Teks: Rahimah Omar
Alhamdulillah, setelah beberapa minggu mengadap satu kerja yang diamanahkan kepada saya, akhirnya selesai juga. Dan acara penamat adalah pembentangan dalam mesyuarat bersama AJK yang terlibat pada pagi tadi. Lega rasanya. Walaupun hakikatnya kerjanya belumlah selesai sepenuhnya, namun sekurang-kurangnya cadangan yang dibentangkan diterima dan jalan untuk menyelesaikan kerja tersebut telah lurus di hadapan. Tidaklah bengkang bengkok seperti sebelum ini bilamana tiada keputusan muktamad yang dicapai. Syukur...
Dalam pada bersyukur dengan kelegaan satu beban, ada pula beban lain yang menunggu sebenarnya. Bukanlah beban tetapi lebih kepada tanggungjawab, atas rasa kasih sayang sesama ahli keluarga. Sebenarnya, 2 minggu yang lalu suami Along, Abang Wan dimasukkan ke hospital kerana keadaan kakinya yang sakit bertambah teruk. Ada nanah di dalamnya. Luaran tiada luka, tetapi dalam kaki, nanah telah merebak dengan cepat tanpa disedari.
Along dan Abang Wan sebenarnya baru balik dari mengerjakan umrah pada 19 Disember 2014 yang lalu. Sepanjang mengerjakan umrah, Abang Wan sudah tidak larat berjalan jauh. Sakit kaki katanya. Luaran hanya nampak kulit kakinya pecah-pecah. Tiada luka. Sepanjang 2 minggu itu jugalah Along menyorong Abang Wan untuk mengerjakan ibadah di atas kerusi roda. Mungkin ini sebenarnya petanda awal.
Balik dari umrah, Abang Wan demam tidak kebah-kebah selama beberapa hari. Bila ke hospital barulah ternampak nanah dalam kaki. Itu pun setelah diperiksa dengan terperinci oleh doktor. Keputusannya, kaki Abang Wan perlu dibedah untuk mengeluarkan nanah. Doktor juga telah maklumkan, dalam tempoh 2 hari selepas pembedahan, jika luka tidak sembuh, nanah tumbuh kembali, sakit tidak kurang, kaki Abang Wan terpaksa dipotong. Allahuakbar... Kami adik-beradik yang mendengar hanya mampu terdiam dan berdoa semoga dia diberi kesihatan selepas pembedahan berkenaan.
Namun, Allah Yang Maha Kuasa adalah penentu segalanya dan Dia jugalah Pemilik segala yang kita miliki. Hari kedua selepas pembedahan, Abang Wan kena strok. Bila diperiksa, kadar sel darah putih dalam badan semakin meningkat menunjukkan bahawa nanah telah kembali menerokai kaki Abang Wan. Keputusan muktamad dibuat. Kaki kiri Abang Wan perlu dipotong pada paras bawah lutut untuk mengelakkan komplikasi yang lebih serius.
Kami adik-beradik, mak abah, saudara mara tidak putus mendoakan keselamatan dan kesihatan Abang Wan. Biarlah kehilangan kaki asalkan Abang Wan kembali pulih dan sihat seperti sedia kala. Kasihan Along yang menjaga Abang Wan sepanjang Abang Wan sakit.
Setiap hari kami berhubung dengan Along untuk mengetahui perkembangan kesihatan Abang Wan. Sebenarnya, perkembangan kesihatan Abang Wan agak tidak memberansangkan. Sel darah putih masih tinggi. Risau luka pembedahan akan bernanah.
Semalam petang, kami sekeluarga sekali lagi bertafakur mendoakan keselamatan dan kesihatan Abang Wan kerana dimaklumkan yang dia perlu menjalani pembedahan sekali lagi bagi mengeluarkan nanah yang telah merebak di kakinya. Ada kemungkinan kakinya perlu dipotong lebih tinggi lagi (atas lutut) bagi mengelakkan nanah merebak. Beratnya beban bagi kami yang mendengar. Berat lagi beban Along dan Abang Wan yang menanggung. Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka Ya Allah...
Tengah malam tadi, kami menerima sms dari Along. Abang Wan dimasukkan ke ICU kerana komplikasi daripada pembedahan tersebut. Komplikasi apa kami tidak tahu. Tidak pula berani menanya Along kerana kami tahu Along sedang bersedih dan risaukan Abang Wan. Kami hanya mampu berdoa dan terus berdoa...
Ya Allah, aku memohon kepadaMu Ya Allah. Berikanlah kesihatan kepada Abang iparku. Agar dia kembali sihat dan ceria. Agar proses penyembuhan berjalan lancar. Agar kaki yang ada sentiasa sihat dan dapat membantu dia meneruskan kehidupannya. Kasihanilah dia Ya Allah. Ya Allah, permudahkanlah urusan mereka Ya Allah. Sesungguhnya Engkaulah Maha Pengasih dan Penyayang.
Buat Along, doa adikmu ini sentiasa mengiringimu. Semoga Along tabah dan kuat menghadapi dugaan ini. Besar ganjaran seorang isteri yang tabah dan sabar menjaga suaminya sepanjang dia sakit. Syurgalah balasannya.
Semoga Along sihat sentiasa dan kembali ceria. Amin...
No comments:
Post a Comment