Sunday 5 October 2014

Selamat Hari Raya Aidiladha

Teks: Rahimah binti Omar

Assalamualaikum wbt.

Alhamdulillah... Masih diberi kesempatan menyambut hari raya aidiladha bersama keluarga pada tahun ini. Dan tahun ini giliran beraya di rumah keluarga belah saya di Batu Pahat, Johor pula. Awal-awal sudah terbayang rendang ayam dan ketupat emak.

Tahun ini keluarga Mokde beraya bersama kami di kampung. Terasa meriah... meriah dengan makanan yang pelbagai jenis. Rendang ayam, ketupat, serunding daging, sayur lodeh, sate dan kuah kacang. Adik ipar juga membawa juadah dari rumah ibunya yang berketurunan jawa. Pernah makan botok-botok? Saya sendiri pun baru pertama kali merasa botok-botok ini. Semacam ikan pais, tetapi dicampur dengan daun-daun ulam-ulaman yang pelbagai yang kemudiannya dibungkus dalam daun pisang dan dikukus. Walaupun saya juga mempunyai darah jawa, namun juadah ini kurang menepati selera saya yang lebih kepada masakan melayu.

Di pagi hari raya, sibuk di kaca televisyen kisah korban kemalangan jalan raya yang meragut nyawa 6 sekeluarga. Mereka dalam perjalanan balik ke kampung untuk beraya bersama keluarga. Allahuakbar! Sedihnya, Tuhan sahaja yang tahu. Teringat kisah sedih tiga tahun yang lalu. Arwah Tok Mak meninggalkan kami dua hari sebelum hari raya aidiladha. Ketika itu, tiada hari raya bagi kami sekeluarga. Hari raya kami sambut dengan kenduri tahlil dan bacaan yassin untuk arwah Tok Mak.

Rindunya dengan arwah. Sate adalah antara makanan kegemarannya. Jika ada cadangan untuk membuat sate ketika hari raya, laju sahaja dia setuju. Tekun Tok Mak mencucuk sate. Terbongkok-bongkok. Tetapi tetap bersemangat. Bila melihat dia makan, berselera sungguh. Arwah memang suka makan. Walaupun sudah tua, seleranya tetap ada. Tawarlah makanan apa pun, dia tidak akan menolak. Suka melihat Tok Mak makan.

Itu antara kenangan manis dengan arwah Tok Mak. Pemergiannya satu kisah yang amat menyedihkan. Ada kisah tersembunyi yang hanya kami sekeluarga sahaja yang tahu. Biarkanlah. Tidak perlu menceritakan kepada orang lain. Yang penting doa kami untuk arwah, semoga ditempatkan di kalangan orang-orang yang dikasihiNya.

Esok kami sekeluarga akan pulang semula ke tempat kami. Jalan raya pastinya sesak dengan kenderaan yang ingin pulang ke ibu kota. Rabbi yassir wala tuassir. Semoga dipermudahkan perjalanan kami esok dan semoga selamat sampai ke destinasi.

Sempena hari raya aidiladha yang mulia ini, saya berdoa semoga kita semua sentiasa mendapat rahmat Ilahi dan sentiasa di bawah perlindungannya. Bagi yang melaksanakan ibadah korban tahun ini, semoga korban kita diterima oleh Allah Subhanahu Wataala dan diberkatinya. Amin.

Salam Aidiladha 2014 :)


No comments:

Post a Comment