Teks: Rahimah Binti Omar
Assalamualaikum wbt.
Sudah lama tidak update entri.
Banyak perkara yang berlaku akhir-akhir ini memenuhi hari-hari saya yang
sememangnya penuh dengan pelbagai urusan. Bulan Disember pun sudah hampir ke
pertengahan bulan. Maknanya sudah tak berapa hari lagi kita akan memasuki tahun
baru.
Tahun 2015 yang dikatakan sebagai
tahun yang penuh cabaran terutama dari aspek kewangan. Bersiap sediakan kita
untuk menghadapinya?
Rezeki Allah yang tentukan. Sebagai
manusia, kita hanya perlu berusaha dan berdoa. Berdoa semoga dilimpahi rezeki
yang cukup, halal dan diberkati untuk sekeluarga. Jangan takut tidak cukup
duit. Mungkin kita tidak mempunyai duit yang banyak tetapi kita mempunyai
rezeki yang cukup. Duit bukan segala-galanya dan kita perlu luaskan pemikiran
dan pemahaman mengenai konsep rezeki. Rezeki bukan sahaja duit. Rezeki adalah
apa-apa nikmat yang Allah kurniakan untuk kesenangan kita. Jadi, bersyukurlah
dengan apa yang ada. InsyaAllah, rezeki yang telah ditetapkan olehNya untuk
kita akan kita terima juga bila sampai waktunya.
Jadi, usah takut untuk menghadapi
tahun baru. Kita hadapi cabaran masa akan datang dengan membuat perancangan
rapi dalam semua aspek. Gagal untuk merancang adalah merancang untuk gagal.
Sudah boleh mula menyenaraikan azam atau impian untuk dilaksanakan pada tahun
hadapan.
Untuk saya sendiri, azam umum setiap
tahun adalah untuk menjadi lebih baik sebagai seorang isteri, ibu, pekerja dan
hambaNya. Mahu memantapkan dan melipatgandakan usaha untuk beribadah kepadaNya.
Mahu lebih banyak mengingatiNya daripada mengingati urusan dunia. Mahu menjadi
ibu mithali yang boleh menjadi contoh kepada anak-anak. Azam yang lain jika nak
disenaraikan memang banyak. InsyaAllah akan saya laksanakan satu persatu.
Semoga saya dan suami diberi
kekuatan, ketabahan, kesihatan, kewarasan, kesabaran dan ketenangan untuk sama-sama melayari bahtera rumah tangga
dan mendidik anak-anak amanah Allah ini untuk tahun depan dan tahun-tahun akan
datang. Amin.
No comments:
Post a Comment