Friday 12 December 2014

Beguk. Bahayakah?

Teks: Rahimah Binti Omar

Minggu ini tuan puteri sulung Nur Aleeya tidak ke taska kerana beguk. Kasihan Yaya. Sudah 2 hari demam baru bengkak di sebelah telinga/leher kiri timbul. Pergi jumpa doktor, sahlah beguk rupanya.

Kata doktor, beguk ini bahaya untuk kanak-kanak lelaki. Ada risiko mandul. Terkejut juga saya dan suami mendengarnya. Ini pertama kali kami berdua mendengar beguk merbahaya kepada kanak-kanak lelaki dan boleh menyebabkan mandul. Maklumlah. Jarang ada ahli keluarga yang terkena beguk ni.

Memandangkan doktor kata beguk ini boleh berjangkit terutama melalui air liur (batuk, bersin, direct touch), cepat-cepat kami merancang untuk menghantar iman ke rumah Opah di Tanjung Malim kerana tidak mahu Iman pula dijangkiti beguk. Kebetulan Abang Khalis memang ditinggalkan di Tanjung Malim bersama sepupunya Kak Dini. Saya minta pertolongan adik untuk menjaga Yaya sepanjang Yaya tidak ke taska.

Walaupun doktor sudah sahkan bahawa beguk ini merbahaya kepada kanak-kanak lelaki, saya google juga di internet untuk dapatkan sedikit maklumat mengenai risiko dan rawatan beguk ini. Manalah tahu, lepas ini ada mana-mana anak lain pula yang berjangkit.

Banyak maklumat berkaitan beguk yang saya dapat hasil carian di Google. Saya kongsikan sedikit info yang saya dapat dari www.myhealth.gov.my berkenaan beguk untuk makluman bersama.

Apa itu beguk?

Beguk merupakan satu penyakit yang disebabkan oleh virus. Ia menyebabkan bengkak dan rasa sakit pada kelenjar parotid. Ia mudah berjangkit dan virus merebak melalui titisan daripada mulut, hidung dan tekak apabila mereka yang dijangkiti beguk mengalami batuk atau bersin. Ia boleh berjangkit selepas 3 atau 4 hari selepas pembengkakan bermula.

Gejala atau tanda beguk
Tanda dan gejala jangkitan bermula selepas 12-25 hari berhubungan dengan orang yang dijangkiti. Sesetengah orang yang dijangkiti beguk tiada simptom awal, mereka mungkin menghadapi:
·         Demam.
·         Sakit kepala.
·         Mulut kering dan hilang selera.
·         Keletihan.
·         Pembengkakan pada satu atau kedua-dua kelenjar parotid.
Gejala ini biasanya hilang dalam masa 10–12 hari.

Komplikasi
Walaupun semua orang yang dijangkiti biasanya akan pulih sepenuhnya, kadang-kala komplikasi juga boleh berlaku seperti:
·         Encephalitis (Pembengkakan pada otak).
·         Meningitis (Pembengkakan pada lapisan otak).
·         Pancreatitis (Inflamasi pada pankreas).
·         Orchitis (Lebam pada testis) berlaku pada lelaki dewasa.
·         Pekak.

Rawatan
Tiada ubat yang khusus untuk beguk tetapi simptom-simptom boleh dilegakan dengan:
·         Paracetamol untuk mengurangkan demam dan rasa sakit.
·         Mengambil lebih minuman tetapi elakkan jus-jus yang berasid.
·         Letakkan ais pada kelenjar parotid atau testis untuk melegakan kesakitan.

Orang yang dijangkiti hendaklah tinggal di rumah sehingga ianya tidak boleh lagi berjangkit (iaitu sehingga 9 hari selepas pembengkakan kelenjar saliva) atau sehingga bengkak tersebut hilang.

Pencegahan

Beguk juga boleh dicegah dengan vaksin. Vaksin beguk ini diberi pada umur 12 bulan dan kemudian ketika berumur 7 tahun sebagai sebahagian daripada vaksin MMR iaitu (mumps, measles and rubella). Ianya sangat berkesan untuk mencegah beguk ini.

Petua untuk meredakan bengkak beguk


Sapu nila yang telah dicampurkan dengan cuka ke sekitar kawasan yang bengkak. Ada juga yang kata air asam jawa yang pekat juga boleh digunakan untuk menggantikan cuka sekiranya tiada. Tetapi berdasarkan kajian saintifik, tiada lagi bukti yang menunjukkan cuka, nila atau asam jawa ini boleh mengurangkan bengkak tersebut. Ada kemungkinan cuka atau air asam jawa tersebut menghasilkan rasa dingin/sejuk dan menyebabkan rasa sakit berkurangan.

Semoga bermanfaat :)

2 comments:

  1. dah ade blog rupanya! happy blogging cik ima;)

    ReplyDelete
    Replies
    1. mengisi masa lapang yang tak berapa nak lapang ni az. hehehe

      Delete