Teks: Rahimah Binti Omar
Pagi semalam Along khabarkan
keadaan Abang Wan semakin teruk. Sesak nafas dan separa sedar. Along mohon kami
adik beradik mendoakan kesejahteraan Abang Wan. Kata Along, dia redha sekiranya
Abang Wan bertemu Penciptanya. Sudah tidak sanggup dia melihat Abang Wan kesakitan.
Yang penting Along mohon didoakan semoga pemergiannya dalam husnul khatimah.
Pagi semalam saya melangkah ke
pejabat dengan hati yang berat. Terasa ingin menziarah Abang Wan. Manalah tahu,
ini kali terakhir saya berjumpa dengannya. Sepanjang dia sakit, hanya sekali
saja saya sempat menziarah. Itu pun selepas pembedahan kali pertama. Kata emak,
wajahnya sudah cengkung, susuk tubuhnya sudah nampak tulang. Sedangkan dulunya
semasa dia sihat, Abang Wan segak gagah dan tegap orangnya. Apa yang saya boleh
buat, hanya mendoakan yang terbaik untuknya.
Tengah hari, sedang saya
berkira-kira hendak makan, saya terima panggilan dari emak. Sudah terfikir
perkara buruk. Ya Allah, kuatlah semangatku untuk menerima apa jua berita. Mak
beritahu, Abang Wan nazak dan telah dibawa ke Hospital Pusrawi. Bergegas naik
ke pejabat dan minta kebenaran daripada bos untuk pulang awal kerana ada
kecemasan keluarga. Maklumkan juga pada bos, sekiranya ada kematian, saya
mungkin akan mengambil cuti 2 atau 3 hari. Hati sudah terbayang wajah Along. Ya
Allah, kuatkanlah semangat kakakku.
Sebenarnya saya tidak tahu hendak
ke mana. Ke hospital atau ke rumah Along. Akhirnya saya memutuskan untuk ke
rumah Along sebab Mak dan Mokde masih di sana. Jika ke hospital pun tiada apa
yang boleh dilakukan selain berdoa kerana Abang Wan terus dimasukkan ke ICU.
Sampai di rumah saya lihat wajah
Mak dan Mokde sugul dan sedih. Mak dan Mokde berselang-seli bercerita mengenai
Abang Wan. Kebetulan malam sebelumnya Mak dan Mokde menemani Along menjaga
Abang Wan yang sedang mendapatkan rawatan alternative di sebuah pusat rawatan
Islam. Kisah-kisah yang menyayat hati. Sukar untuk diterjemahkan dalam tulisan.
Mak kata Alang sekeluarga dari
Johor akan turun ke KL untuk menziarah Abang Wan. Sama seperti saya, dia risau
dan terkilan jika tidak dapat berjumpa Abang Wan. Sejak Abang Wan sakit, Alang
belum lagi berjumpa dengannya.
Sekitar jam 4.00 petang, Along
maklumkan keadaan Abang Wan yang kritikal tetapi telah dipantau rapi oleh
doktor. Saudara-mara dibenarkan untuk menziarah di Unit Rawatan Rapi. Saya, Mak
dan Mokde bergegas ke sana.
Sampai di hospital, ramai ahli
keluarga Abang Wan telah tiba. Semua menunggu giliran untuk masuk melawat Abang
Wan. Maklumlah, di Wad ICU hanya 2 pelawat sahaja dibenarkan untuk masuk dalam
satu-satu masa.
Ketika kami sampai, Along sedang
solat Asar di surau. Usai solat, bergegas semula ke wad untuk melihat suami
tercinta. Saya faham, kalau boleh Along tidak mahu meninggalkan Abang Wan walau
sesaat. Sebelum masuk, sempat saya berjumpa sebentar dengan Along. Sedihnya
hanya Tuhan yang tahu. Saya peluk erat Along, beri kata-kata semangat padanya.
Along kata, dia redha. Biarlah dia pergi…
Berjujuran air mata saya. Tidak
segan silu saya menangis berpelukan dengan Along. Ya Allah. Tabahkanlah dia Ya
Allah. Semoga dia dapat menghadapi apa jua ketentuanMu Ya Allah.
Sampai giliran saya untuk masuk
melihat keadaan Abang Wan. Ya Allah. Benar kata Mak. Sedih melihat keadaan Abang
Wan. Sekali lagi saya menitiskan air mata. Wayar bertampal di sana sini di
tubuh Abang Wan. Abang Wan bernafas dengan bantuan oksigen. Sesak sekali bunyi
pernafasannya. Wajahnya sudah tidak berisi lagi. Tubuhnya sudah menampakkan
tulang. Lain benar keadaannya ketika kali pertama saya melawat lebih kurang 3
minggu yang lalu.
Along tidak berhenti membisikkan
kalimah “Allah” di telinganya. Tidak berhenti usapan kasih sayang Along di
kepalanya. Along nampak sedih. Tetapi nampak dia menahan air mata dari menitis
di depan Abang Wan. Mungkin dia tidak mahu Abang Wan bersedih melihat dia
menangis.
Saya dengar Along bisikkan pada
Abang Wan. “Abang, ikut dalam hati. Lailahaillallah…. Allah.. Allah.. sebut
dalam hati sayang. Allah… Allah… Abang jangan takut… Abang jangan sedih…”
Saya tidak tahan mendengar bisikan
Along. Perlahan…tetapi masih kedengaran walau saya duduk di hujung katil.
Pantas saya berikan signal kepada Along untuk keluar. Saya rapatkan diri ke
kepala Abang Wan. Hajat di hati ingin bisikkan padanya yang kami sekeluarga
tidak berhenti mendoakan kesihatannya. Kami mahu dia cepat pulih. Tetapi saya
hanya mampu berkata “saya doakan abang” sahaja… Itupun dalam suara yang
terputus-putus. Tidak terluah kata-kata lain lantaran terlalu sedih. Saya salam
Along dan terus keluar tanpa menoleh ke belakang lagi… Air mata berjujuran laju…
Saya khabarkan kepada adik-beradik
yang lain di dalam group wassap mengenai keadaan Abang Wan. Mohon semua
mendoakan yang terbaik untuknya. Sekiranya telah ditentukan usianya masih
panjang, mohon semoga dia cepat pulih dan sihat seperti sedia kala. Sekiranya
telah sampai ajalnya, mohon dipermudahkan urusannya dan diambil nyawanya dalam
husnul khatimah. Mohon juga supaya semua mendoakan semoga Along kuat dan tabah
menhadapi ujian Yang Maha Esa ini.
Tiada yang lebih baik untuknya di
saat ini. Segala usaha telah dibuat. Hanya padaNya kami berdoa. Ya Allah,
ampunkanlah dosanya. Permudahkanlah urusannya Ya Allah. Engkaulah sebaik-baik
perancang, yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk hambaMu. Sesungguhnya
kami redha dengan ujian Mu ini.
Buat Along dan Abang Wan. Bertabahlah.
InsyaAllah. Besar ganjaran yang menanti.
No comments:
Post a Comment