat yang harmoni.  

Saya rasa sangat benar apa yang dikatakan oleh beliau. Kita sendiri sebagai ibu bapa boleh menerapkan nilai-nilai murni ini bermula dari rumah. Tidak perlu menunggu sehingga sekolah menganjurkan program-program sebegini. Mulakan dengan yang asas seperti kenali jiran tetangga, menziarahi ahli keluarga atau bergotong royong membersihkan kawasan rumah atau sekitar taman perumahan. Pada masa yang sama kita juga perlu menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak untuk diteladani. Amalan ini juga adalah selaras dengan amalan Rasulullah SAW yang sentiasa mengingatkan umatnya untuk saling menghormati dan berbaik sangka antara satu sama lain. 

Kesimpulannya, kita perlukan satu masyarakat yang harmoni, yang boleh hidup bersama di atas satu bumi dan menongkat langit yang sama bagi mendapatkan satu kehidupan yang berkualiti dan selamat. Pokok pangkalnya, semua bermula dari diri sendiri juga. Jom kita amalkan!

        


No comments:

Post a Comment